Tuesday, December 01, 2020

Disclaimer

Apabila saudara membaca blog ini, ambil ingatan bahawa saya tidak tahu bahasa Arab dan saya bukan lulusan fakulti Islam. Saya juga tidak melakukan tafsiran. Saya hanya melakukan analisis struktural. Terima kasih.

Dalam menjalankan analisis ke atas struktur Surah Yusuf, rujukan saya adalah:

Al-Qur'an dan Tafsirnya, Universitas Islam Indonesia, Jakarta, 1990.

Al-Qur'anu'L-Karim Terjemahan dan Huraian Maksud, Maulana Abdullah Yusuf Ali, terjemahan oleh Muhammad Uthman El-Muhammady, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1999.

Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran, Mushaf Malaysia Rasm Uthman, Darulfikir, Kuala Lumpur.

Al-Quran Mushaf Malaysia dan Terjemahan, Yayasan Restu, Shah Alam, 2005.

Tafsir Quran Karim, Prof. Dr. H. Mahmud Yunus, PT Hidakarya Agung, Djakarta, 1973.

Study of the Noble Qur'an Word-For-Word, compiled by Darussalam, Riyadh, 2000.

The Holy Qur'an Translation and Commentary, A. Yusuf Ali, Islamic Propagation Centre International, 1934.

The Qur'an Translation and Commentary, TB Irving (Al-Hajj Ta'lim Ali), Omar Brothers Publications Pte Ltd, Singapore, 1992

English Translation of the Meaning of Al-Qur'an Guidance for Mankind, Muhammad Farooq-i-Azam Malik, The Institute of Islamic Knowledge, Texas, USA, 1997.

The Massage of the Qur'an, Translated and Explained by Muhammad Asad, Dar Al-Andalus, Gibraltar, 1980.




Friday, September 04, 2009

Mengapa Hanya Surah Yusuf

Salah satu kritikan yang saya terima daripada beberapa penulis fiksyen yang skeptikal tentang kelebihan-kelebihan teori dan teknik surah Yusuf dan aplikasinya buat menghasilkan karya sastera Islami adalah: Mengapa tidak dikaji seluruh ayat-ayat al-Quran? Mengapa setakat mengkaji surah Yusuf sahaja?

Beginilah respons saya: Fokus kajian saya adalah surah Yusuf. Bekerja dengan mempunyai fokus yang spesifik adalah amat penting kepada produktiviti. Masih banyak lagi unsur-unsur sastera pada surah Yusuf yang belum dapat saya kaji disebabkan keterbatasan pengetahuan saya dalam ilmu-ilmu al-Quran.

Bahagian-bahagian yang sudah saya fikirkan, renungkan, analisiskan, dan tuliskan hasil kajian itu pun mengambil masa lebih 20 tahun baru saya berani mengetengahkannya.

Jadi, saya tidak berupaya hendak mengkaji seluruh al-Quran. Saya berpegang kepada prinsip seperti yang dikatakan oleh Imam Shafie: "Kalau tidak dapat buat semua, jangan tidak dibuat semua."

Kepada mereka yang mengkritik saya, lebihlah efisien apabila antara kita berbahagi-bahagi kerja. Masing-masing memberi sumbangan masing-masing buat membangunkan dan memajukan penghasilan sastera Islami, baik dari sudut penciptaan teori-teorinya, analisis teknik-tekniknya, kritikannya, apatah lagi penghasilan karya kreatifnya.

Bagi pihak diri saya sendiri, biarlah saya kaji surah Yusuf, pihak-pihak lain pula kajilah surah-surah lain.

.

Teori dan Teknik Surah Yusuf adalah Mazhab Rasmi PTS

Bagi pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan yang pertama kali membaca blog ini, PTS mengadakan bengkel surah Yusuf bagi semua penulis kreatif yang berminat menerbitkan karya mereka dengan PTS.

Bengkel diberikan secara percuma.

Notis tentang tarikh bengkel disiarkan dari waktu ke waktu di http://universitipts.com


.

Wednesday, September 02, 2009

Babak Mungkar Ditulis Menggunakan Ayat Dialog bukan Ayat Naratif

Pada masa ini sudah terdapat puluhan judul novel-novel cinta Islami ala-ala Ayat-Ayat Cinta dalam pasaran.

Dalam Teori dan Teknik Surah Yusuf, faktor yang membezakan novel cinta konvensional dengan novel cinta Islami bukanlah ceritanya, tetapi adalah teknik penceritaannya.

Sebagai contoh, dalam penulisan novel cinta Islami, perbuatan-perbuatan mungkar, umpamanya tingkah laku pergi berdating, tidak boleh diceritakan menggunakan ayat-ayat naratif.

Di bawah ini adalah contoh penulisan novel cinta konvensional, di mana adegan dating ditulis dengan menggunakan ayat-ayat naratif:

Ahmad duduk berlunjur di atas katilnya. Rahim, rakan sekamarnya sedang membaca akhbar internet di meja tulisnya. Dalam kepalanya, Ahmad sedang merancang mahu berjumpa dengan Aminah apabila tiba cuti semester akan datang. Dia akan mengajak Aminah makan burger di restoran segera di bandar. Dia sudah lama tidak berjumpa Aminah dan hatinya sangat rindu mahu menatap wajah jelita anak Pak Itam itu, yang dikenali sejak di sekolah menengah lagi. Kali terakhir mereka berjumpa adalah sewaktu cuti hujung tahun lalu. Kebetulan kolej mereka memulakan cuti semester pada tarikh yang sama, lalu dapatlah mereka pulang ke kampung menaiki bas yang sama juga. Ahmad masih terkenang-kenang peristiwa manis duduk di sisi Aminah dalam perjalanan yang mengambil masa 4 jam itu.

Sebaliknya, dalam teknik penceritaan berdasarkan Teori Surah Yusuf, adegan yang mengandungi unsur-unsur perbuatan mungkar diceritakan menggunakan teknik dialog, seperti di bawah:

Ahmad yang duduk berlunjur dikatil memandang keluar jendela kamar asramanya. Dalam hatinya dia berkata, "Kalau aku dapat berjumpa dengan Aminah di restoran burger cuti semester nanti, alangkah bagusnya. Aduhai... sakitnya perasaanku merinduimu, Aminah."

Rahim yang sedang membaca akhbar Harakah dalam internet menoleh dan memandang rakan sekamarnya yang asyik termenung itu, lalu mengusik. Katanya, "Kamu merindui Aminah, ya?"

Ahmad pura-pura tidak mendengar kata-kata Rahim. Dia terus memandang ke luar jendela. Lalu Rahim berkata lagi, "Cuti semester lalu, ada orang ternampak kamu naik bas duduk berdua sebelah menyebelah dengan Aminah."

Mendengar kata-kata itu, Ahmad tersentak lalu memandang kepada Rahim dan bertanya, "Betulkah? Siapa?"

Kata Rahim, "Orang yang sedang dilamun cinta tidak perasaan kehadiran orang-orang lain di sekeliling mereka. Kamu fikir, kamu seorang sahaja menaiki bas itu?"

Ahmad membetulkan duduknya. Tadi dia berlunjur, sekarang dia bersila. "Siapa?" dia mengulangi pertanyaannya.

Dijawab oleh Rahim, katanya, "Aku!"



Teknik Menulis Novel Islami Tidak Semuanya Serupa dengan Novel Konvensional

Pada masa ini sudah terdapat puluhan judul novel-novel cinta Islami ala-ala Ayat-Ayat Cinta dalam pasaran.

Dalam Teori dan Teknik Surah Yusuf, novel Islami boleh menceritakan apa-apa sahaja.

Cerita Nabi Yusuf adalah cerita tentang pelbagai jenis kejahatan personal yang dinamakan manusia lelaki dan perempuan. Termasuk dalam cerita Nabi Yusuf itu adalah cerita anak-anak derhaka, adik-beradik yang cemburu, abang-abang yang sanggup membunuh adik sendiri, hakim yang korup, suami dayus, isteri curang dan macam-macam lagi.

Faktor yang membezakan antara novel cinta konvensional dengan novel cinta Islami bukanlah pada ceritanya, tetapi adalah pada teknik-teknik penceritaannya. Ertinya, cerita yang sama, tetapi teknik penceritaannya yang berbeza. Jadi dapat disimpulkan bahawa ada teknik penceritaan yang Islami yang yang tidak Islami.

Sebagai contoh, dalam isu menggambarkan kisah kejelitaan watak-watak perempuan, teknik penceritaaan dalam novel konvensional membenarkan pengarang menggunakan ayat-ayat naratif bagi menggambarkan unsur-unsur kejelitaan fizikal pada watak perempuan. Tetapi, tidak demikian dalam teknik penceritaan novel Islami.



Friday, February 27, 2009

Sudut Pandang dalam Surah Yusuf: Gantinama 'aku dan 'dia'

Bagi saudara yang berminat menulis novel autobiografi ataupun yang kita sebut dengan istilah jibunsyi, gunakan kata gantinama orang ketiga, yakni 'dia', bukan kata gantinama orang pertama, yakni 'aku'.

Ini adalah berdasarkan teknik penceritaan surah Yusuf di mana Allah menggunakan 'dia'. Dalam surah itu Nabi Yusuf tidak menuliskan cerita dirinya sendiri. Sebaliknya Tuhan yang menceritakan kisah watak yang bernama Yusuf.

Jadi, meskipun cerita itu adalah kisah benar perjalanan hidup saudara sendiri, saudara menulisnya dengan menggunakan teknik seolah-olah kisah itu adalah kisah orang lain.

Justeru, jangan menulis "Aku dilahirkan di Kuala Kangsar." tetapi tulis, "Dia dilahirkan di Kuala Kangsar."

Teknik penceritaan orang ketiga mempunyai banyak kelebihan:

(i) Ia membolehkan saudara bersikap lebih objektif sewaktu menggambarkan watak saudara sendiri.

(ii) Ia tidak menimbulkan kesan saudara hanya memuji-muji diri saudara sendiri.

(iii) Ia membolehkan saudara menokok-tambah di sana sini bagi menyedapkan lagi cerita.



.

Thursday, October 02, 2008

Surah Yusuf dan Peri Pentingnya Kualiti Cerita dalam Karya Sastera Islami

Menyampaikan mesej-mesej Islam dengan menggunakan cerita-cerita adalah salah satu strategi kerja yang termaktub dalam Quran. Kitab suci itu penuh dengan berbagai-bagai cerita, ibarat, tamsil dan anologi. Nabi Muhammad juga menggunakan cerita-cerita bagi menyampaikan mesej Islam.

Dalam Quran, cerita tentang sejarah hidup Nabi Yusuf (Joseph) dibuka dengan ayat yang bermaksud, "Kami sampaikan kepadamu, wahai Muhammad, sebaik-baik kisah...." Justeru, dalam teori sastera Islami aliran Surah Yusuf, kualiti cerita adalah unsur yang amat dipentingkan.

Selepas selesai membaca, 'cerita' adalah unsur yang tinggal berbekas dan kekal dalam memori. Bagi orang biasa-biasa seperti kanak-kanak, remaja dan orang awam, selepas tamat membaca cerita, yang paling terpahat dalam ingatannya bukan ayat-ayat, bukan gambaran-gambaran, bukan struktur, bukan simbolisme, bukan lapisan-lapisan tafsiran - melainkan cerita.

Yang secara langsung berkesan dalam menyampaikan pesan-pesan, pengajaran, peringatan dan teladan adalah cerita, justeru cerita adalah unsur yang paling penting dalam karya. Dalam Quran, selepas Allah menyampaikan cerita, berkali-kali cerita-cerita itu diikuti oleh ayat yang mengatakan bahawa sesungguhnya dalam cerita-cerita itu ada pengajaran (kecuali cerita Nabi Yusuf yang tidak diiringi oleh ayat seperti itu).

Dalam menyampaikan kisah hidup Nabi Yusuf, Allah memberikan ciri-ciri cerita yang apabila digunakan maka ia dapat menghasilkan karya sastera yang indah dibaca serta mencetuskan kesan-kesan baik ke atas pemikiran dan keyakinan pembaca. Terbukti, ada orang bukan Islam yang memeluk Islam selepas terbaca surah Yusuf. Salah seorang daripada mereka adalah penyanyi pop Britain yang sangat terkenal pada tahun 1970-an, Cat Stevens, yang kemudian mengambil nama Yusuf Islam.

Nota
: Kepada pembaca blog ini yang beragama Islam, bacalah selawat dan salam selepas terbaca nama 'Muhammad' kerana amat besar pahalanya.




Thursday, August 21, 2008

Surah Yusuf dan Perkataan Singkat

Bahasa yang indah adalah salah satu sumber kenikmatan. Cerita dan mesej menjadi indah apabila disampaikan menggunakan bahasa yang indah. Prinsip ini dibuktikan oleh Quran.

Ayat ketiga surah Yusuf bermaksud "Kami sampaikan sebuah kisah yang paling indah." Cerita Nabi Yusuf adalah cerita yang indah, manakala bahasa yang digunakan oleh Tuhan bagi menyampaikan cerita itu juga bahasa yang indah.

Salah satu ciri linguistik pada bahasa Quran adalah kesempurnaan bahasa pada semua peringkat, daripada peringkat sebutan (fonetik/tajwid), perkataan (leksikon), pembinaan kata (morfologi), pemilihan kata (diksi) ayat (sintaksis), tatabahasa, dan wacana (discourse).

Sebagai contoh kesempurnaan, semua perkataan dalam surah Yusuf, malah dalam seluruh kitab Quran, adalah perkataan-perkataan sempurna. Tidak ada sepatah pun perkataan yang disingkatkan sebutannya mahupun ejaannya.

Demikian pula, apabila Nabi Muhammad bercakap, beliau menggunakan perkataan-perkataan yang disebut dengan sempurna. Beliau tidak menggunakan perkataan-perkataan singkat.

Justeru, penggunaan perkataan-perkataan sempurna adalah ciri bahasa yang indah. Kita dapat menyimpulkan bahawa penggunaan perkataan singkatan dalam penulisan tidak digalakkan, baik oleh Quran mahupun oleh contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad sendiri.

Contoh perkataan singkat adalah:

tak - tidak

dah - sudah

ni - ini

tu - itu

nak - hendak

mau - mahu

ke - kah

saja - sahaja

Perkataan singkat adalah ciri bahasa rendah, bahasa cakap mulut, bahasa basahan. Ia bukan ciri Bahasa Melayu Tinggi.

Justeru, menulis dengan menggunakan hanya perkataan-perkataan yang disebut dan dieja dengan sempurna adalah prinsip Quran dan prinsip Nabi Muhammad.

Nota: Kepada pembaca blog ini yang beragama Islam, bacalah salam dan selewat apabila terbaca nama 'Nabi Muhammad'. Sungguh besar pahalanya.




Wednesday, July 23, 2008

Surah Yusuf dan Bahasa Budak

Dalam surah Yusuf, semasa Nabi Yusuf masih kecil, setiap dialog antara Nabi Yusuf dengan ayahnya, Nabi Yaakub, dituliskan dalam bahasa Arab yang amat tinggi dan indah.

Faktor yang membedakan novel sastera daripada buku cerita budak-budak adalah gaya bahasanya.

Apabila saudara menulis dialog yang diucapkan oleh watak kanak-kanak, adakah saudara menggunakan gaya bahasa sebagaimana yang digunakan oleh kanak-kanak dalam dunia realiti?

Bahasa percakapan kanak-kanak disebut dengan istilah 'infantile language' ataupun 'bahasa budak'.

Dalam dunia sebenar, orang dewasa yang normal perkembangan psikologinya tidak bercakap menggunakan bahasa budak. Jadi, kalau ada orang dewasa yang bercakap menggunakan bahasa budak, perkembangan mental dan psikologi orang itu dikatakan tidak normal.

Penggunaan bahasa budak dalam karya sastera mencipta kesan negatif ke atas mutu susastera sesuatu karya. Apabila dialog watak-watak budak dituliskan menggunakan bahasa budak, automatis karya itu menjadi buku cerita budak-budak, bukan novel yang bertaraf karya sastera.

Mutu karya jatuh lebih rendah apabila watak-watak dewasa bercakap dengan watak budak juga ditulis dengan menggunakan bahasa budak.




Friday, July 11, 2008

Tingkah Laku Berdusta dalam Surah Yusuf

Dalam penulisan novel, salah satu aspek yang sering kali tidak dilakukan dengan meyakinkan adalah pelukisan watak-watak. Maksudnya, keterangan tentang tingkah laku dan dialog watak-watak tidak dilakukan dengan berdasarkan ilmu psikologi.

Ambil sebagai contoh dalam kes watak pendusta. Kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar psikologi mendapati perbuatan berdusta diiringi oleh tanda-tanda (traits) yang jelas. Tetapi, dalam novel-novel Melayu, penerangan tentang traits seperti itu tidak dilakukan oleh majoriti penulis kita, biarpun dalam karya-karya yang dilabelkan sebagai bermutu 'sastera'.

Perbuatan berdusta dapat dikesan dengan menganalisis body language atau 'bahasa badan' yang mengiringi dialog. Tingkah laku adalah termasuk dalam body language.

Daripada tingkah laku seseorang itu kita dapat mengesan apakah dia berlakon ataupun tidak. Salah satu tingkah laku orang yang berdusta adalah mengemukakan apa yang disebut unsolicited information ataupun 'maklumat yang tidak diminta'.

Sebagai contoh, seseorang itu tidak diarahkan supaya bersumpah, tetapi dia dengan tidak semena-mena, tanpa diminta oleh sesiapa, maka dia tiba-tiba bersumpah mengaku bahawa apa yang dikatakannya adalah benar.

Dalam surah Yusuf, tingkah laku seperti ini dilakukan oleh abang-abang Nabi Yusuf kepada ayah mereka, Nabi Yaakub. Ayat ke-17 dalam surah Yusuf: "....mengapakah ayahanda tidak percaya kepada kami, meskipun kami berkata benar."

Ayah Nabi Yusuf tidak pun menuduh anak-anaknya berdusta apabila mereka melaporkan kononnya Nabi Yusuf telah dibunuh oleh serigala, tetapi mereka sendiri yang bersumpah kononnya mereka berkata benar.

Satu lagi tingkah laku orang yang berdusta adalah apabila dia melakukan kesalahan, dia menuduh orang lain yang melakukan kesalahan itu.

Dalam surah Yusuf, tingkah laku menuduh orang lain dilakukan oleh Zulaikha. Dia yang cuba menggoda dengan memperdaya Nabi Yusuf supaya masuk ke dalam kamarnya, tetapi apabila kedapatan oleh suaminya, Zulaikha menuduh Nabi Yusuf dengan mengatakan Nabi Yusuflah yang telah cuba menggoda dirinya dengan mencoroboh masuk dan ke dalam kamarnya.

Ayat ke-25 dalam surah Yusuf: "....perempuan itu berkata kepada suaminya, 'Apakah balasan bagi orang yang hendak berbuat jahat dengan isteri kekanda?'....

........

Nota 1: Tingkah laku bersumpah tanpa diminta dilakukan oleh seorang tokoh politik yang sekarang sedang dikaitkan dengan pembunuhan seorang wanita jelita warga Mongolia.

Nota 2: Tingkah laku menuduh orang lain ini telah dilakukan oleh seorang tokoh politik yang namanya disebut dalam suatu akuan bersumpah oleh seorang bekas polis dan penyiasat peribadi di mana bekas polis itu mendakwa tokoh politik itu kenal dengan perempuan yang dibunuh itu, dan bahawa perempuan itu mengamalkan seks liwat. Tokoh politik itu pula mempunyai hubungan rapat dengan seorang remaja yang menuduh Anwar Ibrahim melakukan liwat ke atas dirinya.

Tuesday, April 22, 2008

Surah Yusuf: Teknik Menggerakkan Perkembangan Plot dalam Dialog

Apabila saudara menulis buku untuk diterbitkan oleh PTS, ambil ingatan bahawa pada suatu hari nanti buku saudara itu akan dijual sebagai MBOOK dalam projek Mbook PTS-METADOME.

Ini lebih-lebih lagi penting diambil kira apabila saudara menulis novel, kerana karya fiksyen diramalkan akan banyak dibeli sebagai Mbook berbanding kategori buku lain.

Teknik menulis buku-kertas belum tentu sesuai dengan teknik menulis buku-skrinHP disebabkan saiz kertas dan saiz skrin HP amat jauh bezanya. Namun, sebaliknya akan berlaku, yakni teknik menulis untuk buku-skrinHP adalah sesuai juga untuk buku-kertas.

Membaca buku-kertas membolehkan mata membaca perenggan yang panjang-panjang kerana saiz halaman buku-kertas adalah besar. Perenggan yang panjang tidak sesuai untuk dibaca pada skrin HP yang kecil.

Di sinilah letaknya salah satu kelebihan apabila saudara menuliskan novel saudara menggunakan teknik surah Yusuf.

Salah satu gaya penceritaan dalam surah Yusuf adalah daripada seluruh jumlah ayat, 86% adalah terdiri daripada ayat-ayat dialog. Disebabkan ayat-ayat dialog adalah umumnya pendek, maka setiap dialog dapat diterakan pada skrin HP.

Dalam teknik surah Yusuf, peranan dialog adalah sebagai penggerak plot. Di sinilah juga perbezaan ketara antara fungsi dialog dalam teknik penceritaan surah Yusuf dengan fungsi dialog dalam teknik penceritaan ciptaan manusia biasa.

Apabila saudara menulis novel menggunakan teknik plot-dalam-dialog, novel saudara sedap dibaca, baik apabila ia dicetak sebagai buku-kertas mahupun apabila ia dibaca dalam skrin HP.

Allah jualah yang maha mencipta teknik penceritaan dalam surah Yusuf yang amat futuristik itu. Teknik itu sudah diajarkan kepada kita 1,500 tahun sebelum manusia mencipta skrin HP. Maha suci Allah yang maha mengetahui masa depan teknologi buatan manusia.



Sunday, April 20, 2008

Surah Yusuf dan Isu SUBJEK dalam Ayat

Banyak penulis mengambil ringan isu SUBJEK dalam ayat. Ini termasuklah penulis yang dilabelkan sebagai penulis novel sastera. Ayat yang tiada SUBJEKnya adalah ciri bahasa lisan, yakni bahasa cakap mulut.

Ia juga bukan gaya bahasa Quran. Dalam Quran, ayat yang tiada SUBJEK terdiri daripada 2 jenis:

(1) Ayat misteri seperti "Alif. Lam. Mim."

(2) Ayat sumpah seperti "Demi masa!"

Dalam surah Yusuf, hanya ada sepotong ayat yang tiada SUBJEKnya, yakni misteri: "Alif. Lam. Raa."

Seluruh surah Yusuf terdiri daripada ayat-ayat yang legkap dengan SUBJEK dan PREDIKATnya. Ini bermakna, Allah menunjukkan bahawa ayat-ayat yang indah adalah ayat-ayat yang mempunyai SUBJEK dan PREDIKAT.

Contoh ayat yang tiada SUBJEKnya adalah: "Kamu adalah anak angkatku sahaja." Zaleha terdiam. Tergamam. Tidak dapat hendak berkata lagi. Teramat terperanjat. Bagaikan tidak percaya.

Penulis yang menulis ayat-ayat tanpa unsur SUBJEK dalam ayat ini bukan hanya datang daripada mereka yang memegang ijazah teknikal, justeru mereka tidak memiliki pengetahuan tatabahasa dan gaya bahasa yang mendalam.

Rupa-rupanya, penulis-penulis yang memegang ijazah linguistik ataupun ijazah sastera juga kerap melakukan kesilapan tatabahasa jenis ini.

Malah, penulis yang memegang ijazah sastera Arab pun ada yang melakukan kesilapan jenis ini, walhalnya mereka mempelajari dengan mendalam unsur-unsur nilai keindahan bahasa Quran.

Banyak penulis terpengaruh oleh gaya penulisan penulis-penulis lain. Disebabkan mereka banyak membaca ayat-ayat tanpa SUBJEK dalam karya-karya penulis lain, lalu apabila mereka menulis, mereka meniru ayat-ayat seperti itu.



Saturday, January 12, 2008

Pengarang Dalam Teori Surah Yusuf Tidak Omnipoten

Teori dan teknik surah Yusuf adalah mazhab rasmi bagi semua kategori penulisan kreatif di PTS, sama ada buku cerita kanak-kanak, novel remaja mahupun dewasa.

Antara perbezaan paling penting antara teknik penulisan dalam teori-teori sastera konvensional dengan teknik penulisan dalam surah Yusuf adalah pada sifat pengarang.

Dalam teknik surah Yusuf, pengarang tidak bersifat omnipotent, manakala dalam teknik penulisan sastera konvensional pengarang adalah omnipotent.

Istilah omnipotent datang daripada kata akar potent, yang menerbitkan potential, impotent dan lain-lain. Imbuhan omni bermakna "maha". Jadi omnipotent bermakna "maha berdaya" ataupun "maha berkuasa".

Sifat omnipotent adalah sifat keTuhanan. Antara sifat-sifat Tuhan adalah keupayaan mengetahui apa yang ada dalam hati dan fikiran manusia.

Disebabkan pengarang bukan seperti Tuhan yang omnipotent, maka dalam teknik surah Yusuf perkataan katasifat emotif (seperti sedih, risau, kecewa, marah, suka, rindu, hampa, lucu dan lain-lain) tidak digunakan dalam teks naratif, sebaliknya ia hanya digunakan dalam teks dialog.

Dalam teori-teori sastera konvensional pengarang adalah omnipotent, dia maha berdaya.

Pengarang mempunyai kuasa memasuki hati dan otak manusia sampai ke bawah-sedarnya, lalu pengarang melaporkan kepada pembaca apa yang tersimpan dalam otak dan hati watak-wataknya.

Dalam teori dan teknik surah Yusuf, pengarang hanya menerangkan unsur-unsur yang dapat dilihat dengan mata kepala kasar dan kata-kata watak yang dapat didengari oleh sepasang telinga, tanpa memberi komen dan tafsiran.




Sunday, August 12, 2007

Surah Yusuf dan Terjemahan

Apabila saudara menulis novel di mana dalam cerita itu terdapat watak orang-orang bukan Melayu, adakah saudara perlu menterjemahkan dialog mereka ke dalam bahasa Melayu?

Berdasarkan teori sastera Islami aliran surah Yusuf, ya, semua watak bercakap dalam Bahasa Melayu.

Watak-watak dalam kisah Nabi Yusuf semuanya bukan bangsa Arab. Nabi Yusuf adalah orang Yahudi dan beliau serta keluarganya berasal dari bumi Palestina, kemudian berpindah ke Mesir.

Walau bagaimanapun, dalam surah Yusuf, semua watak Yahudi itu bercakap dalam bahasa Arab. Ini adalah bukti bahawa dialog asal yang dalam bahasa Ibrani itu telah diterjemahkan oleh Allah ke dalam bahasa Arab.

Demikian pula, Raja Mesir dan penduduk pribumi Mesir pada zaman Nabi Yusuf bukan bangsa Arab. Namun dalam surah Yusuf, dialog asal mereka semua diterjemahkan oleh Allah ke dalam bahasa Arab.

Malah, dalam seluruh kitab Quran, semua malaikat, iblis, syaitan, jin, haiwan, orang-orang dahulu kala, malah Allah sekalipun bercakap dalam bahasa Arab walaupun mereka bukan orang Arab.



Friday, July 27, 2007

Ketampanan Lelaki dalam Surah Yusuf

Dalam surah Yusuf, hero ceritanya adalah seorang lelaki yang tampan. Ini bermakna, bagi menghasilkan sebuah kisah yang indah, heronya hendaklah lelaki, dan lelaki itu lelaki yang tampan.

Seperti filem dan komik, cerita yang heronya lelaki dibaca baik oleh lelaki mahupun perempuan, manakala apabila heronya perempuan, hanya perempuan yang membacanya.
Dalam surah Yusuf, tidak ada langsung maklumat tentang ciri-ciri fizikal ketampanan Nabi Yusuf. Sebagai contoh, pembaca tidak diberitahu apa warna mata, rambut dan kulit Nabi Yusuf.

Allah menerangkan ketampanan Nabi Yusuf menggunakan 2 cara:

(1) Menggunakan dialog watak-watak pembantu.

Apabila Zulaikha mengundang kawan-kawan perempuannya datang menjamu selera, apabila perempuan-perempuan itu ternampak Nabi Yusuf, mereka berkata, "Maha Suci Allah. Ini bukan manusia biasa. Ini malaikat suci yang menjelma."

Dari sini kita dapat membuat kesimpulan, bagi menerangkan ketampanan lelaki, caranya adalah dengan menggunakan ayat-ayat dialog, bukan menggunakan ayat-ayat naratif.

(2) Menggunakan peristiwa sebagai bukti.

Dalam majlis jamuan yang sama, kawan-kawan perempuan Zulaikha telah terpotong jari mereka sendiri apabila mereka terpandang Nabi Yusuf.

Dari sini kita dapat membuat kesimpulan, bagi menerangkan ketampanan lelaki, caranya adalah dengan menceritakan episod yang dapat membuktikan bahawa lelaki itu tampan, bukan dengan menggunakan ayat naratif yang menerangkan ciri-ciri ketampanan lelaki itu.

Contoh ayat naratif:
(a) Hamdan seorang yang tampan. (SALAH)
(b) Dia membetul-betulkan misainya yang lebat. (SALAH)
(c) Rozi jatuh cinta pada Karim yang berdada bidang. (SALAH)

Contoh ayat dialog:

(a) "Kamu jatuh cinta kepada Hamdan sebab dia tampankah?" Safiah bertanya kepada Zaiton. (BETUL)

(b) "Apakah kamu selalu teringat akan misainya yang lebat itu?" tanya Faridah sambil mentertawakan Laili. (BETUL)

(c) "Lupakanlah sahaja Karim yang berdada bidang itu. Dia tidak sesuai dengan kamu," Mariam menasihati Rohani. (BETUL)

Allah jualah yang lebih mengetahui.




Kejelitaan Perempuan dalam Surah Yusuf

Dalam surah Yusuf, terdapat aya-ayat yang membayangkan ketampanan lelaki di mana terdapat ayat-ayat yang membayangkan - ya, hanya membayangkan - keelokan dan ketampanan Nabi Yusuf. Sebaliknya kejelitaan perempuan tidak digambarkan sama sekali. Tidak ada ayat yang membayangkan kejelitaan isteri al-Aziz.

Dalam surah Yusuf, terdapat dialog yang memuji keelokan rupa paras Nabi Yusuf, tetapi tidak ada dialog yang memuji keelokan rupa paras isteri al-Aziz.

... Perempuan-perempuan itu berkata, “Maha suci Allah! Ini bukanlah manusia, ini tidak lain, adalah malaikat yang mulia!”

Manakala ada peristiwa yang membayangkan keelokan rupa paras Nabi Yusuf, sebaliknya tidak ada peristiwa yang membayangkan keelokan rupa paras isteri al-Aziz.

...Maka tatkala perempuan-perempuan itu terpandang Yusuf, mereka tercengang melihat keelokan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan masing-masing,...

Ketiadaan gambaran rupa paras dan kejelitaan isteri al-Aziz boleh dijadikan hujah dalam teori sastera Islami aliran Surah Yusuf bahawa pengarang tidak dibenarkan menulis ayat-ayat yang membayangkan kejelitaan perempuan.

Allah jualah yang lebih mengetahui.



Sunday, July 22, 2007

Terjemahan dalam Surah Yusuf

Dalam Quran terdapat banyak ayat-ayat terjemahan. Justeru, bagi pakar-pakar terjemahan yang beragama Islam, ayat-ayat Quran adalah sumber utama bagi membangunkan teori, prinsip-prinsip dan teknik-teknik terjemahan.

Ayat-ayat terjemahan dalam Quran itu adalah ayat-ayat dialog yang diucapkan oleh para malaikat, syaitan, iblis, firaun, kaum-kaum dahulu kala, dan semua nabi sebelum Nabi Muhammad. Nabi Adam bukan Arab, tetapi dalam Quran beliau bercakap bahasa Arab, begitu juga para malaikat dan iblis, semuanya bercakap Arab.

Sebagai contoh, keluarga Nabi Yusuf bangsa Yahudi. Tetapi dalam surah Yusuf, mereka semua bercakap Arab. Ertinya, dialog keluarga Nabi Yusuf itu sudah diterjemahkan oleh Allah daripada bahasa Ibrani (Hebrew) ke dalam bahasa Arab, baru kemudian diturunkan kepada Nabi Muhammad, supaya Nabi Muhammad faham.

Ayat ke-2 dalam surah Yusuf: "Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab ini sebagai Quran yang dibaca dalam bahasa Arab, supaya kamu, wahai Muhammad, memahaminya."

Semua ayat terjemahan dalam Quran adalah 100% bahasa Arab tulen, tidak ada unsur-unsur bahasa asalnya. Ini prinsip yang penting bagi penterjemah. Sebagai contoh, ayat-ayat terjemahan dalam surah Yusuf tidak mengandungi kata-kata Ibrani ataupun unsur nahu Ibrani.

Nah! Mengapakah buku-buku agama yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu tengik dengan bau ketiak bahasa Arab?


Saturday, July 21, 2007

Surah Yusuf dan Hati Yang Berduka

Surah Yusuf diturunkan kepada Nabi Muhammad semasa beliau masih tinggal di bandar Mekah, yakni sebelum beliau berpindah ke Madinah.

Kita tidak mungkin tahu mengapa Tuhan menurunkan sebuah cerita panjang kepada Nabi Muhammad di situ, dan bukan di Madinah. Kita hanya dapat mengagak.

Ada ulama yang mengatakan Tuhan menurunkan cerita panjang tentang Nabi Yusuf itu di Mekah kerana pada masa itu Nabi Muhammad sedang dalam keadaan berduka selepas isterinya, Kadijah, meninggal dunia, yakni Tuhan mahu menghiburkan hati beliau. Ini pendapat yang popular.

Sekiranya pendapat ini benar, maka kita dapat membuat ekstrapolasi bahawa kita harus menulis cerita-cerita panjang (novel adalah cerita panjang) yang fungsinya adalah bagi menghiburkan hati-hati yang sedang berduka.

Dengan mengkaji isi kandungan dan ciri-ciri cerita dalam surah Yusuf itu, kita juga dapat menyenaraikan ciri-ciri cerita yang sesuai bagi tujuan menghiburkan hati-hati yang sedang berduka.

Jika benar bahawa cerita panjang dapat berfungsi sebagai terapi psikologis, kita perlu mencari bukti-bukti daripada sejarah hidup Nabi Muhammad sendiri, yakni pernahkah beliau menggunakan cerita panjang bagi menghiburkan hati-hati yang sedang berduka.

Bagi membukti pendapat ulama itu pendapat yang dapat dipegang, kita perlu melakukan 3 perkara:

(i) Jika benar bahawa cerita dapat berfungsi sebagai terapi psikologis, kita perlu mencari bukti-bukti daripada sejarah hidup Nabi Muhammad sendiri, yakni pernahkah beliau menggunakan cerita (tidak semestinya cerita Nabi Yusuf) bagi menghiburkan hati-hati yang sedang berduka.

(ii) Hipotesis ini akan menjadi lebih kuat apabila kita dapat membuktikan bahawa Nabi Muhammad pernah menggunakan kisah Nabi Yusuf itu sendiri bagi menghiburkan hati-hati yang sedang berduka.

(iii) Akan bertambah kuat lagi hipotesis ini apabila dapat dikemukakan fakta di mana, selepas kematian Khadijah, Nabi Muhammad banyak kali berduka, sehingga air mata beliau mengalir, dan beliau pernah menggunakan surah Yusuf, ataupun cerita lain, dalam peristiwa-peristiwa duka itu.

Allah jualah yang maha mengetahui mengapa cerita panjang Nabi Yusuf diturunkan di Mekah.




Thursday, July 19, 2007

Cinta dan Asmara dalam Surah Yusuf

Apabila membaca novel-novel cinta yang ada dalam pasaran sekarang, didapati pengarang novel-novel itu tidak membezakan antara cinta dan asmara.

Dalam teori sastera aliran Surah Yusuf, unsur cinta hadir dengan amat jelas, iaitu kisah cinta isteri al-Aziz kepada Nabi Yusuf. Unsur yang sama sekali tidak ada dalam surah Yusuf itu adalah unsur asmara ataupun romance.

Justeru, dalam teori Surah Yusuf, pengarang novel Islami tidak dibenarkan menerangkan babak-babak asmara, sebagai contoh babak di mana hero berasmara dengan heroin.

Ini berbeza dengan novel-novel cinta yang ada dalam pasaran sekarang, yang menjadikan babak asmara unsur wajib ada. Malah, banyak babak-babak asmara itu menjurus kepada babak-babak di mana hero dan heroinnya bukan hanya berasmara, tetapi lebih daripada itu.

Ada gosip mengatakan, jika pengarang tidak tulis babak asamara, ada penerbit yang mengarahkan supaya ditulis juga, kalau tidak novel itu tidak diterbitkan.

Dalam banyak novel-novel cinta Melayu hari ini, terdapat babak-babak yang penerbit filem Melayu pun tidak berani buat kerana babak-babak begitu tidak akan dululuskan oleh Lembaga Penapisan Filem.

Perkara ini mencetuskan rasa prihatin kerana novel-novel cinta itu menjadi bahan bacaan gadis-gadis remaja Melayu serendah 11 tahun.




Unsur Luar Biasa dalam Surah Yusuf

Quran itu penuh dengan cerita. Nabi Muhammad banyak menyampaikan cerita, sebagaimana dapat dibaca dalam hadis-hadis beliau. Menyampaikan mesej dengan menggunakan cerita adalah sunnah Quran dan sunnah Nabi Muhammad.

Semua jenis karya kreatif menawarkan daya tarikan yang memenuhi keperluan psikologis pembacanya. Keperluan itu adalah keperluan mahu mengembara ke dalam dunia orang lain, ke alam-alam lain, selain alam yang dihidupinya sendiri.

Jika sesebuah cerita itu sudah terlalu biasa, pembaca bosan, sebab dalam cerita-cerita biasa pembaca dapat mengagak apa penghujungnya.

Jika cerita itu terlalu luar biasa, pembaca mungkin menolak cerita itu sebab ia tidak dapat difahaminya, ataupun ia tidak masuk akal.

Justeru cerita yang diingini pembaca adalah cerita yang mengandung unsur-unsur luar biasa, tetapi tidak terlalu luar biasa. Barulah cerita itu mempunyai daya appeal.

Dalam surah Yusuf, unsur-unsur luar biasa itu adalah:

1. Anak-anak lelaki yang berebut kasih sayang ayah sehingga sanggup membunuh adik sendiri.

2. Budak yang dibuang ke dalam telaga tetapi tidak mati sebab sempat diselamatkan orang.

3. Isteri orang besar yang jatuh cinta kepada hambanya sendiri yang elok rupa parasnya sehingga sanggup menarik baju lelaki itu sampai koyak.

4. Perempuan-perempuan yang terpegun melihat keelokan rupa paras lelaki sehingga tidak sedar mereka melukai jari mereka sendiri.

5. Lelaki tua yang menangis terlalu lama sehingga matanya buta.

6. Baju yang dapat menyembuhkan mata orang yang buta lalu kembali melihat seperti sedia kala.

7. Lelaki muda yang sanggup dipenjarakan demi tidak mahu melayan nafsu berahi isteri majikannya.

8. Abang-abang yang tidak kenal lagi adik lekakinya yang sudah menjadi orang besar raja.

Semua unsur-unsur luar biasa dalam surah Yusuf adalah luar biasa tetapi tidak terlalu luar biasa.



Tuesday, July 10, 2007

Strategi Flanking Nabi Yaakub dalam Surah Yusuf

Surah Yusuf, maksud ayat ke-67:

Nabi Yaakub berkata lagi, “Wahai anak-anakku! Kamu jangan masuk ke kota Mesir ikut satu pintu sahaja, tetapi masuklah ikut pintu-pintu yang berlainan.”

Objektif strategi flanking Nabi Yaacob adalah bagaimana cara hendak membolehkan semua 9 orang anaknya memasuki pintu kota yang mengelilingi kawasan istana raja Mesir yang dikawal rapi supaya mereka dapat berjumpa dengan Nabi Yusuf yang pada waktu itu menjaga gudang makanan negeri Mesir.

(1) Flanking Nabi Yaakub dilaksanakan oleh tim, bukan oleh individu.

Nabi Yaakub menghantar 9 orang anaknya bagi memasuki kota Mesir. Nabi Yaakub menjadi pencipta strategi utama: Jangan masuk ikut satu pintu, tetapi ikut banyak pintu. Strategi taktikal difikirkan oleh anak-anaknya.

Aplikasi di PTS: Nabi Yaakub mempunyai banyak anak. PTS Consultants adalah syarikat induk kumpulan PTS. Ia menubuhkan banyak anak syarikat.

Syarikat PTS induk mencipta strategi utama. Contohnya, PTS akan masuk pasaran fiksyen. Anak-anak syarikat PTS, masing-masing mencipta strategi taktikal masing-masing bagaimana mereka mahu menerbitkan judul-judul fiksyen masing-masing.

Nabi Yaakub mencipta strategi utama tetapi beliau sendiri tidak pergi ke Mesir.

PTS Consultants mencipta strategi induk, tetapi ia sendiri tidak terlibat dalam pelaksanaan strategi itu.

(2) Flanking Nabi Yaakub menggunakan banyak 'pintu' serentak.

Sembilan orang anak-anak Nabi Yaakub itu masing-masing masuk ikut pintu berlainan. Masing-masing anaknya mencipta strategi taktikal masing-masing bagaimana mereka dapat melepasi kawalan penjaga pintu kota.

Aplikasi di PTS: Semua anak-anak syarikat PTS melaksanakan strategi induk secara bersama-sama dan terkoordinasi. Contohnya, semua pengarang PTS digalakkan menulis buku untuk semua anak syarikat.

(3) Flanking Nabi Yaakub dilakukan menggunakan taktik menyusup masuk sehingga musuh tidak perasan.

Semua 9 orang anak Nabi Yaakub berjaya masuk ke kota Mesir dengan tidak diketahui oleh pengawal pintu kota. Selepas dapat masuk, mereka bergabung semula.

Aplikasi di PTS: Selama PTS masih baru, dan sampai saat ini pun, PTS main strategi low-profile.

Mukmin menggunakan strategi perang PR bagi memasuki pasaran ubat gigi sehingga si naga Colgate pun mendapat tahu akan kemunculan pesaingnya.

Aminah Hassan tidak mengiklankan sama sekali kemasukannya ke dalam pasaran sos. Ia masuk diam-diam, tahu-tahu, botol-botolnya sudah duduk sederet di rak-rak supermarket, sebelah menyebelah dengan botol-botol Maggi dan Kimball.

Dengan mempunyai 9 orang anak, dan menghantar mereka serentak supaya memasuki kota istana Raja Mesir ikut banyak pintu, Nabi Yaakub menaikkan kemungkinan anak-anaknya dapat menembusi pintu kota yang dikawal ketat.

Jika satu orang anaknya dapat ditangkap cuba memasuki pintu kota, masih ada 8 orang anak-anakya yang lain.

Mengetuk 1 orang adalah mudah. Mengetuk sekumpulan ramai orang adalah lebih sukar. Di lautan luas yang banyak jerung, Tuhan menjadikan ikan-ikan kecil berenang dalam kumpulan besar.

Dengan menggerakkan semua anak syarikatnya supaya menembusi pasaran fiksyen secara serentak dan beramai-ramai - ala-ala flanking gaya 'total football' - PTS dapat meningkatkan kemungkinan ia berjaya menembusi pasaran yang ditargetkan itu.





Saturday, July 07, 2007

Teknik Menggambarkan Ketampanan Lelaki dalam Surah Yusuf

Dalam surah Yusuf, hero ceritanya adalah seorang lelaki yang tampan. Ini bermakna, bagi menghasilkan sebuah kisah yang indah, heronya hendaklah lelaki, dan lelaki itu lelaki yang tampan.

Namun dalam surah Yusuf, tidak ada langsung maklumat tentang ciri-ciri fizikal ketampanan Nabi Yusuf. Sebagai contoh, pembaca tidak diberitahu apa warna mata, rambut dan kulit Nabi Yusuf.

Allah menerangkan ketampanan Nabi Yusuf menggunakan 2 cara:

(1) Menggunakan dialog watak-watak pembantu.

Apabila Zulaikha mengundang kawan-kawan perempuannya datang menjamu selera, apabila perempuan-perempuan itu ternampak Nabi Yusuf, mereka berkata, "Maha Suci Allah. Ini bukan manusia biasa. Ini malaikat suci yang menjelma."

Dari sini kita dapat membuat kesimpulan, bagi menerangkan ketampanan lelaki, caranya adalah dengan menggunakan ayat-ayat dialog, bukan menggunakan ayat-ayat naratif.

(2) Menggunakan peristiwa sebagai bukti.

Dalam majlis januan yang sama, kawan-kawan perempuan Zulaikha telah terpotong jari mereka sendiri apabila mereka terpandang Nabi Yusuf.

Dari sini kita dapat membuat kesimpulan, bagi menerangkan ketampanan lelaki, caranya adalah dengan menceritakan episod yang dapat membuktikan bahawa lelaki itu tampan, bukan dengan menggunakan ayat naratif yang menerangkan ciri-ciri ketampanan lelaki itu.

Contoh ayat naratif:
(a) Hamdan seorang yang tampan. (SALAH)
(b) Dia membetul-betulkan misainya yang lebat. (SALAH)
(c) Rozi jatuh cinta pada Karim yang berdada bidang. (SALAH)

Contoh ayat dialog:
(a) "Kamu jatuh cinta kepada Hamdan sebab dia tampankah?" Safiah bertanya kepada Zaiton. (BETUL)
(b) "Apakah kamu selalu teringat akan misainya yang lebat itu?" tanya Faridah sambil mentertawakan Laili. (BETUL)
(c) "Lupakanlah sahaja Karim yang berdada bidang itu. Dia tidak sesuai dengan kamu," Mariam menasihati Rohani. (BETUL)

Allah jua yang lebih tahu.



Friday, June 22, 2007

Kejelitaan dalam Surah Yusuf

Dalam surah Yusuf tidak ada ayat-ayat yang menerangkan rupa paras dan bentuk badan isteri al-Aziz, yang lazimnya disebut dengan nama Siti Zulaikha.

Kita diberitahu kononnya Siti Zulaikha itu perempuan yang cantik, tetapi perkataan ‘cantik’ itu pun tidak ada dalam surah Yusuf bagi menerangkan watak isteri al-Aziz itu.

Tidak ada ayat yang menerangkan rambut, hidung, mata, kulit, pipi, dan lain-lain sifat fizikal Siti Zulaikha. Malah nama ‘Siti Zulaikha’ itu pun tidak disebut dalam surah Yusuf. Watak itu hanya disebut dengan gelaran ‘perempuan itu’.

Tidak ada nas yang menerangkan mengapa dalam pengkisahan surah Yusuf itu tidak ada ayat-ayat yang menggambarkan kejelitaan fizikal watak perempuan.

Disebabkan dalam surah Yusuf itu tidak ada keterangan berkenaan kejelitaan fizikal Siti Zulaikha, maka kita membuat kesimpulan bahawa dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, pengarang novel Islami tidak dibenarkan menulis ayat-ayat yang menggambarkan keelokan mana-mana anggota tubuh badan perempuan yang muda dan cantik.


.

Thursday, June 21, 2007

Pakaian Dalam Surah Yusuf

Dalam surah Yusuf, tidak ada sebarang ayat yang menerangkan apa pakaian isteri al-Aziz, yang lazimnya disebut dengan nama Siti Zulaikha, walaupun nama itu tidak ada dalam Quran ataupun hadith.

Kita tidak diberitahu dengan tepat berdasarkan nas, mengapa dalam pengkisahan surah Yusuf tidak diterangkan pakaian Siti Zulaikha.

Siti Zulaikha adalah perempuan yang sihat tubuh badan dan nafsunya, maka oleh itu dia tertarik kepada Nabi Yusuf.

Berdasarkan ketiadaan gambaran pakaian yang dipakai oleh Siti Zulaikha, maka kita menyimpulkan bahawa dalam teori sastera Islami aliran Surah Yusuf, penulis novel Islami tidak dibolehkan menggambarkan rupa pakaian yang dipakai oleh watak-watak perempuan yang muda dan cantik.




Tuesday, June 12, 2007

Monolog dan Dialog dalam Surah Yusuf

Dalam novel, ada dua jenis dialog - ada dialog dan ada monolog.
Dalam surah Yusuf, 86% ayat-ayat dalam surah itu mengandungi dialog, manakala hanya ada 1 monolog.

Ayat 77: Mereka berkata, “Kalau dia (Bunyamin) mencuri, maka tidaklah pelik, kerana sesungguhnya saudara kandungnya (Ysusf) pernah juga mencuri dahulu.” (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakan kepada mereka, sambil berkata dalam hati, "Kamulah yang lebih buruk keadaannya, dan Allah maha mengetahui akan apa yang kamu katakan itu.”

Salah satu manfaat dialog yang banyak adalah ia memudahkan novel dialihkan menjadi skrip TV ataupun skrip filem, ataupun dikomikkan. Manakala, monolog menyebabkan novel sukar dialihkan menjadi skrip.

Monolog terdiri daripada 2 jenis:

(1) Monolog yang merupakan dialog dalam hati, yakni watak bercakap kepada orang lain tetapi dialog itu tidak diucapkan dengan mulut.

Contoh dialog dalam dalam hati: Dalam hatinya, Mamat berkata, "Budin... Budin... Mengapalah kamu bodoh benar." Bayangkan bagaimanakah monolog ini dapat dilakonkan.

(2) Apabila watak berkata-kata kepada dirinya sendiri, itulah adalah monolog juga.

Contoh dialog dengan diri sendiri: Dalam hatinya Mamat menyesali dirinya sendiri, "Sampai hati dia buat aku begini. Tidak mengapalah, Tuhan akan balas perbuatannya." Bayangkan bagaimanakah monolog ini dapat dilakonkan.

Monolog hanya dapat dibaca. Ia tidak dapat dilakonkan. Jadi, apabila saudara menulis buku cerita, ataupun novel, bagi tujuan dialihkan menjadi skrip TV ataupun filem, ataupun komik, monolog tidak sesuai.



Sunday, June 10, 2007

Surah Yusuf: Memilih Usia Hero

Dalam surah Yusuf, hero dalam kisah Nabi Yusuf adalah seorang lelaki ideal, dan usianya adalah antara 8 tahun sehingga dewasa.

Ada dua kelebihan hero lelaki muda:

(1) Cerita yang heronya lelaki disukai oleh baik pembaca lelaki mahupun pembaca perempuan. Ertinya pasaran cerita itu lebih luas.

(2) Apabila difilemkan, filem-filem yang heronya lelaki muda lebih laku daripada filem yang heronya lelaki tua. Ini disebabkan oleh profail penonton filem di panggung, di mana majoriti adalah golongan remaja.




Saturday, June 02, 2007

Hero dalam Teori Surah Yusuf

Dalam teori sastera Islami aliran Surah Yusuf, berikut adalah ciri-ciri 'hero' cerita:

(1) Hero itu lelaki.

Apabila hero cerita adalah lelaki, baik perempuan mahupun lelaki mahu membacanya. Jadi, pasaran karya itu luas. Cerita Cinderella ataupun Siti Zubaidah hanya dibaca oleh perempuan.

Apabila cerita itu dijadikan filem ataupun siri TV, cerita itu dapat ditargetkan kepada penonton lelaki dan perempuan. Filem dan siri TV di mana heronya perempuan hanya ditonton oleh khalayak perempuan.

(2) Hero itu lelaki yang memiliki ciri-ciri akhlak yang ideal.

Teori surah Yusuf menolak cerita yang menjadikan seseorang yang akhlaknya buruk sebagai hero. Perbuatan itu memberikan kemenangan moral kepada pedosa. Watak jahat boleh dijadikan hero dengan syarat dia akhirnya insaf akan kesalahannya.

Sastera tidak boleh memberi gambaran "Menjadi orang baik tidak berbaloi".

(3) Hero itu lelaki muda.

Kisah Nabi Yusuf ditamatkan sebelum beliau tua!

Cuba saudara fikirkan apa kelebihan hero lelaki muda, dan apa kelemahan hero lelaki tua?...

.

.

Thursday, March 08, 2007

Surah Yusuf dan Konsep 'Sastera Remaja'

Apabila kita bercakap tentang 'novel remaja', suatu perkara yang menarik adalah konsep 'remaja' itu sendiri. Perkataan 'remaja' (dulu disebut 'rumaja') adalah pinjaman daripada bahasa Sansekerta (Sanskrit). Bahasa Melayu tidak mempunyai satu istilah khas yang serupa dengan 'remaja'.

Dalam teori syariah, dari sudut kategori usia, tidak ada istilah Arab yang serupa maknanya dengan 'remaja'. Yang ada adalah antara 'belum baligh' dan 'sudah baligh'. Dalam teori syariah, ada hukum untuk individu yang belum baligh, dan ada hukum untuk individu yang sudah akil baligh.

Pengaruh teori undang-undang Barat menyebabkan kita menggunakan istilah 'remaja' dengan maksud yang serupa dengan istilah 'juvenile' (juvana). Jadi dalam teori undang-undang Barat ada hukum untuk 'kanak-kanak', ada hukum untuk 'juvana' justeru ada mahkamah juvana, dan ada hukum untuk 'dewasa'.

Disebabkan dalam syariah tidak terdapat pembedaan antara kategori 'remaja' dan 'dewasa', maka kita berdepan dengan suatu persoalan teoretis yang menarik bagi difikirkan tentang validiti konsep 'sastera remaja'.

Dari sudut syariah, apakah hujah, dan di manakah dalilnya, yang mendukung sikap kita yang menciptakan pembedaan dengan mengatakan 'ini novel untuk remaja' dan 'ini novel untuk dewasa'?

Kembali kepada al-Quran, tidak ada cerita-cerita dalam al-Quran untuk remaja dan cerita-cerita untuk dewasa. Satu al-Quran untuk semua kategori umur. Kisah Nabi Yusuf dalam surah Yusuf diturunkan untuk semua kategori usia.

Demikian juga cerita-cerita yang terdapat dalam al-Hadith. Cerita-cerita itu adalah untuk semua kategori umur.

Jika al-Quran dan al-Hadith sendiri menyampaikan cerita-cerita untuk semua kategori usia, apakah wajar penulisan sastera Islami membedakan-bedakan cerita berdasarkan perbedaan braket usia?

Tuhanlah yang lebih mengetahui.


Tuesday, January 30, 2007

Surah Yusuf: Akhlak Pengarang dan Nilai-nilai Ideal

Sebagai sasterawan, semua pengarang mempunyai sejarah hidup dan kehidupan peribadi. Hasil karya seseorang itu banyak mengandungi refleksi diri, pemikiran dan nilai-nilai peribadi pengarang.

Justeru, unsur-unsur moral dan akhlak watak-watak utama dalam karya banyak membayangkan moral dan akhlak pengarangnya sendiri.

Jikalau pengarangnya mengamalkan budaya dating dan berasmara bagi dirinya sendiri, lazimnya dalam karyanya juga terdapat episod-episod di mana watak-watak utamanya ber-dating dan berasmara.

Dalam surah Yusuf, tidak terdapat episod di mana watak-wataknya 'ber-dating' ataupun berasmara. Malah babak asmara tidak ada sama sekali dalam surah itu.

Dalam pemikiran sastera konvensional, karya hendaklah menjadi catatan jujur pengarang tentang siapa dirinya yang sebenar. Menurut pandangan ini pengarang tidak boleh berkarya dengan sikap munafik, yakni sebagai contoh, pengarang sendiri ber-dating tetapi watak-watak dalam karyanya tidak ada yang ber-dating.

Pandangan konvensional seperti inilah yang mencipta dilema dalam diri banyak pengarang antara menuliskan "yang real" dengan "yang ideal" di mana yang real itu seringkali diukur daripada tingkah laku yang diamalkan oleh peribadi pengarang.

Jikalau pengarang sendiri melakukan perbuatan berasmara sebelum bernikah, maka yang real itu adalah yang demikian. Justeru, jikalau pengarang ber-dating, dalam karya-karyanya dia hendaklah membenarkan watak-wataknya berasmara sebelum bernikah. Jika tidak, dia munafik.

Sudut pandang konvensional beginilah yang menyebabkan sastera kita hari ini, baik sastera ala-DBP mahupun sastera popular, dengan gaya 'cool' sekali, mem-propagasi-kan nilai-nilai moral yang tidak selari dengan nilai-nilai Islami disebabkan pengarang menuliskan dengan jujur apa yang dia sendiri amalkan.

Jikalau saudara seorang pengamal, ataupun pernah mengamalkan, budaya ber-dating, etika pengarang Islami tidak membenarkan saudara mem-propagasi-kan budaya ber-dating yang saudara amalkan itu dalam karya-karya saudara.

Sebagai pengamal budaya ber-dating, tentulah saudara bersikap liberal terhadap amalan itu. Di satu pihak lain, yang salah tetap salah. Mem-propagasi-kan budaya dating adalah perbuatan salah.

Apabila berlaku pertentangan antara nilai-nilai Islami dengan nilai-nilai peribadi, tanggungjawab pengarang Islami adalah mem-propagasi-kan nilai-nilai ideal Islami, bukan nilai-nilai peribadi sendiri.

.

.

Surah Yusuf: Nilai Peribadi dan Nilai Ideal

Setiap pengarang mempunyai nilai-nilai peribadi. Pengarang konvensional menuangkan nilai-nilai peribadinya ke dalam karyanya. Malah bagi mereka, berkarya adalah cara memperjuangkan nilai-nilai peribadi.

Sebagai contoh seseorang pengarang mungkin percaya perceraian itu OK. Dia percaya, bagi isteri-isteri yang mahu dimadukan oleh suaminya, adalah OK kalau si isteri memberi kata dua kepada suaminya. Dan jika suaminya tetap dengan niatnya mahu berkahwin lagi, adalah OK bagi si isteri memilih perceraian. Maka dalam karya si pengarang, nilai-nilai itu tergambar dengan jelas.

Nilai watak-watak utama alam novel konvensional lazimnya mewakili nilai-nilai yang diperjuangkan oleh pengarangnya.

Justeru, apabila si pengarang adalah seorang yang pro-poligami, maka watak utamanya melambangkan nilai pro-poligami. Dan apabila si pengarang anti-poligami, maka watak utamanya juga melambangkan nilai anti-poligami. Demikianlah juga dalam isu-isu lain seperti perceraian, kahwin cinta dan banyak lagi.

Etika sasterawan Islami tidak membenarkan pengarang menggunakan karyanya bagi memperjuangkan nilai-nilai peribadi yang tidak selari dengan nilai-nilai ideal dalam Islam.

Sebagai contoh, perbuatan isteri meminta cerai disebabkan suaminya berkahwin lagi adalah tidak dibenarkan. Maka pengarang Islami tidak boleh meng-OK-kan perbuatan itu dalam karya-karyanya.

Meskipun Islam membenarkan perceraian, dalam surah Yusuf, tidak terdapat episod perceraian. Meskipun al-Aziz telah melihat sendiri bagaimana isterinya berlaku curang, tetapi dalam surah itu kita tidak diberitahu apakah dia menceraikan isterinya itu.

Demikian juga, dalam surah Yusuf tidak ada episod isteri meminta cerai daripada suami. Isteri al-Aziz, meskipun dia sangat tergoda oleh keelokan paras dan peribadi Nabi Yusuf, kita tidak diberitahu apakah dia pernah meminta cerai daripada suaminya.

Justeru, dari sudut pandang teori sastera Islami aliran Surah Yusuf, pengarang tidak dibenarkan memperjuangkan nilai-nilai peribadi yang tidak selari dengan nilai-nilai ideal dalam Islam.

Disebabkan Allah membenci perceraian, maka pengarang sastera Islami tidak dibenarkan meng-OK-kan perceraian dalam karyanya.

.

.

Thursday, January 25, 2007

Surah Yusuf dan Etika Sasterawan Islami

Sebagai penulis, mahu tidak mahu, secara disedari ataupun tidak, dalam proses menuliskan karya, saudara akan menumpahkan nilai-nilai yang menjadi pegangan peribadi saudara.

Jika saudara seorang yang pro-perceraian, maka saudara akan memasukkan nilai peribadi saudara itu ke dalam karya saudara. Justeru akan terdapat unsur dan episod perceraian dalam karya saudara itu nanti.

Jika saudara seorang yang anti-poligami, maka nilai-nilai peribadi saudara itu nanti akan saudara tumpahkan ke dalam novel saudara, maka akan ada unsur-unsur anti-poligami dalam novel saudara it.

Dalam surah Yusuf, tidak terdapat unsur perceraian ataupun poligami. Tidak ada peristiwa perceraian dan tidak ada watak yang pernah bercerai. Begitu juga tidak ada watak yang mengamalkan poligami. Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin adalah anak-anak Nabi Yaakub daripada isteri kedua selepas isteri pertama beliau meninggal dunia.

Ini bermakna, salah satu ciri kisah cinta yang indah adalah di mana dalam kisah itu tidak terdapat unsur perceraian ataupun poligami.

Sebagai sasterawan Islami, saudara tertakluk kepada etika penulisan Islami, di mana saudara tidak boleh menjadikan karya saudara tempat mencurahkan nilai-nilai pegangan peribadi saudara yang tidak selari dengan nilai-nilai ideal Islam.

Saudara mungkin berpegang pada prinsip peribadi yang bersikap “lebih baik bercerai daripada dimadukan” tetapi etika penulisan Islami tidak membenarkan saudara menyebar-luaskan nilai-nilai peribadi saudara yang sebegitu kepada para pembaca karya saudara.

Meskipun saudara pro-perceraian dan anti-poligami, namun Islam tidak menyukai perceraian dan Islam membenarkan poligami.

Sastera adalah media bagi sasterawan menyampaikan mesej-mesej ideal sahaja.

Simpan nilai-nilai peribadi saudara yang tidak selari dengan Islam dalam hati saudara sendiri. Tuhan jualah yang lebih mengetahui.
.

.

Wednesday, January 03, 2007

Surah Yusuf: Bab lawan Babak

Lazimnya, penulis merancang bab-bab dalam novelnya yang akan ditulis. Jadi, dalam sesebuah novel mungkin ada 7, 8, ataupun 12 bab. Ini adalah teknik konvensional menulis novel.

Novel yang distrukturkan mengikut bab-bab lebih sukar dialihkan ke skrin filem ataupun skrin TV disebabkan ia perlu distrukturkan semula kepada rangkaian babak sebelum dapat dituliskan skripnya. Ini memerlukan banyak pemikiran dan kreativiti pada pihak penulis skrip.

Novel yang mudah dialihkan menjadi skrip filem ataupun drama TV sejak awal sudah distrukturkan berdasarkan susunan babak. Setiap babak adalah satu episod, satu peristiwa.

Sususan episod-episod itu adalah kronologis. Tidak ada susunan plot yang jungkir-balik (istilah Malaysia, tunggang-terbalik). Ini bermakna, dalam novel yang ditulis untuk skrin, tidak ada plot falsh-back mahupun plot flash-forward.

Dari sudut teknikal, plot jungkir-balik sukar difilemkan secara berkesan, maka itu ia tidak digunakan dalam filem. (Ia juga sukar dikomikkan.)

Susunan plot kronologis adalah ciri surah Yusuf.

.

.


Sunday, December 31, 2006

Konflik dalam Kisah Cinta Surah Yusuf

Konflik adalah unsur wajib ada dalam sesebuah kisah cinta yang indah. Ertinya, tanpa konflik, tidak mungkin sesebuah kisah cinta itu mencapai taraf indah.

Dalam dunia sastera Melayu, konflik dalam kisah percintaan Qais dan Laila, dalam kisah percintaan Uda dan Dara, dalam novel Siti Nurbaya, dalam filem Ibu Mertuaku dan filem Antara Dua Darjat konflik itu adalah konflik pertentangan kelas sosial antara golongan berharta dan golongan miskin.

Dalam novel Salah Asuhan konflik itu adalah konflik pertentangan kelas antara darjat kaum penjajah Belanda dengan darjat kaum terjajah, yakni pribumi Minangkabau.

Dalam novel-novel cinta popular hari ini, konflik itu adalah konflik emosi antara individu-dengan-individu, yakni antara lelaki-dengan- perempuan, antara benci-dengan-cinta, bagi mendapatkan kasih sejati dan abadi.

Dalam siri komik dan animasi, pertentangan itu adalah pertentangan antara ‘yang baik’ dengan ‘yang jahat’.

Konflik dalam kisah cinta Nabi Yusuf adalah konflik yang tiada kaitan dengan pertentangan antara golongan kaya-dengan-miskin, tinggi-dengan-rendah, ataupun antara jahat-dengan-baik, ataupun antara benci-dengan-cinta.

Nabi Yusuf adalah lelaki yang ideal, yang baik. Isteri al-Aziz adalah majikan yang baik terhadap Nabi Yusuf sebagai hambanya.

Isteri al-Aziz sangat cinta kepada Nabi Yusuf. Sehingga tamat kisah mereka dalam surah itu, Nabi Yusuf tidak membenci perempuan itu, meskipun selepas dia difitnah oleh isteri al-Aziz sehingga dipenjarakan.

Meskipun Nabi Yusuf tidak pernah membenci isteri al-Aziz, kisah cinta itu tidak ditamatkan dengan mereka akhirnya berkahwin.

Inilah antara unsur-unsur yang menjadikan kisah cinta dalam surah Yusuf itu begitu indah.
.

.

-------------------------------------------

Saturday, December 30, 2006

Surah Yusuf dan Unsur "kecacatan'

Kisah hidup Nabi Yusuf adalah kisah cinta yang paling indah pernah berlaku dalam sejarah manusia.

Akan hal ini, ia diperakukan oleh Allah sendiri dalam ayat ke-3 yang bermaksud, “Kami sampaikan kepadamu (wahai Muhammad), sebuah kisah yang paling indah.”

Banyak perkara menarik tentang prinsip dan teknik menulis novel Islami dapat digali daripada surah Yusuf.

Sebagai contoh, dalam surah Yusuf, tidak ada watak yang cacat anggota ataupun cacat mental. Semua watak dalam kisah Nabi Yusuf adalah manusia normal-normal belaka, kecuali Nabi Yusuf yang amat tampan dan amat beriman.

Walaupun Nabi Yaakub menjadi buta disebabkan banyaknya menangis mengenangkan anak kesayangannya yang dikatakan mati dimakan serigala oleh abang-abang Nabi Yusuf, tetapi penglihatan beliau kemudian pulih seperti sedia kala.

Ini bermakna, dari sudut pandang teori sastera Islami aliran surah Yusuf, unsur kecacatan bukan unsur keindahan.

Contoh kecacatan adalah:

(a) Cacat mental yang biasa berlaku seperti gila, hilang ingatan, bingung, lurus bendul, pelupa dan lain-lain.

(b) Cacat fizikal yang biasa berlaku seperti kudung, buta, pekak, bisu, sumbing, katik, terlalu gemuk, hitam ataupun tempang dan lain-lain.

(c) Cacat upaya yang biasa berlaku seperti sakit terlantar, sakit misteri dan lain-lain.

(d) Cacat psikologi yang biasa berlaku seperti egoistik, cemburu buta, kedekut, tamak harta, kuat berlagak, akal pendek, gopoh-gapah, dan lain-lain.

Kelemahan pada watak-watak yang terdapat dalam surah Yusuf adalah jenis yang jarang berlaku:

(a) Perempuan-perempuan bangsawan tergoda melihat lelaki muda yang amat tampan sehingga tidak sedar mereka terpotong jari mereka sendiri, meskipun lelaki itu adalah seorang yang amat rendah kedudukan sosialnya.

(b) Adik-beradik yang berebut kasih sayang ayah sehingga sanggup hendak membunuh adik mereka yang paling disayangi oleh ayah mereka.

(c) Seorang ayah yang tersangat sabar ke atas tingkah laku buruk anak-anaknya, sehingga dia tidak mengambil tindakan ke atas anak-anaknya meskipun mereka menderhaka kepadanya, sebaliknya dia cuma asyik menangis sehingga kedua-dua matanya menjadi buta dan dikatakan oleh orang kampungnya dia sudah jadi gila.

Tuhanlah yang lebih mengetahui.

.

.

Thursday, December 28, 2006

Perwatakan dalam Surah Yusuf

Dalam seminar novel popular di DBP yang baru lalu, antara kritikan yang banyak kali dikongsi oleh para pembentang kertas kerja adalah kelemahan perwatakan dalam novel-novel yang dinilai.

Bagaimanakah cara menampilkan perwatakan yang kuat? Berikut adalah cara bagaimana surah Yusuf menampilkan perwatakan:

(1) Tiada sebarang keterangan berkenaan sifat-sifat tubuh badan watak-wataknya.

Kita langsung tidak diberitahu bagaimana bentuk tubuh badan, warna rambut, mata dan kulit Nabi Yusuf, Siti Zulaikha dan semua watak yang ada dalam surah itu.

(Bandingkan ini dengan cara bagaimana novel-novel cinta menerangkan bentuk tubuh badan watak-wataknya, lebih-lebih lagi bentuk tubuh badan watak utama perempuan.)

(2) Tiada keterangan berkenaan pakaian watak-wataknya.

Langsung tidak ada keterangan berkenaan pakaian yang dipakai oleh Nabi Yusuf ataupun Siti Zulaikha dan semua watak lain.

(Bandingkan ini dengan cara bagaimana novel-novel cinta menerangkan dengan sangat terperinci pakaian watak-wataknya, lebih-lebih lagi pakaian watak-watak utamanya.)

(3) Tiada ayat naratif yang menerangkan sifat peribadi watak.

Allah tidak menerangkan sifat-sifat peribadi watak-watak dalam surah Yusuf dengan menggunakan ayat naratif. Contoh ayat naratif yang menerangkan peribadi watak adalah: Arif seorang yang sangat sabar dan tabah. Ayat jenis ini tidak ada dalam surah Yusuf.

Sebaliknya, bagi menerangkan sifat-sifat watak, Allah menggunakan kata-kata sifat dalam dialog-dialog watak-wataknya.

(Bandingkan ini dengan bagaimana pengarang novel-novel cinta menerangkan sifat-sifat peribadi watak-watak mereka dalam ayat naratif.)

(4) Tiada ayat naratif yang menerangkan fikiran dan perasaan watak.

Contoh ayat naratif yang menerangkan fikiran dan perasaan watak adalah: Meskipun Leha sudah menjangka Sudin tidak akan mahu mengalah kepada pujuk rayunya, namun dia tetap amat kecewa. Ayat jenis ini tidak ada dalam surah Yusuf.

(Bandingkan ini dengan bagaimana pengarang novel-novel cinta menerangkan fikiran dan perasaan watak-watak mereka dalam ayat naratif.)

Teknik (3) dan (4) adalah sangat berlainan daripada amalan para penulis novel konvensional.

Nota: Di PTS, latihan teknik (3) dan (4) diberi tekanan bagi penulis yang terlibat dalam program penulisan kreatif.

.

.

Monday, December 18, 2006

Surah Yusuf dan Teori Terjemahan

Pelajar subjek terjemahan di negara ini selama ini diindoktrinasi oleh pensyarah mereka supaya menerima dengan tanpa soal setiap satu daripada apa yang ada dalam senarai nilai etika, prinsip dan teknik-teknik teori terjemahan ciptaan mubaligh-mubaligh dan profesor-profesor Barat (baca Eropah-Kristian).

Saya katakan ‘Kristian’ sebab sememangnya latar belakang para pelopor dan pendiri teori-teori terjemahan yang diajarkan di pusat-pusat pengajian tinggi hari ini adalah mubaligh-mubaligh Kristian. Mereka mencipta teori-teori bagi membantu aktiviti penterjemahan Bible ke dalam bahasa-bahasa dunia.

Prinsip yang paling utama dalam semua teori terjemahan konvensional adalah “bentuk lawan isi” yang mengatakan bahawa bentuk boleh diubah tetapi isi tidak boleh diubah sama sekali.

Dengan latar belakang bahawa teori-teori itu dibangunkan sebagai panduan para penterjemah Bible, maka tentu sekali prinsip “bentuk boleh diubah tetapi isi mesti dikekalkan” menjadi prinsip yang betul bagi penterjemahan Bible.

Tetapi prinsip ini sekarang diajarkan kepada pelajar terjemahan sebagai prinsip yang mesti dipegang bagi SEMUA jenis terjemahan!

Bacalah karya-karya terjemahan sastera Barat dalam Bahasa Melayu (dan Indonesia) sebagai contoh, maka dapat dilihat bagaimana para penterjemah kita menganuti prinsip “bentuk lawan isi” itu dengan taat sekali, tanpa ragu, tanpa sangsi, seolah-olah prinsip-prinsip ciptaan para mubaligh Kristian itu adalah prinsip-prinsip kudus yang diturunkan dari langit!

Dengan menganuti prinsip “ISI mesti dikekalkan dalam semua jenis terjemahan”, ini bermakna si penterjemah telah membenarkan budaya bahasa penerima ditakluki oleh budaya bahasa sumber.

Justeru, walau apa sekalipun “ISI” yang terkandung dalam karya asal, yakni apakah ISI itu selaras ataupun tidak dengan nilai-nilai budaya bahasa penerima, apakah isi itu berupa sampah sarap budaya mungkar dalam bahasa sumber, ISI itu tetap dipindahkan ke dalam terjemahan Melayunya.

Jelas sekali, teori terjemahan konvensional itu sentrik budaya sumber! Ia tidak memberi hak membuat pilihan kepada bahasa penerima. Nah! Inilah mazhab teori terjemahan yang diindoktrinasikan ke atas minda pelajar-pelajar kursus terjemahan tanah air saat ini.

Di manakah “independence of mind” dan “freedom of knowledge” kita sehingga pakar-pakar teori terjemahan tanah air tidak melakukan penilaian ke atas validiti ilmu terjemahan yang diasaskan oleh mubaligh-mubaligh Kristian, dalam konteks bahasa dan budaya kita?

Sekarang kita kembali kepada persoalan pokok: Apakah Islam tidak mempunyai sumber-sumbernya sendiri bagi membangunkan etika dan teori-teori terjemahan yang syariah-compliant?

Jawapannya: Ada. Seluruh dialog dalam surah Yusuf adalah dialog yang diterjemahkan oleh Allah SWT sendiri, daripada bahasa Yahudi dan bahasa Mesir Kuno ke dalam bahasa Arab.

Nabi Yusuf itu adalah bangsa Yahudi yang tinggal di Palestina, justeru dalam kehidupannya yang sebenar, beliau bercakap menggunakan bahasa itu. Manakala Raja Mesir menuturkan bahasa Mesir Kuno. Semua percakapan mereka dalam bahasa Yahudi dan Mesir Kuno itu diterjemahkan oleh Allah ke dalam bahasa Arab dalam surah Yusuf.

Dalam memilih dialog-dialog yang diterjemahkan, dialog-dialog yang dipilih oleh Allah itu mencerminkan prinsip-prinsip berkenaan unsur-unsur yang boleh diterjemahkan dan yang tidak boleh diterjemahkan dalam sesebuah cerita.

.

.

Surah Yusuf dan Tema Evergreen

Novel saudara menjadi evergreen apabila tema ceritanya evergreen. Justeru, memilih tema menjadi kemahiran kritikal.

Sesetengah cerita hanya dapat dijual dalam jangka masa singkat, yakni ia bermusim. Sebagai contoh, sepanjang musim Piala Dunia bagi sukan bola sepak, buku cerita yang ditulis dengan tema sukan itu dapat dijual. Habis pesta bola, jualan buku itu pun merudum.

Tema yang evergreen adalah tema nilai dengan konflik antara dua nilai yang bertentangan. Konflik nilai adalah konflik kejiwaan. Itulah sebabnya konflik nilai mempunyai ciri konflik yang evergreen.

Tema utama dalam kisah Nabi Yusuf adalah ‘kebaikan’ lawan ‘kejahatan’. Watak-watak yang melambangkan tema kebaikan adalah Nabi Yusuf, Nabi Yaakub, Nabi Bunyamin dan Raja Mesir, manakala watak-watak yang melambangkan tema kejahatan adalah isteri al-Aziz, dan abang-abang Nabi Yusuf.

Tema ‘kebaikan’ lawan ‘kejahatan’ adalah tema paling evergreen. Dalam dunia siri komik dan kartun kanak-kanak sekalipun, tema ini kekal menjadi formula kejayaan paling utama. Hanya watak-watak sahaja berubah, manakala tema ‘kebaikan’ lawan ‘kejahatan’ kekal.
.

.

Surah Yusuf dan Surat Cinta

Apakah hukumnya apabila novelis Muslim menulis kisah-kisah cinta yang di dalamnya diselitkan dengan warkah-warkah cinta dan puisi-puisi cinta?

Isu ini perlu dibincangkan oleh ulamak-ulamak sastera Islami. Kita, baik penerbit, editor mahupun penulis, semuanya memerlukan panduan piawai ISO bagi novel-novel cinta yang layak dikategorikan sebagai novel cinta yang HALAL dibaca.

Tema cinta dibenarkan dalam sastera Islami berdasarkan hujah nas bahawa cinta adalah salah satu tema dalam kisah Nabi Yusuf. Dalam kisah Nabi Yusuf, cinta itu adalah cinta seorang perempuan yang sudah menjadi isteri orang kepada lelaki lain.

Selain itu terdapat pula dalam al-Quran kisah cinta Nabi Adam kepada Hawa, begitu juga ada kisah cinta Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis. Juga cinta Nabi Ibrahim kepada Siti Hajar, isteri keduanya.

Isunya sekarang, teknik-teknik dan ayat-ayat yang bagaimana yang dibenarkan dalam novel cinta Islami, dan teknik-teknik serta ayat-ayat yang bagaimana yang tidak dibenarkan?

Dalam surah Yusuf, tidak ada surat cinta dituliskan oleh isteri al-Aziz kepada Nabi Yusuf. Dalam kisah cinta Nabi Adam, Nabi Sulaiman dan Nabi Ibrahim juga tidak disebutkan mereka menulis surat cinta. Adakah ini bermakna dalam novel cinta Islami pengarang tidak dibenarkan memasukkan warkah-warkah cinta?

Kalau kita mengatakan ’surat’ tidak ada dalam surah Yusuf, barangkali pendapat ini tidak berapa sohih.

Dalam surah Yusuf, pada suatu waktu, Nabi Yusuf duduk satu sel dalam penjara dengan 2 orang banduan. Nabi Yusuf meminta banduan yang dibebaskan supaya menyampaikan pesannya kepada Raja Mesir dan menceritakan kepada baginda kedudukannya yang tidak bersalah.

Dalam peristiwa lain Nabi Yusuf meminta bekas banduan itu menyampaikan pesannya kepada Raja Mesir itu supaya memanggil isteri al-Aziz dan bertanya sendiri kepada perempuan itu apa sebenarnya yang terjadi sehingga dirinya dipenjarakan.

Perbuatan menyampaikan kata-kata dalam bentuk pesan dapat ditakwilkan dengan perbuatan menuliskan kata-kata ke atas kertas menjadi sepucuk surat.

Berdsasarkan takwil antara ‘pesan’ dan ’surat’, maka menulis surat ada dalam surah Yusuf.

Allah jualah yang lebih mengetahui.

Bagaimana pula isu menuliskan puisi-puisi cinta? Apakah ia dibenarkan ataupun tidak.

Ayat-ayat al-Quran adalah ayat-ayat yang mempunyai ciri-ciri puitis. Justeru, ayat-ayat yang diucapkan oleh isteri al-Aziz kepada Nabi Yusuf adalah ayat-ayat yang puitis sifatnya. Apakah ini bermakna puisi cinta dibenarkan diselitkan dalam novel cinta Islami?

.

.

Surah Yusuf dan Kisah Cinta yang Indah

Sastera Islami aliran surah Yusuf menerima genre novel cinta berdasarkan fakta bahawa tema cinta adalah salah satu tema utama dalam surah Yusuf.

Justeru menulis novel cinta dapat menjadi ibadah. Maka, dari sudut pandang teori sastera Islami aliran surah Yusuf, tidak timbul isu apakah genre novel cinta itu layak diterima sebagai sastera ataupun bukan sastera.

Isunya sekarang, apakah ciri-ciri ‘cinta’ yang menjadi unsur keindahan dalam sebuah kisah cinta yang indah berdasarkan sudut pandang Quran.

Ada beberapa unsur cinta yang lain daripada yang lain dalam kisah Nabi Yusuf.

Meskipun Allah sendiri mengatakan bahawa kisah Nabi Yusuf itu adalah kisah yang ‘paling indah’, namun cinta yang diceritakan dalam surah ini lazimnya tidak dianggap cinta yang indah dalam tradisi kisah-kisah cinta konvensional.

Cinta yang berlaku dalam surah Yusuf adalah:

(1) Cinta itu adalah cinta seorang perempuan dewasa yang berhati kejam.

(2) Ia cinta terlarang, cinta seorang isteri curang, cinta seorang ibu angkat ke atas anak angkatnya sendiri.

(3) Ia bukan cinta inosen teruna-dara, bukan cinta tulus suci, bukan cinta penuh pengorbanan.

(4) Ia cinta yang tidak kesampaian, bukan cinta yang berakhir dengan perkahwinan dan kebahagiaan.

(5) Ia cinta yang berubah menjadi dendam, yang klimaksnya adalah penganiayaan yang dilakukan oleh si pecinta ke atas yang dicinta.

(6) Ia kisah seorang teruna mempertahankan kesucian dirinya daripada eksploitasi nafsu seorang perempuan kaya yang ternama, bukan sebaliknya.

(7) Ia kisah perempuan dewasa tergila-gilakan lelaki muda teruna, bukan sebaliknya.

Para penganut teori-teori sastera konvensional akan mengatakan 7 ciri cinta dalam kisah Nabi Yusuf ini adalah bahan-bahan yang hanya layak ditulis oleh pengarang-pengarang novel picisan, novel cabul, alias novel sampah sahaja.

Tujuh ciri cinta pada surah kisah Nabi Yusuf itu akan dikatakan hanya membawa segala macam kerosakan ke atas minda pembaca, justeru tidak selayaknya diiktiraf sebagai cerita yang bermutu sastera.

Namun, begitulah ciri-ciri materi cinta yang diperkisahkan dalam surah Yusuf oleh Allah Taala.

Allah jualah yang lebih mengetahui.

.

.

Lokasi Surah Yusuf

Sesetengah lokasi dan setting mencipta kesan keindahan yang lebih bagus daripada sesetengah setting yang lain. Justeru saudara perlu memilih setting yang dapat mencipta kesan keindahan bagi novel cinta saudara.

Sesetengah lokasi, apabila difilemkan, setting dan lokasi itu menyebabkan filem itu menjadi lebih cantik.

Kisah cinta yang menggunakan settingnya lokasi seperti pejabat, kedai runcit, bilik darjah, reban ayam, balai polis, stesen teksi, warung kopi, padang bola dan seumpamanya tidak mencipta imej-imej indah dan tidak menimbulkan emosi-emosi indah dan romantis.

Lokasi dan setting dalam kisah surah Yusuf adalah padang pasir, khemah Nabi Yaakub, rumah hartawan al-Aziz, penjara, gudang simpanan makanan, dan istana Raja Mesir.

.

.

Kisah Cinta Nabi Yusuf dan Pembaca Kanak-kanak

Novel cinta lazimnya dikaitkan dengan pembaca yang usia dan psikologinya sudah bersedia memasuki alam percintaan, yakni pembaca dewasa.

Alasan yang digunakan adalah kerana babak-babak percintaan tidak sesuai dibaca oleh kanak-kanak dan remaja, dikhuatiri bahan bacaan seperti itu dapat merosakkan pemikiran dan akhlaq golongan muda.

Dalam isu ini, bagaimanakah sudut pandang teori sastera Islami?

Berdasarkan surah Yusuf, tema cinta adalah sesuai bagi semua lapisan usia - kanak-kanak, remaja, dewasa ataupun tua, lelaki mahupun perempuan.

Surah Yusuf diturunkan bagi dibaca oleh semua lapisan usia. Tidak ada surah untuk kanak-kanak sahaja, ataupun untuk remaja sahaja ataupun untuk dewasa sahaja.

Demikianlah pula halnya akan al-Quran itu. Satu versi al-Quran untuk semua. Tidak ada al-Quran versi khusus untuk kanak-kanak ataupun remaja, ataupun dewasa.

Bagi kanak-kanak Arab, mereka memahami ayat-ayat Quran yang dibaca, yakni memahaminya sesuai dengan perkembangan kognitif mereka. Ramai kanak-kanak Arab sudah khatam membaca al-Quran sebelum mereka akil baligh, dalam erti kata lain, mereka tentu sudah membaca surah Yusuf.

Dalam surah Yusuf Allah menunjukkan bahawa tema, plot, perwatakan dan gaya bahasa pada kisah cinta isteri al-Aziz kepada Nabi Yusuf adalah model kisah cinta yang baik dan sesuai dibaca oleh kanak-kanak.

Justeru, dalam teori sastera Islami, maqam genre novel cinta adalah tinggi dan mulia, kerana perbuatan menyampaikan mesej Islam via kisah cinta yang indah adalah ajaran sunnah Quran.

Mari kita beramai-ramai belajar menulis novel cinta yang indah dan evergreen untuk bacaan kanak-kanak!

.

.

Setting Zaman dalam Surah Yusuf

Apabila saudara menulis novel, ada tema, ada cerita dan ada setting. Ada dua jenis setting: (a) Setting lokasi dan (b) Setting zaman.

Selain setting lokasi, setting zaman juga memainkan peranan penting dalam strategi mencipta kesan keindahan dan romantisisme.

Kisah cinta biasa-biasa yang bertemakan isu ‘antara dua darjat’ dapat menciptakan kesan keindahan yang sangat berbeda apabila ia dituliskan dengan latar belakang lokasi dan zaman yang berbeda.

(i) Kisah cinta anak nelayan miskin dengan anak orang kaya yang berlaku di kuala Sungai Duyung, Melaka pada tahun 2006 mencipta kesan lain.

(ii) Kisah cinta anak nelayan miskin dengan anak orang kaya yang berlaku di Sungai Duyung, Melaka pada tahun 1946 mencipta kesan lain.

(iii) Kisah cinta anak nelayan miskin dengan anak orang kaya yang berlaku di Sungai Duyung, Melaka pada tahun 1511 mencipta kesan lain.

Bagaimanakah prinsip pemilihan setting lokasi dan zaman yang terdapat dalam surah Yusuf?

Surah Yusuf disampaikan kepada Nabi Muhammad sekitar tahun 600 selepas Masehi. Di dalam surah itu, diceritakan kepada Nabi Muhammad sebuah cerita yang berlaku pada zaman dahulu kala.

Jadi jelaslah, sebuah kisah cinta yang menggunakan setting zaman bahari dapat mencipta kesan keindahan yang lebih baik dan evergreen.

.

.

Surah Yusuf dan Hero Novel Cinta Remaja

Novel cinta remaja ditargetkan kepada pembaca gadis-gadis remaja antara 14 - 16 tahun.

Dalam kisah cinta, sudah tentu ada dua orang watak utama, seorang lelaki dan seorang perempuan.

Bagi menghasilkan sebuah kisah cinta yang indah, siapakah yang lebih elok dijadikan watak utama, si lelaki ataupun si perempuan?

Surah Yusuf menunjukkan bahawa kisah cinta yang indah akan bertambah indah apabila lelaki dipilih sebagai watak utama, manakala perempuan dijadikan watak kedua utama.

.

.

Surah Yusuf dan Novel Cinta Remaja

Apabila saudara menulis novel cinta untuk remaja perempuan braket usia 14 - 16 tahun, sedikit pengetahuan tentang psikologi remaja perempuan pada usia itu adalah berguna sekali:

(1) Pertama, mereka teramat idealistik.

Mereka percaya orang baik akan menerima segala yang baik-baik. Nasib akan menjaga mereka yang baik. Kebaikan akan tetap dibalas dengan kebaikan. Mereka juga percaya semua orang boleh berubah menjadi baik. Faktor ini menyebabkan remaja pada usia ini tidak suka cerita di mana watak yang baik berakhir dengan menerima nasib buruk.

Dalam surah Yusuf, Nabi Yusuf akhirnya menjadi wazir. Abang-abang Nabi Yusuf berubah menjadi insaf dan baik.

(2) Kedua, mereka percaya dunia ini hitam-putih.

Yang baik, baik semua. Yang jahat-jahat semua. Kalau pandai, pandai semua. Kalau bodoh, bodoh semua. Tidak mungkin ada orang yang baik dan jahat pada waktu yang sama. Tidak mungkin orang yang pandai sebenarnya bodoh. Jadi remaja pada usia ini tidak suka watak-watak yang memiliki sifat-sifat yang saling bertentangan.

Dalam surah Yusuf, heronya, Nabi Yusuf adalah manusia ideal yang baik serba serbi. Manakala Zulaikha dan abang-abangnya jahat belaka.

(3) Ketiga, mereka percaya Tuhan itu sangat baik.

Remaja perempuan pada usia itu mempunyai keyakinan Tuhan amat baik dan Tuhan akan mengampunkan semua orang.

Dalam surah Yusuf, semua watak jahat akhirnya diberi peluang menjadi orang-orang yang baik, di mana tidak seorang pun watak jahat yang kekal jahat. Begitu pula, tidak ada seorang pun dihukum atas kejahatan mereka.

(4) Keempat, mereka percaya dunia ini adil.

Remaja pada usia ini percaya yang baik akan dibalas baik, yang jahat akan dibalas jahat. Segala-galanya akan berakhir dengan kebaikan dan kegembiraan.

Dalam surah Yusuf, cerita berakhir dengan semua watak mendapat kebaikan dan kegembiraan. Happy ending.

(5) Kelima, mereka tidak suka memikirkan kematian.

Remaja pada usia ini percaya kematian adalah sesuatu yang masih jauh daripada diri mereka. Oleh itu mereka tidak suka cerita yang berakhir dengan kematian.

Dalam surah Yusuf, tidak ada watak yang dimatikan.

Lima ciri psikologi remaja perempuan yang seperti itu menunjukkan innocence mereka, kemurnian persepsi mereka tentang dunia dan kehidupan, bahawa otak, jiwa dan kalbu mereka masih putih bersih.

Justeru, dengan bersandarkan jalan cerita dalam surah Yusuf, pengarang novel cinta remaja tidak boleh mencederakan, menodai, mengotori dan merosakkan innocence pemikiran, jiwa dan kalbu gadis-gadis yang masih muda remaja dan suci bersih dengan menghidangkan cerita-cerita reality tentang kebusukan, keburukan, kemungkaran dan kebobrokan yang dicipta oleh dunia orang dewasa.

Tuhanlah yang lebih mengetahui.

.

.

Dialog Kanak-kanak dalam Surah Yusuf

Apabila saudara menulis dialog yang diucapkan oleh watak kanak-kanak, adakah saudara menggunakan gaya bahasa sebagaimana yang digunakan oleh kanak-kanak dalam dunia realiti?

Gaya kanak-kanak bercakap disebut dengan istilah ‘infantile language’ ataupun ‘bahasa budak’. Dalam dunia sebenar, orang dewasa yang normal perkembangan psikologinya tidak bercakap menggunakan bahasa budak. Jadi, kalau ada orang dewasa yang bercakap menggunakan bahasa budak, orang itu dikatakan tidak normal, cacat mental.

Penggunaan bahasa budak dalam karya sastera mencipta kesan negatif ke atas mutu susastera sesuatu karya.

Apabila dialog watak-watak budak dituliskan menggunakan bahasa budak, automatis karya itu menjadi buku cerita budak-budak, bukan novel yang bertaraf karya sastera.

Mutu karya jatuh lebih rendah apabila dialog watak-watak dewasa yang bercakap dengan watak budak juga ditulis menggunakan bahasa budak.

Faktor yang membedakan novel sastera daripada buku cerita budak-budak adalah gaya bahasanya!

Dalam surah Yusuf, semasa Nabi Yusuf masih kecil, setiap dialog antara Nabi Yusuf dengan ayahnya, Nabi Yaakub, dituliskan dalam bahasa Arab yang amat tinggi dan indah.

.



Surah Yusuf dan Cinta Tak Kesampaian

Kisah cinta dalam surah Yusuf tidak diakhiri dengan perkahwinan. Pada akhirnya Siti Zulaikha tidak berkahwin dengan lelaki yang sangat dicintanya, Nabi Yusuf.

Justeru, berdasarkan model kisah cinta Nabi Yusuf, sebuah kisah cinta yang indah adalah kisah cinta yang tidak berakhir dengan perkahwinan.

Dalam karya Hamka yang terkenal, “Di Bawah Lindungan Kaabah”, “Merantau ke Deli” dan “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck”, percintaan hero dan heroinnya tidak berakhir dengan perkahwinan. Demikian juga dalam karya Marah Roesli, “Siti Noerbaya”.

Dalam “Romeo dan Juliet”, “Laila Majnun” dan “Uda dan Dara”, semuanya tidak berakhir dengan perkahwinan.

Ciri cinta yang berakhir dengan perkahwinan yang bahagia (and they live happily ever after…) adalah ciri sastera kanak-kanak perempuan!

.

Percintaan dalam Surah Yusuf

Kisah cinta Yusuf-Zulaikha adalah kisah cinta paling indah sebagaimana yang dikatakan oleh Allah sendiri. Namun, dalam surah Yusuf kisah itu tidak diakhiri dengan perkahwinan.

Kisah cinta Yusuf-Zulaikha berakhir “tergantung-gantung”. Pembaca tidak diberitahu apakah Nabi Yusuf tidak membalas cinta Zulaikha, ataupun apakah Zulaikha waktu itu masih menjadi isteri al-Aziz, ataupun apakah Zulaikha tetap terus menggilai Nabi Yusuf.

Dalam cerita-cerita riwayat orang-orang Yahudi, ada versi yang mengatakan Joseph (Nabi Yusuf) akhirnya mengahwini Zulaikha dan disebabkan Zulaikha sudah benar-benar bertaubat dan menjadi perempuan solihah, maka Tuhan mengembalikan Zulaikha menjadi perawan semula.

Di manakah unsur keindahan dalam sebuah percintaan yang tidak kesampaian?

Mengapakah Allah mengakhiri kisah cinta Yusuf-Zulaikha dengan Zulaikha mengakui di depan Raja Mesir bahawa Nabi Yusuf tidak bersalah. Mengapa sampai di situ sahaja?

.

.

Surah Yusuf dan Bahasa Santai

Dalam seminar novel popular yang diadakan di DBP, isu gaya bahasa santai berkali-kali dibangkitkan oleh anggota panel pengkaji dan peserta.

Bagi para pengkaji itu, salah satu faktor yang menjadikan novel-novel popular tidak mencapai mutu susastera adalah disebabkan gaya bahasa santai yang digunakan.

Namun, dari sudut pandang lain, mungkin sahaja salah satu faktor kejayaan novel-novel popular dalam pasaran adalah disebabkan gaya bahasa santai itu.

Surah Yusuf diturunkan dalam bahasa Arab Tinggi yang indah, bukan bahasa santai. Justeru, menulis dengan menggunakan gaya bahasa tinggi yang indah adalah sunnah Quran, dan dengan demikian setiap huruf yang dituliskan itu diberi pahala kebaikan.

Manakala, menulis menggunakan bahasa santai bukan sunnah Quran.

Adakah karya yang ditulis menggunakan gaya bahasa santai ditolak dalam konsep “sastera hasanah”?

Sastera hasanah tidak menolak sesebuah karya itu semata-mata atas alasan ia ditulis menggunakan bahasa santai.

Dari sudut pandang teori sastera hasanah, gaya bahasa santai bukan haram, namun gaya bahasa santai adalah gaya bahasa yang tidak berciri Quranic-compliant.

Dengan demikian, martabat karya dalam bahasa santai adalah lebih rendah daripada karya yang ditulis menggunakan bahasa tinggi.

Manakala menulis menggunakan bahasa tinggi mendapat “pahala bahasa”, menulis menggunakan bahasa santai tidak mendapat pahala bahasa.

.

.

Thursday, December 07, 2006

Cinta dalam Surah Yusuf

Sastera Islami aliran surah Yusuf menerima genre novel cinta berdasarkan fakta bahawa tema cinta adalah salah satu tema utama dalam surah Yusuf.

Justeru menulis novel cinta dapat menjadi ibadah. Maka, dari sudut pandang teori sastera Islami aliran surah Yusuf, tidak timbul isu apakah genre novel cinta itu layak diterima sebagai sastera ataupun bukan sastera.

Isunya sekarang, apakah ciri-ciri ‘cinta’ yang menjadi unsur keindahan dalam sebuah kisah cinta yang indah berdasarkan sudut pandang Quran.

Ada beberapa unsur cinta yang lain daripada yang lain dalam kisah Nabi Yusuf.

Meskipun Allah sendiri mengatakan bahawa kisah Nabi Yusuf itu adalah kisah yang ‘paling indah’, namun cinta yang diceritakan dalam surah ini lazimnya tidak dianggap cinta yang indah dalam tradisi kisah-kisah cinta konvensional.

Cinta yang berlaku dalam surah Yusuf adalah:

(1) Cinta itu adalah cinta seorang perempuan dewasa yang berhati kejam.

(2) Ia cinta terlarang, cinta seorang isteri curang, cinta seorang ibu angkat ke atas anak angkatnya sendiri.

(3) Ia bukan cinta inosen teruna-dara, bukan cinta tulus suci, bukan cinta penuh pengorbanan.

(4) Ia cinta yang tidak kesampaian, bukan cinta yang berakhir dengan perkahwinan dan kebahagiaan.

(5) Ia cinta yang berubah menjadi dendam, yang klimaksnya adalah penganiayaan yang dilakukan oleh si pecinta ke atas yang dicinta.

(6) Ia kisah seorang teruna mempertahankan kesucian dirinya daripada eksploitasi nafsu seorang perempuan kaya yang ternama, bukan sebaliknya.

(7) Ia kisah perempuan dewasa tergila-gilakan lelaki muda teruna, bukan sebaliknya.

Para penganut teori-teori sastera konvensional akan mengatakan 7 ciri cinta dalam kisah Nabi Yusuf ini adalah bahan-bahan yang hanya layak ditulis oleh pengarang-pengarang novel picisan, novel cabul, alias novel sampah sahaja.

Tujuh ciri cinta pada surah kisah Nabi Yusuf itu akan dikatakan hanya membawa segala macam kerosakan ke atas minda pembaca, justeru tidak selayaknya diiktiraf sebagai cerita yang bermutu sastera.

Namun, begitulah ciri-ciri materi cinta yang diperkisahkan dalam surah Yusuf oleh Allah Taala.

Allah jualah yang lebih mengetahui.

.

.

Surah Yusuf dan Warkah Cinta

Apakah hukumnya apabila novelis Muslim menulis kisah-kisah cinta yang di dalamnya diselitkan dengan warkah-warkah cinta dan puisi-puisi cinta?

Isu ini perlu dibincangkan oleh ulamak-ulamak sastera Islami. Kita, baik penerbit, editor mahupun penulis, semuanya memerlukan panduan piawai ISO bagi novel-novel cinta yang layak dikategorikan sebagai novel cinta yang HALAL dibaca.

Tema cinta dibenarkan dalam sastera Islami berdasarkan hujah nas bahawa cinta adalah salah satu tema dalam kisah Nabi Yusuf. Dalam kisah Nabi Yusuf, cinta itu adalah cinta seorang perempuan yang sudah menjadi isteri orang kepada lelaki lain.

Selain itu terdapat pula dalam al-Quran kisah cinta Nabi Adam kepada Hawa, begitu juga ada kisah cinta Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis. Juga cinta Nabi Ibrahim kepada Siti Hajar, isteri keduanya.

Isunya sekarang, teknik-teknik dan ayat-ayat yang bagaimana yang dibenarkan dalam novel cinta Islami, dan teknik-teknik serta ayat-ayat yang bagaimana yang tidak dibenarkan?

Dalam surah Yusuf, tidak ada surat cinta dituliskan oleh isteri al-Aziz kepada Nabi Yusuf. Dalam kisah cinta Nabi Adam, Nabi Sulaiman dan Nabi Ibrahim juga tidak disebutkan mereka menulis surat cinta. Adakah ini bermakna dalam novel cinta Islami pengarang tidak dibenarkan memasukkan warkah-warkah cinta?

Bagaimana pula isu menuliskan puisi-puisi cinta? Apakah ia dibenarkan ataupun tidak.

Ayat-ayat al-Quran adalah ayat-ayat yang mempunyai ciri-ciri puitis. Justeru, ayat-ayat yang diucapkan oleh isteri al-Aziz kepada Nabi Yusuf adalah ayat-ayat yang puitis sifatnya. Apakah ini bermakna puisi cinta dibenarkan diselitkan dalam novel cinta Islami?


.

Monday, November 27, 2006

Surah Yusuf dan Sastera Syariah-Compliant

Sekian lama kita membincangkan konsep sastera Islami dengan menggunakan istilah “Sastera Islam”. Penggunaan istilah sastera Islam menyebabkan timbulnya lebih banyak masalah daripada menyelesaikan masalah.

Masalah yang paling panas dibincangkan adalah polemik yang tak habis-habisnya adalah polemik tentang definisi teknikal apa itu yang dikatakan karya sastera Islam.

(a) Ada yang mengatakan sastera Islam mesti ditulis oleh orang beragama Islam sahaja.

Maka timbul isu bagaimana status sastera agung dunia yang ditulis oleh orang bukan Islam yang kandungannya tidak bertentangan dengan Islam. Apakah Islam menolak khazanah itu sebagai khazanah yang bermanfaat dibaca oleh orang Islam?

Juga bagaimanakah status karya-karya yang ditulis sebelum si penulis masuk Islam, ataupun sebelum si penulis keluar Islam.

(b) Ada yang mengatakan karya sastera Islam mesti ditulis dengan adanya NIAT mahu menulis kerana Allah semata-mata.

Maka timbul isu bagaimanakah kriteria ini dapat dipastikan kerana isu niat si penulis adalah sesuatu yang hanya diketahui oleh yang empunya diri. Bagaimana mungkin seseorang itu mengetahui apa niat individu lain.

Juga, niat yang betul tidak menjamin karya yang dihasilkan itu Islamik.

(c) Ada yang mengatakan karya sastera Islam mestilah kandungannya dengan terang dan jelas selaras dengan worldview Islam.

Maka timbul masalah kekaburan tentang kriteria keselarasan kandungan karya dengan worldview Islam. Sebagai contoh, bagaimanakah status karya yang bertemakan worldview Syiah, apakah ia dapat diterima sebagai sastera Islam dalam konteks masyarakat yang anti-syiah?

Sementara tokoh-tokoh sastera terus ghairah berpolemik, ketiga-tiga isu di atas mempunyai implikasinya ke atas (a) dasar penerbitan dan (b) dasar editorial sesebuah penerbit seperti PTS FORTUNA Sdn. Bhd. yang fokus pada penerbitan karya sastera Islami.

Dasar penerbitan

Dasar ini menentukan apa yang boleh diterbitkan dan apa yang tidak boleh diterbitkan oleh penerbit. Dasar ini sebenarnya adalah dasar perniagaan sesebuah syarikat penerbitan berkenaan jenis-jenis produk yang diperdagangkannya.

Dasar penerbitan menentukan karya yang ditulis oleh siapa, dan karya yang bagaimana isi kandungannya, yang boleh diterbitkan dan yang tidak boleh diterbitkan oleh PTS FORTUNA.

Disebabkan adalah dasar penerbitan PTS bahawa ia hanya menerbitkan buku-buku yang sesuai dengan Islam, jikalau apa yang didefinikan sebagai ’sastera Islam’ itu semestinya ditulis oleh orang Islam, ini bermakna PTS tidak akan menerbitkan terjemahan sastera dunia seperti karya Shakespeare dan Sherlock Holmes.

Sebagai contoh sahaja… dasar penerbitan yang tidak konkrit, dapat mencetuskan konflik pahit antara PTS dengan pengarang Cina yang menghantar novelnya, konon atas hujah pengarang itu bukan Islam. (Nanti jika dia sudah masuk Islam, barulah karyanya diterbitkan!)

Dasar editorial

Dasar ini menentukan kuasa-kuasa dan akauntabiliti para editor PTS FORTUNA apabila menyediakan sesebuah manuskrip bagi penerbitan.

Dasar ini menentukan unsur-unsur yang mesti ditukar, ataupun dipotong dan dibuang oleh editor PTS sebelum sesebuah manuskrip itu diterbitkan.

Dasar editorial yang tidak konkrit juga dapat mencetuskan konflik pahit dan personal dengan penulis yang tidak puas hati dengan penerbit yang meminda manuskrip asal.

Justeru, dalam operasi hariannya, PTS FORTUNA menggunakan manual editorial yang digubal berdasarkan konsep dan istilah “sastera syariah-compliant”. Istilah ini adalah istilah legal. Ia menyenaraikan unsur-unsur yang tidak boleh ada dalam sesuatu manuskrip yang bakal diterbitkan.

Konsep sastera syariah-compliant adalah konsep yang amat teknikal. Konsep ini memisahkan antara ‘creator’ yakni sang pencipta daripada ‘creation’ yakni ciptaannya.

Konsep sastera syariah-compliant itu difokuskan pada produk, yakni pada karya, bukan pada karyawan.

Konsep “syariah-compliant” diamalkan dalam industri makanan dan perbankan. Justeru sijil HALAL, suatu dokumen perakuan rasmi bahawa sesuatu produk itu syariah-compliant, diberikan kepada produk, bukan kepada pencipta produk.

Dengan meminjam konsep dan istilah “syariah-compliant” daripada industri makanan dan perbankan, maka PTS dapat mengamalkan dasar penerbitan yang membolehkan ia menerbitkan karya Shakespeare dan Sherlock Holmes.

Bagi mendapatkan kriteria teknikal ciri karya yang syariah-compliant, buat masa ini PTS menggunakan surah Yusuf sebagai rujukan, sehingga kita berjaya mengembangkan lagi teori dan teknik penulisan kreatif berdasarkan kajian yang lebih luas dan mendalam ke atas teks al-Quran.

Allah jualah yang maha mengetahui.

.

.

Surah Yusuf dan Kritikan Sastera Barat

Para pengkritik sastera daripada aliran Barat lazimnya menolak cara menulis novel yang memasukkan ciri-ciri yang memudahkan sesebuah novel itu diadaptasikan menjadi filem. Malah mereka mengatakan pemikiran yang demikian hanya layak ada pada penulis-penulis novel popular yang karya mereka tidak bertaraf sastera.

Justeru, adalah menjadi prinsip pegangan para pengkritik sastera aliran Barat bahawa novel yang bertaraf sastera tidak selayaknya dihasilkan dengan ingatan novel itu dapat difilemkan dengan mudah dan berkesan.

Bebas daripada mindset kritik sastera aliran Barat, yakni tanpa memikirkan faktor filem sama sekali dalam proses penulisannya, para penulis novel Islami yang menggunakan teknik-teknik penulisan dalam surah Yusuf dengan sendirinya menghasilkan novel yang mudah dituliskan, mudah diadaptasikan bukan hanya ke media filem, malah mudah di-telenovela-kan, mudah dianimasikan, mudah dinovel-grafikkan, mudah dijadikan skrip drama radio, mudah dipentaskan dan mudah di-abridge-kan.

Penulis novel popular bukan Islam memasukkan unsur-unsur adaptasi filem atas dorongan kewangan bagi mempelbagaikan sumber royalti yang mereka terima daripada karya mereka.

Namun, bagi penulis novel Islami aliran surah Yusuf, mereka bukan menulis demi filem mahupun royalti. Mereka juga bukan menulis dengan agenda mahu menghasilkan novel yang bertaraf ’sastera’ ataupun ‘bukan sastera’ ataupun ‘novel popular’.

Mereka menghasilkan novel dengan menggunakan teknik-teknik dalam surah Yusuf sebagai ibadah, yakni didorong oleh keyakinan religius mereka bahawa dalam al-Quran itu terdapat sumber teori sastera Islami dan panduan teknik penulisan kreatif.

Sebanyak mana mereka menggunakan teknik-teknik dalam surah Yusuf, itu adalah berkait dengan kemahiran dan penguasaan seseorang penulis ke atas teknik-teknik itu.

Jika kritikan sastera aliran Barat nanti mengkategorikan novel-novel Islami aliran surah Yusuf sebagai tidak bernilai sastera disebabkan novel-novel itu mempunyai ciri-ciri yang memudahkan ia difilemkan, maka penilaian mereka bukan endorsement yang dimahukan oleh novelis Islami aliran Surah Yusuf.

Allah jualah yang lebih mengetahui mengapa teknik-teknik penceritaan dalam surah Yusuf itu secara natural menghasilkan novel-novel yang mudah diadaptasikan ke dalam berbagai media.

.

.

Surah Yusuf: Dari Novel ke Filem

Salah satu ciri novel yang ditulis supaya mudah diadaptasikan kepada filem adalah ciri perkembangan plotnya yang laju.

Sesetengah novel perlahan dibaca, manakala sesetengah novel laju dibaca. Novel yang ditulis dengan filem dalam kepala pengarangnya mempunyai ciri laju dibaca, selaju filem ditonton.

Sebagai penulis baru, saudara mungkin bertanya, apakah faktor-faktor yang menyebabkan sesebuah novel itu perlahan ataupun cepat dibaca.

Faktor-faktor itu adalah:


1. Dialog lebih laju dibaca daripada naratif.

Semakin banyak dialog, semakin laju novel itu dibaca. Semakin banyak teks naratif, semakin perlahan novel itu dibaca. Kisah Nabi Yusuf disampaikan menggunakan lebih 80% dialog. Ini adalah peratusan yang sangat tinggi.

Semakin banyak dialog dalam novel asal, semakin mudah dialog itu dikekalkan dalam filem.


2. Dialog pendek lebih laju dibaca daripada dialog panjang.

Lebih pendek dialog itu, lebih laju ia dibaca. Dialog yang pendek juga lebih mudah dilakonkan dalam filem. Dalam Surah Yusuf, 50% dialog terdiri daripada dialog 1 ayat.


3. Bukan semua teks naratif perlahan dibaca.

(a) Teks naratif yang dihasilkan oleh pengarang omnipotent adalah lebih perlahan dibaca daripada yang bukan. Istilah ‘omnipotent’ bermakna ‘maha berkuasa’ ataupun ‘maha tahu’. Pengarang omnipotent menggunakan banyak kata sifat (adjectives) dalam naratif.

Teks naratif jenis ini disebut teks TELLING. Teks naratif TELLING sukar diadaptasikan ke dalam filem kerana ia sukar dilakonkan.

Gaya naratif TELLING bukan gaya bahasa surah Yusuf.

(b) Teks naratif yang bersifat SHOWING lebih laju dibaca. Teks jenis ini ditulis oleh pengarang yang tidak bersikap omnipotent. Pengarang bukan omnipotent banyak menggunakan kata nama dan kata kerja (nouns and verbs) dalam naratif.

Teks naratif SHOWING mudah diadaptasikan ke dalam novel kerana ia mudah dilakonkan. Gaya bahasa TELLING adalah gaya bahasa surah Yusuf.

Belajar menulis novel yang mudah difilemkan banyak manfaatnya. Pertama, apabila filem itu menerima sambutan hangat, jualan novelnya naik.

Kedua, mesej murni dalam novel asal dapat disebarkan dengan lebih luas sebab bukan semua orang suka membaca. Banyak orang suka menonton filem dan televisyen.

Ketiga, novel-novel itu membantu perkembangan industri filem yang sihat. Keempat, penulis mendapat dua sumber royalti, daripada buku dan daripada filem.


.

.

Teori Terjemahan Islami Bersumberkan Surah Yusuf

Dari sudut pandang etika kerja Islami, baik pengarang mahupun penterjemah, kedua-dua profesion ini sama-sama tidak dibenarkan menghasilkan karya-karya yang mengandung unsur-unsur yang membahayakan akhlak masyarakat.

Justeru, apa yang tidak dibenarkan wujud dalam karya sastera Islami aliran surah Yusuf adalah juga tidak dibenarkan dalam karya terjemahan.

Babak asmara tidak dibenarkan dituliskan secara direct dalam karya sastera Islami, maka babak asmara juga tidak dibenarkan diimpot secara direct melalui karya terjemahan.

Prinsip etika ini mengundang polemik dan kontroversi keras antara pengarang karya asal dengan penterjemah.

Namun prinsip etika ini juga sangat memudahkan kerja para penerbit Islami dalam isu mengenal pasti karya-karya yang dibenarkan diterjemah dan diperdagangkan, dengan yang tidak dibenarkan.

Berdasarkan prinsip ini, penerbit terlebih dahulu menetapkan apakah sesebuah karya itu mempunyai ciri-ciri syariah-compliance ataupun tidak, sebelum memilih buku itu bagi diterjemahkan.

Ini berbeda sekali dengan teori terjemahan konvensional yang a-religius dan a-moral sifatnya. Dalam dewan kuliah teori terjemahan konvensional, pensyarah terus mengajarkan teknik-teknik terjemahan dengan tidak mengajarkan etika moral profesion penterjemahan.

Justeru, sebelum seseorang itu belajar teknik-teknik terjemahan, dia wajib belajar teori sastera Islami aliran surah Yusuf, kerana teknik-teknik terjemahan Islami adalah by-product teori sastera Islami aliran surah Yusuf.

Tidak seperti teori sastera konvensional yang a-moral, teori sastera Islami aliran surah Yusuf, justeru teori terjemahan Islami, adalah sangat moralistik sifatnya.

Tanpa memahami konsep-konsep dalam teori induknya, pelajar terjemahan sukar memahami dan mengaplikasikan prinsip-prinsip dan teknik-teknik terjemahan Islami.

.

.

Surah Yusuf dan Teori Terjemahan Barat

Pelajar subjek terjemahan di negara ini selama ini diindoktrinasi oleh pensyarah mereka supaya menerima dengan tanpa soal setiap satu daripada apa yang ada dalam senarai nilai etika, prinsip dan teknik-teknik teori terjemahan ciptaan mubaligh-mubaligh dan profesor-profesor Barat (baca Eropah-Kristian).

Saya katakan ‘Kristian’ sebab sememangnya latar belakang para pelopor dan pendiri teori-teori terjemahan yang diajarkan di pusat-pusat pengajian tinggi hari ini adalah mubaligh-mubaligh Kristian. Mereka mencipta teori-teori bagi membantu aktiviti penterjemahan Bible ke dalam bahasa-bahasa dunia.

Prinsip yang paling utama dalam semua teori terjemahan konvensional adalah “bentuk lawan isi” yang mengatakan bahawa bentuk boleh diubah tetapi isi tidak boleh diubah sama sekali.

Dengan latar belakang bahawa teori-teori itu dibangunkan sebagai panduan para penterjemah Bible, maka tentu sekali prinsip “bentuk boleh diubah tetapi isi mesti dikekalkan” menjadi prinsip yang betul bagi penterjemahan Bible.

Tetapi prinsip ini sekarang diajarkan kepada pelajar terjemahan sebagai prinsip yang mesti dipegang bagi SEMUA jenis terjemahan!

Bacalah karya-karya terjemahan sastera Barat dalam Bahasa Melayu (dan Indonesia) sebagai contoh, maka dapat dilihat bagaimana para penterjemah kita menganuti prinsip “bentuk lawan isi” itu dengan taat sekali, tanpa ragu, tanpa sangsi, seolah-olah prinsip-prinsip ciptaan para mubaligh Kristian itu adalah prinsip-prinsip kudus yang diturunkan dari langit!

Dengan menganuti prinsip “ISI mesti dikekalkan dalam semua jenis terjemahan”, ini bermakna si penterjemah telah membenarkan budaya bahasa penerima ditakluki oleh budaya bahasa sumber.

Justeru, walau apa sekalipun “ISI” yang terkandung dalam karya asal, yakni apakah ISI itu selaras ataupun tidak dengan nilai-nilai budaya bahasa penerima, apakah isi itu berupa sampah sarap budaya mungkar dalam bahasa sumber, ISI itu tetap dipindahkan ke dalam terjemahan Melayunya.

Jelas sekali, teori terjemahan konvensional itu sentrik budaya sumber! Ia tidak memberi hak membuat pilihan kepada bahasa penerima. Nah! Inilah mazhab teori terjemahan yang diindoktrinasikan ke atas minda pelajar-pelajar kursus terjemahan tanah air saat ini.

Di manakah “independence of mind” dan “freedom of knowledge” kita sehingga pakar-pakar teori terjemahan tanah air tidak melakukan penilaian ke atas validiti ilmu terjemahan yang diasaskan oleh mubaligh-mubaligh Kristian, dalam konteks bahasa dan budaya kita?

Sekarang kita kembali kepada persoalan pokok: Apakah Islam tidak mempunyai sumber-sumbernya sendiri bagi membangunkan etika dan teori-teori terjemahan yang syariah-compliant?

Jawapannya: Ada. Seluruh dialog dalam surah Yusuf adalah dialog yang diterjemahkan oleh Allah SWT sendiri, daripada bahasa Yahudi dan bahasa Mesir Kuno ke dalam bahasa Arab.

Nabi Yusuf itu adalah bangsa Yahudi yang tinggal di Palestina, justeru dalam kehidupannya yang sebenar, beliau bercakap menggunakan bahasa itu. Manakala Raja Mesir menuturkan bahasa Mesir Kuno. Semua percakapan mereka dalam bahasa Yahudi dan Mesir Kuno itu diterjemahkan oleh Allah ke dalam bahasa Arab dalam surah Yusuf.

Dalam memilih dialog-dialog yang diterjemahkan, dialog-dialog yang dipilih oleh Allah itu mencerminkan prinsip-prinsip berkenaan unsur-unsur yang boleh diterjemahkan dan yang tidak boleh diterjemahkan dalam sesebuah cerita.




Thursday, November 23, 2006

Falsafah dalam Karya


Ada pengarang Malaysia berasa tersinggung lalu marah-marah apabila seorang penulis Indonesia mengatakan karya Malaysia tidak mengandung falsafah.

Isu apakah komen penulis Indonesia itu benar bagi SEMUA karya penulis Malaysia, ataupun ia benar bagi mana-mana karya yang pernah dibaca oleh penulis Indonesia itu sahaja, isu itu bukan persoalan penting.

Yang penting adalah menerima kenyataan bahawa karya sastera mesti mencipta kesan ke atas daya fikir pembacanya bahawa karya itu mengandung falsafah dan dia memahami mesej falsafah si pengarang.

Kesan falsafah itu mesti terang dan jelas, sambil membaca, pembaca sudah nampak apa falsafah yang terkandung dalam karya itu.

Bukan mesej falsafah yang perlu dicari-cari, digali-gali, diteka-teka apa barangkali falsafah yang cuba disampaikan oleh si pengarang. Bukan kesan samar-samar, ataupun yang cuma diada-adakan oleh pengkritik karya itu.

Bukan juga falsafah yang memerlukan IQ tinggi disertai oleh penguasaan ilmu-ilmu bantu yang tinggi-tinggi bagi mengesan dan memahami mesej falsafah itu, bukan yang perlu difikir-fikirkan dengan mendalam, perlu direnungkan, dimenungkan.

Bukan, bukan falsafah yang seperti itu. Jika begini persepsi kita, karya seperti itu tidak banyak gunanya bagi tujuan memandaikan pembaca, sedangkan adalah fungsi asas sastera memberi pencerahan, yakni membantu pembaca menjadi lebih bijaksana selesai membacanya.

Bukan juga mesej falsafah yang hanya dapat dimasukkan oleh pengarang selepas banyak membaca buku-buku falsafah Barat mahupun kitab-kitab tulisan ulamak-ulamak agung. Jika begini persepsi kita, maka tidak banyak penulis yang berani memasukkan unsur falsafah ke dalam karyanya.

Memang ada karya sastera yang bertaraf karya falsafah, yang ditulis oleh pengarang yang menguasai ilmu-ilmu falsafah, dan hanya dapat difahami mesej falsafahnya oleh pembaca yang memiliki banyak ilmu-ilmu bantu yang tinggi dan kompleks. Barangkali kategori inilah yang dimaksudkan oleh si penulis Indonesia itu.

Dari sudut pandang Islam, setiap penulis dituntut memasukkan mesej falsafah ajaran Islam ke dalam karyanya, tanpa kekecualian apakah karya itu cerita kanak-kanak, novel remaja, novel cinta ataupun fiksyen sains, dan tanpa kekecualian apakah individu yang membaca karyanya itu kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.

Justeru Islam tidak membataskan tugas berfalsafah itu kepada sasterawan yang menguasai ilmu-ilmu falsafah Islam, Barat dan Timur sahaja, ataupun kepada mereka yang menulis novel-novel bertaraf ’sastera’ sahaja. Tuntutan Islam ini tidak membedakan penulis kepada kategori sasterawan dan bukan sasterawan, suatu pembedaan ciptaan pakar-pakar teori sastera aliran konvensional.

Justeru, dari sudut pandang Islam, penulis-penulis novel remaja, novel popular, novel cinta, novel sejarah, malah novel thriller sekalipun, dituntut memasukkan mesej falsafah dalam karyanya.

Apabila Islam menuntut semua penulis berfalsafah, maka timbul 2 isu:

(1) Isu pertama, apakah jenis-jenis falsafah yang mudah dimasukkan ke dalam karya, sehingga ia membolehkan penulis yang belum membaca buku-buku falsafah pun dapat memasukkan unsur falsafah dalam karyanya.

(2) Isu kedua adalah, apakah ada teknik-teknik yang mudah bagi memasukkan unsur falsafah ke dalam karya, sehingga penulis-penulis yang baru belajar menulis pun sudah dapat mempelajari dan menggunakan teknik-teknik itu.

………………….

Pesan bagi mentee-mentee SifuPTS:

Memasukkan kandungan falsafah dalam novel jibunsyi adalah mudah. Ikut teknik yang digunakan dalam surah Yusuf. Teknik itu adalah dengan menggunakan dialog yang mengandung nilai. Maksudnya, mesej falsafah itu disampaikan dalam dialog watak-watak, bukan dalam naratif.

Teknik dialog mengandung nilai falsafah inilah yang digunakan dalam sastera komik Amerika. Inilah yang membolehkan, jangan dikatakan karya sastera, malah strip komik Amerika sekalipun, mengandung unsur falsafah. Justeru, si kucing Garfield itu pun seringkali mengucapkan dialog-dialog yang mengandung mesej falsafah!

(Teknik falsafah dalam dialog inilah yang membolehkan Garfiled diminati oleh semua kategori manusia, di semua pelosok dunia - dan tidak terbatas pada peminat kucing sahaja.)

Berdasarkan surah Yusuf, watak utama mestilah seorang yang mengucapkan dialog yang mengandung falsafah ajaran Islam. Prinsip inilah yang menyebabkan dalam teori sastera Islami (aliran surah Yusuf), watak utama tidak boleh merupakan individu yang tidak baik, yang tidak insaf sampai akhir cerita, sebab jika begitu, kita memberikan kemenangan moral kepada kemungkaran.

Ada dua jenis dialog falsafah dalam surah Yusuf:

(1) Dialog yang dengan jelas mengandungi mesej falsafah Islam.

Sebagai contoh, ayat 90: “Barang siapa yang hatinya sabar, Allah tidak menyia-nyiakan perbuatan baiknya.”

(2) Dialog yang tidak secara jelas menyatakan ajaran Islam.

Sebagai contoh ayat 35: Dalam episod sewaktu isteri al-Aziz mengancam Nabi Yusuf, sekiranya dia tetap enggan membalas cintanya, maka dia akan pastikan supaya Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara.

Dijawab oleh Nabi Yusuf dengan berkata lebih kurang beginilah maksudnya, “…saya lebih cintakan penjara daripada cinta yang puan tawarkan kepada saya…”

Sifu sedang menyambung kajian ke atas surah Yusuf….

Jangan lupa! Besok, Sabtu 25 Nov, datang kelas tambahan!



Tuesday, November 21, 2006

Branding dan Surah Yusuf

Nama saudara dapat dijadikan BRAND. Nama penulis menjadi BRAND apabila orang membeli sesuatu buku itu disebabkan dia menghargai nama pengarangnya.

Brand mempunyai tempoh hayatnya. Brand yang dikenali oleh suatu generasi belum tentu dikenali oleh generasi berikutnya.

Ambil kes ini sebagai contoh: Nama Azizi Hj. Abdullah adalah salah satu nama besar dalam sastera Melayu moden. Bagi generasi SifuPTS, siapa yang tidak kenal nama itu. Beliau banyak menerima anugerah.

Pada suatu masa pengetua sebuah sekolah mengundang beliau memberi ceramah kepada pelajar-pelajar sekolahnya.

Apabila Azizi bertanya kepada pelajar-pelajar yang hadir, siapa kenal karya-karyanya, tidak seorang pun yang kenal. Tidak ada yang pernah mendengar nama 'Azizi Hj. Abdullah' sebagai nama seorang sasterawan. Pengetua sekolah itu kenal nama beliau, tetapi pelajar-pelajar itu tidak kenal.

Kes Azizi Hj. Abdullah bukan kes yang unik. Majoriti nama-nama sasterawan seangkatan dengan Azizi mengalami nasib yang serupa. Pelajar-pelajar sekolah hari ini tidak kenal mereka.

Faktor utama yang menimbulkan situasi ini adalah disebabkan karya-karya mereka tidak ada di dalam perpustakaan sekolah. Inilah yang menyebabkan pelajar-pelajar tidak kenal dan tidak dapat membaca karya-karya mereka.

Walaupun Azizi Hj. Abdullah mempunyai banyak karya, karya-karya beliau tidak lagi diulangcetak dan dipasarkan ke perpustakaan sekolah.

Suatu hari nanti sudara mungkin mengalami nasib seperti sasterawan Azizi Hj. Abdullah. Pada hari ini novel saudara mungkin laku keras, tetapi 10 tahun dari sekarang, pelajar-pelajar sekolah menengah mungkin tidak kenal nama saudara.

Sepuluh tahun dari sekarang, bagaimanakah caranya hendak menjual novel saudara kepada pembeli yang tidak kenal nama saudara? Sedangkan 10 tahun dari sekarang sudah banyak nama-nama kontemporari yang terkenal, yang menguasai pasaran semasa.

Sebagai penulis, saudara perlu memilih penerbit yang buku-bukunya mendapat kepercayaan guru-guru, dan dengan demikian buku-buku penerbit itu banyak dijual ke perpustakaan sekolah, supaya karya saudara dibaca oleh pelajar.

Lebih awal kanak-kanak membaca buku-buku saudara, itu adalah lebih baik.

Pelajar yang sudah kenal nama saudara sejak di bangku sekolah menengah atas, apabila mereka sudah bekerja, mereka akan membeli karya-karya terbaru saudara. Nama saudara sudah menjadi BRAND dalam memorinya.

Apabila mereka mempunyai anak kecil yang sudah pandai membaca, mereka akan membelikan buku-buku yang pernah dibacanya sewaktu mereka masih di sekolah rendah! Nama saudara sudah menjadi BRAND dalam memorinya.

Apabila dia mempunyai cucu, dia akan membelikan buku saudara sebagai hadiah untuk bacaan cucu-cucunya. Pendeknya, seorang nenek yang membaca buku "Cinderela" sewaktu dia kecil, dia akan membelikan buku cerita itu untuk anaknya, dan kemudian untuk cucunya.

Tulislah buku-buku evergreen bagi pasaran perpustakaan sekolah rendah dan menengah. Dengan cara ini saudara sudah mencipta nama saudara sebagai BRAND dalam otak peminat saudara sejak mereka masih kecil lagi.

Sejak di sekolah rendah mereka sudah membaca buku cerita karangan saudara. Apabila naik ke sekolah menengah, buku saudara pun ada dalam perpustakaan dan mereka membaca karya saudara.

Apabila mereka keluar sekolah dan memasuki alam pekerjaan, apabila mereka pergi ke kedai buku, percayalah mereka akan beli karya-karya saudara yang ada dalam kedai buku. Tingkah laku ini disebut dengan istilah 'brand loyalti'.

Ini adalah strategi kerja jangka masa panjang. Ini adalah vision yang mendorong saudara menulis buku-buku cerita evergreen, yang dapat diulang cetak setiap tahun, selama berpuluh-puluh tahun.

Banyak buku hayat jualannya amat singkat. Ia cuma dapat dijual semusim. Habis musim ia menjadi 'buku lama'. Selepas 10 tahun ia menjadi 'buku buruk'. Buku-buku seperti itu adalah buku yang tidak bertaraf harta intelek.

Buku-buku yang evergreen akan dapat dijual kepada beberapa generasi. Buku jenis inilah yang disebut harta intelek.

Sebagai harta buku-buku itu membawa pulangan yang berpanjangan, malah royaltinya dapat diwariskan kepada anak cucu. Justeru, jangan terpilih penerbit yang membeli ataupun 'merampas' hakcipta karya saudara.

Strategi kerja bagaimana menghasilkan karya untuk pasaran dewasa dan remaja sekaligus dan serentak sudah diterangkan kepada mentee-mentee Sifu yang mengikuti bengkel jibunsyi.

(a) Ikut model kisah Nabi Yusuf, yang plot ceritanya bermula sejak beliau 8 tahun.

(b) Tulis novel jibunsyi saudara menggunakan KJ Method.

(c) Tiru gaya bahasa tinggi seperti yang digunakan dalam Surah Yusuf, sebab Bahasa Tinggi itu mempunyai hayat evergreen.

Jangan menulis dengan mengikuti prinsip-prinsip, teknik serta gaya bahasa ciptaan akal manusia semata-mata, dan menolak model yang Allah sudah tunjukkan dalam Quran.

Allah lebih mengetahui strategi dan cara kerja yang menghasilkan karya hasanah yang evergreen. Kita ikut sahaja strategi dan teknik-teknik ciptaan Allah itu.
.

.

Sunday, November 12, 2006

Teknik Surah Yusuf: Senarai Semakan

Entri ini khusus untuk mentee-mentee SifuPTS yang ikut serta dalam program penulisan novel jibunsyi:

Ciri-ciri keindahan jibunsyi:

1. Kisah benar dalam sebuah keluarga (Ya) (Tidak)

2. Watak utamanya lelaki (Ya) (Tidak)

3. Watak pembantu utamanya perempuan (Ya) (Tidak)

4. Tempoh ceritanya panjang, sejak watak utama 8 tahun, selama sekurang-kurangnya 20 tahun (Ya) (Tidak)

5. Jumlah wataknya banyak, sekurang-kurangnya 20 orang (Ya) (Tidak)

6. Watak-watak jahat lebih banyak daripada watak-watak baik (Ya) (Tidak)

7. Tidak ada watak jahat yang dihukum, sebaliknya semua watak jahat insaf sendiri (Ya) (Tidak)

8. Terdapat watak-watak daripada pelbagai latar belakang, usia, bangsa dan status dalam masyarakat (Ya) (Tidak)

9. Watak utama ditimpa malang sekurang-kurangnya 5 kali (Ya) (Tidak)

10. Watak utama berkonflik dengan sekurang-kurang 5 pihak lain (Ya) (Tidak)

11. Pada akhir cerita watak utamanya berjaya (Ya) (Tidak)

12. Plot disampaikan secara kronologi (Ya) (Tidak)

13. Bahasa yang digunakan dalam naratif dan dialog adalah Bahasa Tinggi dan bernilai sastera (Ya) (Tidak)

14. Tidak ada bahasa campur-aduk dengan bahasa asing (Ya) (Tidak)

15. Tidak ada bahasa manja, bahasa bayi dan bahasa mesra (Ya) (Tidak)

16. Tidak ada babak percampuran lelaki-perempuan bukan muhrim yang tidak dibenarkan oleh agama seperti majlis tari menari, disko dan seumpamanya (Ya) (Tidak)

17. Tidak ada babak lelaki perempuan berdua-duaan ataupun babak berasmara (Ya) (Tidak)

18. Tidak ada dialog yang menggunakan bahasa kesat (Ya) (Tidak)

19. Tidak ada gambaran tubuh badan lelaki tampan dan perempuan jelita (Ya) (Tidak)

20. Tidak ada deskripsi pakaian lelaki tampan dan perempuan jelita (Ya) (Tidak)

21. Babak-babak mungkar diceritakan dalam dialog, bukan dalam naratif (Ya) (Tidak)

22. Pengarang tidak masuk ke dalam otak dan hati watak-watak (Ya) (Tidak)

23. Kata sifat tidak digunakan dalam naratif, sebaliknya digunakan dalam dialog (Ya) (Tidak)

24. Tidak ada gambaran alam semulajadi (Ya) (Tidak)

25. Tidak ada ukuran-ukuran spesifik (Ya) (Tidak)

26. Tidak ada simbol-simbol kekayaan (Ya) (Tidak)

27. Tidak ada deskripsi detail ruang dalam bangunan (Ya) (Tidak)

28. 30% pekata di depan kata (Ya) (Tidak)

29. 50% dialog terdiri daripada 1 ayat dalam 1 dialog (Ya) (Tidak)

29. Paling kurang 60 episod (Ya) (Tidak)

30. Satu kad satu episod (Ya) (Tidak)

31. Ditulis secara non-linear ikut KJ Method (Ya) (Tidak)

33. DIALOG. ACTION. SETTING (Ya) (Tidak)

Nota: Makin banyak (YA), semakin indah novel saudara.

.

.

Friday, November 10, 2006

Surah Yusuf: Dari Novel ke Filem

Surah Yusuf terdiri daripada 111 ayat. Daripada jumlah 111 ayat itu 98 ayat adalah ayat yang secara langsung menceritakan kisah Nabi Yusuf. Dari pada 98 ayat itu, 86 ayat mengandungi dialog, yakni sekitar 88%. Ini adalah peratusan yang amat tinggi.

Kita tidak tahu mengapa Allah menyampaikan kisah hidup Nabi Yusuf dengan menggunakan dialog. Allah sahajalah yang mengetahui.

Namun, akal logik kita dapat melihat beberapa kelebihan cerita yang ditulis dengan menggunakan banyak dialog:

(1) Jumlah dialog yang banyak memudahkan kerja mengadaptasi novel itu menjadi skrip filem kerana ini bermakna dialog watak-watak sudah disediakan dalam novel itu. Penulis skrip filem hanya perlu memilih dialog-dialog yang hendak digunakan.

(2) Ia juga memudahkan kerja-kerja mengadaptasi novel itu menjadi novel grafik kerana dialog untuk belon-belon sudah disediakan dalam novel itu. Ini amat memudahkan penulis story-board edisi novel grafiknya.

(3) Novel yang menggunakan banyak dialog juga lebih mudah dan lebih laju dibaca dibandingkan dengan novel yang banyak menggunakan naratif.

Kita sudah mendengar cadangan supaya lebih banyak filem-filem tempatan dibuat berdasarkan adaptasi novel-novel terbaik dalam sastera Melayu. Baca Utusan.

Salah satu halangan teknikal yang dihadapi bagi menjayakan cadangan itu adalah bahawa sewaktu novel-novel itu ditulis, isu adaptasi ke filem tidak pernah diambil kira oleh para pengarangnya. Ini menyebabkan kerja-kerja adaptasi itu menjadi sukar, malah hasil adaptasi beberapa novel Melayu yang pernah dilakukan tidak memuaskan hati si pengarang.

.

.

Tuesday, October 10, 2006

Dakwah dalam Novel: Prinsip Surah Ysuf

Mengikut teori sastera konvensional, penilaian dilakukan oleh manusia berdasarkan kayu-kayu ukur, yakni teori-teori sastera, ciptaan intelek manusia. Justeru sesebuah karya itu dikatakan karya sastera yang bermutu disebabkan ada individu-individu yang mengatakan begitu berdasarkan kayu ukur yang mereka cipta dan digunakan bagi menilai karya itu.


Apabila berdiskusi tentang novel Islami, menurut kayu ukur sasterawan aliran konvensional, mesej dakwah dalam novel tidak sepatutnya dituliskan dengan terang dan jelas. Sebaliknya mesej dakwah itu perlu disampaikan secara halus, samar-samar, dan terselindung di sebalik simbol-simbol. Justeru mereka menolak kehadiran petikan ayat-ayat Quran dan hadith dalam novel Islami.


Pada penilaian sasterawan konvensional, sastera itu lain, kitab agama itu lain. Disebabkan pandangan sebegitu, novel yang mengandungi unsur-unsur dakwah yang jelas dan terang diberi penilaian negatif, dianggap tidak bernilai sastera, tidak indah, malah dikategorikan ‘bukan sastera’.


Pada pandangan sasterawan konvensional, novel Islami hendaklah mendahulukan unsur-usur sasteranya, bukan unsur-unsur dakwahnya. Dengan demikian barulah novel itu dapat diterima sebagai bernilai sastera.


Justeru, para pendukung teori-teori sastera konvensional berpegang pada pandangan bahawa novel Islami yang berkualiti adalah novel yang unsur-unsur dakwahnya lemah, cair, kelam, ambigus.


Mereka mengemukakan contoh mesej dakwah yang halus, yang simbolik, justeru dikatakan indah, adalah seperti yang terdapat dalam novel The Old Man and the Sea karya Hemmingway. Dalam novel itu pada hujung cerita, orang tua itu memikul tiang layar perahunya naik ke pantai dengan matahari petang di belakangnya, lalu bayang-bayang yang jatuh ke atas pasir pantai serupa dengan gambar salib. Selain itu tidak ada langsung ayat-ayat yang dengan jelas menerangkan bahawa orang tua itu mempunyai sebarang agama.


Fenomena novel Ayat-ayat Cinta oleh Habiburrahman al-Sherazy yang terjual lebih 400 ribu naskhah di Indonesia membuktikan peminat sastera mahukan mesej dakwah yang terang dan jelas.


Angka jualan AAC adalah bukti bahawa pembaca sastera mahukan petikan ayat-ayat Quran dan hadith, mahukan dialog yang dengan jelas mengajak orang mencegah kejahatan dan melakukan kebaikan, yakni unsur-unsur yang ditolak oleh pemikir-pemikir sastera konvensional.


Dalam surah Yusuf, mesej dakwah dihadirkan dengan jelas dan terang, baik dalam ayat-ayat naratif mahupun dalam ayat-ayat dialog. Implikasinya adalah di sisi Tuhan, sesebuah kisah yang indah adalah kisah di mana mesej-mesej dakwahnya ditulis dengan jelas dan terang.


Justeru, apabila menilai apakah sesebuah novel itu Islami ataupun bukan Islami, maka kayu ukur yang digunakan seharusnya adalah ciptaan Tuhan, bukan kayu ukur ciptaan manusia.


Isu ini relevan dengan isu dasar dan senarai kriteria yang digunakan oleh panel hakim dalam pelbagai peraduan penulisan sastera Islami.


Nota: Ayat-ayat Cinta sudah diterbitkan semula di Malaysia dan boleh dibeli di semua kedai buku utama.

.


Wednesday, October 04, 2006

Surah Yusuf dan Logo HALAL

Seorang pemerhati bertanya apakah sesebuah karya yang tidak banyak menggunakan dialog, sebaliknya yang banyak menggunakan ayat-ayat naratif, tidak dapat mencapai taraf karya sastera yang indah dan yang evergreen?


Inilah respon kita:

Kita berpandangan, isu menilai apakah sesuatu karya itu indah ataupun kurang indah, perkara itu bukanlah objektif teori sastera Islami. Kita serahkan penilaian kepada Tuhan, sebab menilai adalah kerja Tuhan. Penilaian tentang indah ataupun buruk dilakukan ke atas hasil kerja, sedangkan yang lebih penting adalah usaha.

Dari sudut ideologi, kita meyakini, sesuatu karya yang dihasilkan dengan berpandukan ciri-ciri yang ada pada surah Yusuf, maka pastilah ia akan memiliki ciri-ciri kisah yang indah dan evergreen.

Kita perlu mencipta teori sastera disebabkan teori berfungsi sebagai alat kerja bagi menghasilkan karya sastera yang bermutu, sebagaimana kita perlu mencipta berus yang baik bagi menghasilkan lukisan yang bermutu.

Objektif teori sastera Islami adalah mencipta alat-alat kerja bagi menghasilkan karya yang syariah-compliant, yakni karya yang mematuhi undang-undang Tuhan. Maka boleh sahaja ciri-ciri itu dijadikan kayu ukur keindahan sesebuah karya. Semakin banyak karya itu memiliki ciri-ciri surah Yusuf, semakin tinggi ranking yang dapat diberikan kepada keindahan karya itu.

Sesebuah buku sastera seharusnya layak menggunakan logo HALAL apabila setiap ayat di dalamnya dapat disahkan 100%, dari kulit depan sehingga kulit belakang, semuanya mematuhi undang-undang Tuhan. Logo HALAL sangat berguna kepada ibu bapa dan sekolah sewaktu memilih buku-buku bagi bacaan anak-anak dan pelajar.

Dalam pekerjaan mencipta karya yang syariah-compliant itu, di manakah hendak dicari senarai hukum-hakam, yang dapat dijadikan garis panduan sewaktu hendak menentukan ayat-ayat yang diizinkan dan yang dilarang, yang perlu dipatuhi oleh karyawan.

Berdasarkan nas-nas yang mana hendak dikatakan bahawa sesuatu tema itu boleh digarap dalam sesebuah karya, manakala tema yang bagaimana pula yang tidak boleh? Ataupun bahawa ayat-ayat yang begini boleh dituliskan, manakala ayat-ayat yang begitu tidak boleh dituliskan?

Teori dan teknik surah Yusuf yang sedang diusahakan ini adalah suatu benda ciptaan manusia, yang dibangunkan dengan cara menganalisis perbendaharaan kata, struktur ayat dan struktur teks surah Yusuf itu sendiri.

Teori surah Yusuf adalah teori dan teknik-teknik bagaimana hendak menghasilkan karya sastera yang INDAH. Bagi menghasilkan karya-karya lain, spy-thriller ataupun novel perang umpamanya, perlu dibangunkan teori dan teknik-teknik lain pula, berdasarkan surah-surah lain pula.

Kita menunggu teori-teori dan teknik-teknik lain yang menyenaraikan ciri-ciri teknikal pelbagai genre yang syariah-compliant. Hasil daripada kepelbagaian hasil usaha itu nanti dapat menghasilkan alat-alat kerja yang praktikal bagi kegunaan karyawan Islami.

Tentang jaminan apakah dengan menggunakan teori dan teknik Surah Yusuf kita dapat menghasilkan karya yang evergreen, respon kita adalah: Tidak ada yang dapat dijamin oleh manusia, mahupun oleh teori ciptaan manusia.

Ini isu gabungan antara bakat, pengetahuan dan teknik. Teknik sahaja tidak cukup bagi menghasilkan karya yang indah. Ibarat pelukis yang hanya memiliki berus yang baik, sedangkan bakatnya rendah dan ilmunya sedikit, mana mungkin dia dapat menghasilkan lukisan yang setaraf Monalisa.


.

Thursday, September 28, 2006

Optimisme dan Pesimisme: Prinsip Surah Yusuf

Salah satu ciri kisah yang indah adalah di mana sesudah selesai membaca kisah itu, pembaca mendapat semacam harapan bahawa Tuhan tidak pernah membuangnya, bahawa sebesar mana sekalipun kesalahan yang penah dilakukannya dapat dihapus oleh keinsafan, bahawa apa juga masalah yang sedang dihadapinya akan terungkai, bahawa kezaliman akan digantikan dengan kebaikan.

Dalam kisah Nabi Yusuf, beliau tidak pernah berputus asa meskipun beliau ditimpa malang yang berat sebanyak 5 kali:

(1) Beliau dibenci oleh abang-abangnya sendiri di mana beliau cuba dibunuh oleh mereka lalu dibuang ke dalam telaga.

(2) Kemudian beliau dijual dengan harga murah sebagai abdi di negeri yang jauh.

(3) Kemudian beliau difitnah dengan fitnah yang berat oleh isteri majikannya sendiri, seorang pembesar dalam istana Raja Mesir.

(4) Kemudian beliau merengkok dalam penjara dan,

(5) Kemudian beliau merengkok lebih lama lagi dalam penjara apabila orang yang dipercayainya terlupa pada pesanannya.

Meskipun demikian, Nabi Yusuf akhirnya berpeluang membersihkan dirinya daripada fitnah perempuan itu. Kemudian beliau berpeluang memulangkan paku buah keras kepada abang-abangnya. Akhirnya, dari kedudukan hina sebagai banduan dalam penjara, beliau keluar lalu dilantik menjadi wazir Raja Mesir, suatu kedudukan yang mulia.

Dalam kisah Nabi Yusuf itu, semua watak jahat tidak dihukum, sebaliknya mereka insaf sendiri. Itulah yang berlaku ke atas perempuan yang memfitnah beliau, dan ke atas sembilan orang abangnya yang pernah cuba membunuh beliau.

Berdasarkan ciri-ciri yang terdapat dalam kisah Nabi Yusuf, dapatlah disimpulkan bahawa mesej sastera Islami adalah optimisme dan harapan. Dengan demikian sastera Islami menolak karya yang mencipta mood pesimisme dan putus asa.

Justeru, pada penilaian sastera Islami, bukanlah indah karya-karya yang menampilkan cerita-cerita yang menyebabkan timbul di hati pembaca emosi-emosi negatif terhadap watak-watak jahat dalam cerita itu, dan di mana watak-watak jahat terus menerus tidak insaf sampai ke akhir cerita.


.

Saturday, September 09, 2006

Tema Keluarga: Prinsip Surah Yusuf

Teori sastera konvensional tidak menerangkan kepada penulis apa tema-tema yang dapat melahirkan kisah-kisah yang indah, yang dapat kekal indah sepanjang zaman, yang dapat dinikmati oleh semua pembaca tanpa mengira bangsa, usia, agama mahupun kebudayaanya.

Mengikut teori sastera Islami aliran surah Yusuf, salah satu ciri pada tema utama dalam kisah yang indah adalah tema hubungan kekeluargaan.

Kisah Nabi Yusuf adalah kisah tentang apa yang terjadi dalam keluarga Nabi Yaakub suami isteri dengan 11 orang anak-anaknya. Dari mula kisah ini dibuka sehingga kisah ini tamat diceritakan, ia adalah perjalanan hidup keluarga Yaakub.

Dalam trend sastera konvensional hari ini, tema keluarga sudah dianggap passe, tidak trendi, sudah ketinggalan zaman. Dengan itu dalam novel-novel moden hari ini, watak-watak utamanya dicabut daripada akar kaum keluarganya menjadikan watak-watak itu sebagai individu-individu yang tidak berkeluarga ataupun mempunyai kaum kerabat lagi. Jadi kita lihat dalam novel SALINA karya A Samad Said, watak utama Salina tidak diceritakan latar belakang ahli-ahli keluarga dan sanak saudaranya.

Kita dapat melihat kelebihan karya yang mengambil tema perjalanan hidup sesebuah keluarga:

1. Tema keluarga adalah tema yang stabil. Ia stabil, tidak trendi, dan ia bersifat evergreen. Kisah Nabi Yusuf dan keluarganya sudah lebih seribu tahun usianya, dan ia masih kekal dibaca dan dinikmati sehingga hari ini.

Novel yang menjadikan tema keluarga sebagai tema utamanya dapat menjadi harta intelek yang panjang hayat pasarannya. Dengan demikian ia dapat dijual selama berpuluh-puluh tahun dan membawa hasil royalti yang berpanjangan.

2. Tema keluarga adalah tema universal. Ia bukan tema regional dan lokal. Tema-tema lokal, pasarannya pun lokal, oleh itu royaltinya kecil.

Justeru, cerita-cerita perjalanan hidup sesebuah keluarga dapat dinikmati oleh semua bangsa, dalam apa jua bahasa, justeru karya itu dapat diterjemahkan dan diekspot ke dalam bahasa-bahasa lain.

3. Tema keluarga menjadikan cerita itu dapat dibaca dan dinikmati oleh setiap anggota keluarga. Ia dapat dibaca generasi demi generasi. Kisah keluarga Nabi Yusuf dapat dibaca dan dinikmati oleh ibu bapa dan anak-anaknya.

Novel-novel tema keluarga, yang dulu dibaca oleh si ayah sewaktu dia remaja, kini novel-novel itu dapat pula dibaca dan dinikmati oleh anak-anaknya, malah cucu-cucunya. Pasaran novel jenis ini adalah lebih besar daripada pasaran novel yang tidak dapat dinikmati oleh semua anggota keluarga.

4. Tema keluarga adalah tema yang produktif. Sesetengah tema sukar menghasilkan produk-produknya. Namun tema keluarga adalah tema yang amat 'friendly', sesiapa sahaja dapat mencari bahan-bahan cerita kekeluargaan di sekelilingnya. Justeru mereka dapat menggunakan cerita perjalanan hidup keluarga mereka sendiri.

Tema perang sukar dihasilkan oleh penulis yang tidak mempunyai pengalaman berperang ataupun pengetahuan tentang ilmu peperangan, meskipun penulis itu dilahirkan dengan bakat kreatif yang besar. Demikian juga halnya dengan tema-tema sains, undang-undang, sejarah, penyakit mental dan seumpamanya.

Tentu sekali masih banyak kelebihan tema keluarga. Allah jualah yang lebih tahu mengapa apabila Dia hendak menunjukkan kisah yang indah, maka kisah yang dipilihNya adalah kisah keluarga Nabi Yaakub suami isteri dan anak-anaknya.


.

Monday, September 04, 2006

Ketampanan dan Kejelitaan: Prinsip Surah Yusuf

Unsur lelaki tampan dan perempuan jelita adalah unsur penting dalam teori sastera Islami aliran Surah Yusuf. Mengikut teori ini, kisah yang indah adalah kisah di mana watak utamanya adalah lelaki yang tampan, manakala watak pembantu utamanya adalah watak perempuan jelita.

Justeru, berdasarkan surah Yusuf, bagi menghasilkan kisah yang indah, watak utamanya mestilah lelaki muda dan tampan seperti Nabi Yusuf, manakala watak pembantu utamanya adalah perempuan cantik, seperti Zulaikha. Apabila watak-watak utamanya bukan lelaki tampan dan perempuan jelita, cerita yang terhasil itu nanti mungkin cerita yang menarik tetapi ia bukan 'kisah yang indah'.

Meskipun watak-watak utama dalam sastera Islami adalah lelaki yang tampan dan perempuan yang cantik, ada suatu unsur yang tidak terdapat dalam penceritaan kisah Nabi Yusuf, iaitu maklumat berkenaan tubuh badan Nabi Yusuf dan Zulaikha.

Dalam surah Yusuf sama sekali tidak ada walaupun sepatah perkataan yang menerangkan ciri-ciri tubuh badan Nabi Yusuf dan Zulaikha. Jadi kita tidak tahu apa warna rambut dan mata mereka. Kita juga tidak tahu warna kulit dan ketinggian mereka, sebagaimana kita tidak diberitahu tentang lain-lain bahagian tubuh badan mereka.

Daripada analisis ini dapatlah disimpulkan bahawa dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, pengarang tidak dibenarkan menerangkan ciri-ciri anggota tubuh badan watak-watak lelaki yang tampan dan perempuan-perempuan yang jelita.

Malah perkataan 'tampan' dan 'jelita' itu pun tidak terdapat dalam surah Yusuf. Kita dapat mengemukakan suatu hipotesis apakah ini suatu signal kepada kita bahawa kedua-dua perkataan itu, dan perkataan-perkataan lain yang sinonim maknyanya, sebaik-baiknya tidak digunakan dalam menghasilkan sebuah kisah yang indah.

Bandingkan ini dengan teori sastera konvensional, di mana dalam membina perwatakan, penulis dikehendaki memberikan maklumat detail tentang setiap orang watak, termasuk maklumat berkenaan anggota tubuh badan mereka, atas nama mencipta kesan realisme.



.

Tuesday, August 29, 2006

Pakaian: Prinsip Surah Yusuf

Salah satu unsur yang tidak diberikan gambarannya dalam penceritaan kisah Nabi Yusuf dalam surah Yusuf adalah pakaian watak-wataknya.


Tidak ada sebarang gambaran berkenaan pakaian yang dipakai oleh semua watak yang terdapat dalam kisah Nabi Yusuf. Jadi, kita tidak diberitahu apa pakaian Nabi Yusuf ataupun pakaian isteri al-Aziz (Zulaikha).


Dalam teknik penulisan sastera konvensional, pengarang memberikan gambaran detail berkenaan pakaian watak-wataknya kerana dengan cara itu dikatakan karya akan menjadi lebih realistik dan watak-watak menjadi lebih real.


Dalam sastera konvensional, pengarang akan menerangkan dengan detail pakaian yang bagaimana yang dipakai oleh perempuan seumpama Zulaikha pada hari perempuan itu berjaya mengumpan lelaki seumpama Nabi Yusuf supaya mahu masuk ke dalam kamar di mana perempuan itu berada di dalamnya.


Disebabkan watak macam Zulaikha itu berniat menggoda lelaki macam Nabi Yusuf, jadi dapatlah kita andaikan perempuan itu pastilah memakai pakaian yang selaras dengan niatnya itu. Maka penulis yang menggunakan teori novel konvensional akan menerangkan dengan detail pakaian yang dipakai oleh perempuan seperti Zulaikha itu.


Dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, kebalikannya yang berlaku, di mana pengarang tidak dikehendaki menerangkan pakaian yang dipakai oleh watak-wataknya.


Kita tidak dapat mengemukakan teori bagi menerangkan mengapa Allah tidak menerangkan sama sekali gambaran pakaian watak-watak dalam surah Yusuf, tetapi kita dapat melihat beberapa implikasi perkara ini:


(1) Pakaian adalah unsur yang 'time-bound', atau terikat-waktu.

Pakaian sebagai simbol tidak bersifat bebas waktu. Pakaian yang dianggap indah dan mahal pada satu-satu waktu mungkin dianggap hodoh dan murah pada waktu-waktu lain.


(2) Gambaran pakaian dapat digunakan oleh pengarang bagi tujuan negatif.

Sekiranya pengarang dibenarkan menggambarkan pakaian, khususnya pakaian perempuan cantik dan lelaki yang tampan, perkara ini dengan mudah dapat digunakan bagi tujuan negatif seperti yang banyak dilakukan oleh pengarang konvensional apabila hendak menerangkan episod-episod 'terlarang'.


Berdasarkan analisis ayat-ayat dalam surah Yusuf, kita menyimpulkan pengarang novel Islami tidak dibenarkan menerangkan pakaian watak-wataknya, khususnya pakaian watak-watak lelaki tampan dan perempuan cantik.

.

Friday, August 25, 2006

Gambaran Lukisan Alam Semula Jadi: Prinsip Surah Yusuf

Salah satu unsur yang tidak terdapat dalam teknik penceritaan dalam surah Yusuf adalah ayat-ayat yang menggambarkan lukisan alam semula jadi di tempat dan pada waktu sesuatu peristiwa itu berlaku.

Sebagai contoh, dalam peristiwa abang-abang Nabi Yusuf membawa beliau pergi keluar jauh dari rumah dan membuangnya ke dalam telaga, tidak ada maklumat berkenaan alam semula jadi tempat itu.

Ini berbeza dengan teknik penulisan dalam teori sastera konvensional, di mana bagi menciptakan setting yang realistik, penulis dikehendaki menggambarkan dengan tepat dan betul unsur-unsur alam semula jadi pada waktu dan di tempat di mana sesuatu peristiwa itu berlaku. Sebagai contoh, jika peristiwa itu berlaku pada waktu senja di tepi pantai, maka penulis dikehendaki menuliskan ayat-ayat yang menggambarkan keadaan tepi pantai pada waktu senja.

Maksud ayat-ayat lukisan alam semula jadi adalah seperti ayat-ayat berikut:

(a) Langit membiru dan angin malam sepoi-sepoi bahasa.
(b) Burung-burung beterbangan, daun-daun berguguran.
(c) Bulan mengambang di ufuk timur, sekali sekala wajahnya ditutup awan yang begerak.
(d) Matahari memancarkan sinar teriknya ke permukaan laut.
(e) Salju putih bagaikan kapas melitupi seluruh lembah dan angin sejuk menusuk hingga ke tulang sumsum.


Ini bermakna, dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, bagi menghasilkan sebuah kisah yang indah, gambaran alam semula jadi bukanlah unsur yang wajib dituliskan dalam karya. Ia adalah unsur pilihan, jika mahu boleh dilukiskan, jika tidak maka itu adalah lebih baik kerana ia selaras dengan teknik penceritaan surah Yusuf.

Allah-lah yang tahu mengapa unsur lukisan alam tidak ada dalam penceritaan kisah Nabi Yusuf. Kita hanya dapat melihat kelebihan-kelebihan praktikal prinsip ini seperti berikut:

(1) Dunia, pentas cerita, dan ruang gerak watak tidak menjadi sekecil pengalaman peribadi si penulis.
Disebab penulis sastera Islami tidak perlu melukiskan keadaan alam semula jadi di benua Afrika ataupun Latin Amerika, maka si penulis dengan bebas dapat membawa watak-wataknya pergi ke benua itu. Walaupun penulis tidak pernah pergi ke bulan ataupun masuk ke dalam dasar laut Antartika, dia masih boleh membawa watak-wataknya pergi ke bulan dan masuk ke dalam dasar laut kerana dia tidak perlu menceritakan pemandangan alam semula jadi di dasar laut Antartika.

Dalam teori sastera konvensional, dari sudut psikologi, penulis tidak berani mencipta jalan cerita yang berlaku di tempat-tempat yang dia belum pernah kunjungi disebabkan dia tidak dapat hendak mencipta ayat-ayat gambaran alam semula jadi tempat-tempat itu. Jadi mereka perlu mengeluarkan modal pergi ke Jerman ataupun Australia bagi menuliskan cerita yang berlaku di Jerman ataupun Australia. Untuk menuliskan cerita yang berlaku di Andalusia ataupun Bukhara, penulis mesti mengeluarkan biaya pergi ke Sepanyol ataupun Romania.

(2) Kisah indah itu bersifat 'bebas-waktu' dan 'bebas-ruang'.

Tanpa ayat-ayat yang menceritakan gambaran alam semula jadi, sebuah kisah yang indah itu dapat bersifat kekal indah sepanjang masa, ertinya keindahan itu tidak terfosil dalam konteks sesuatu periode ataupun tempat. Ia indah bila-bila sahaja dan di mana-mana sahaja.

Dalam teknik penulisan sastera konvensional, lukisan alam semula jadi yang terperinci menyebabkan apa yang dilukiskan itu ketinggalan waktu apabila keadaan alam semula jadi itu sudah berubah. Pantai yang digambarkan itu mungkin sudah ditebus-guna. Lombong mungkin sudah dikambus. Hutan sudah menjadi estet.

Contoh bagaimana sebuah kisah yang indah ditulis tanpa menggunakan gambaran alam semula jadi adalah novel jibunsyi Ashadi Zain Dari Kepala Batas ke New Haven di mana cerita itu berlaku di Malaysia, Amerika dan Australia.


.

Friday, August 18, 2006

Lelaki Tampan dan Perempuan Cantik: Prinsip Surah Yusuf

Hero dan heroin yang terdiri daripada lelaki tampan dan perempuan jelita adalah salah satu unsur keindahan pada kisah surah Yusuf.

Ketampanan Nabi Yusuf digambarkan dengan dua cara:

(a) Apabila perempuan-perempuan Palestina yang menjadi sahabat isteri al-Aziz terpandang Nabi Yusuf, mereka tidak percaya bahawa makhluk yang ada di depan mereka itu adalah manusia biasa. Mereka percaya yang mereka pandang itu adalah malaikat yang menyerupai manusia. Kata mereka, "Ini bukanlah manusia, tidak lain, ini malaikat yang mulia!" (ayat 31)

(b) Pada saat itu mereka masing-masing sedang memegang pisau buah, tetapi apabila mereka terpandang Nabi Yusuf, tanpa disedari, tangan mereka terluka oleh pisau yang dipegang. (ayat 31)

Kita tidak diberitahu tentang kejelitaan isteri al-Aziz tetapi ada disebutkan bahawa Nabi Yusuf tidak membalas cinta wanita itu disebabkan beliau takut kepada Allah (ayat 24). Dari sini kita dapat menyimpulkan bahawa wanita itu memiliki daya tarikan.

Berdasarkan surah Yusuf, bagi menghasilkan sebuah kisah yang indah, hero dan heroinnya hendaklah tampan dan jelita. Unsur ini amat jelas digunakan dalam industri filem.




.

Wednesday, August 02, 2006

Nama Watak dalam Surah Yusuf

Suatu perkara yang menarik pada perwatakan dalam surah Yusuf adalah nama-nama watak. Walaupun terdapat ramai watak dalam kisah Nabi Yusuf, tetapi hanya 4 orang watak sahaja yang disebut namanya, iaitu: Yusuf, Yaakub, Ishak dan Ibrahim.


Keempat-empat watak yang sebutkan namanya itu adalah nabi-nabi dan jalur keturunan Nabi Yusuf. Nama penuh Nabi Yusuf adalah Yusuf bin Yaakub bin Ishak bin Ibrahim.


Watak-watak penting yang tidak disebutkan namanya adalah:

a. Nama raja Mesir yang adil, yang menyiasat punca Nabi Yusuf dipenjarakan.

b. Nama orang besar yang digelar 'al-Aziz' yang mengambil Nabi Yusuf sebagai anak angkat.

c. Nama isteri al-Aziz yang jatuh cinta kepada Nabi Yusuf dan kemudian memfitnah Nabi Yusuf.

d. Nama abang-abang Nabi Yusuf yang berlainan ibu, khususnya nama abangnya yang mencadangkan supaya Nabi Yusuf dibunuh, dan nama abangnya yang mencadangkan supaya Nabi Yusuf jangan dibunuh sebaliknya dibuang sahaja jauh-jauh.

e. Nama abang Nabi Yusuf yang seayah seibu yang dijadikan tebusan oleh Nabi Yusuf.


Nama watak-watak tambahan yang tidak disebut namanya:

a. Nama ibu Nabi Yusuf.

b. Nama saksi yang melihat kejadian isteri al-Aziz menarik baju Nabi Yusuf dari belakang.

c. Nama pencari air yang menjumpai Nabi Yusuf dalam telaga.

d. Nama-nama wanita Mesir yang mengumpat isteri al-Aziz dan yang terpotong jari mereka.

e. Nama 2 orang banduan yang bersama-sama Nabi Yusuf dalam penjara.

f. Nama pembantu Nabi Yusuf sewaktu beliau sudah menjadi orang besar dalam istana raja Mesir, yang membantu muslihat tebusan Nabi Bunyamin.


Kita belum dapat mengemukakan teori mengapa pola penamaan watak dalam surah Yusuf ini bersifat seperti ini.


.

Sunday, July 23, 2006

Kemenangan Moral: Prinsip Surah Yusuf

Ada tiga jenis kemenangan. Pertama, kemenangan fizikal. Kedua, kemenangan material, yakni kemenangan daripada sudut harta dan kekayaan. Ketiga, kemenangan moral.

Dalam pertikaman antara Hang Tuah dan Hang Jebat, Hang Tuah mendapat kemenangan fizikal dengan kejayaannya membunuh Hang Jebat. Namun Hang Tuah mengalami kekalahan moral disebabkan masyarakat moden tidak dapat menerima kesanggupan seseorang yang dikatakan pahlawan membunuh sahabat karib yang telah membelanya.

Kemenangan moral adalah kemenangan buruk - lawan - baik, yakni berdasarkan nilai-nilai murni.

Dari sudut teori sastera Islami aliran surah Yusuf, kemenangan moral tidak boleh diberikan kepada watak-watak hitam.

a. Watak jahat tidak boleh dijadikan hero ataupun watak utama. Dalam surah Yusuf, watak utama adalah seorang yang baik, yang ideal.

b. Watak jahat tidak boleh diberikan kemenangan dan terlepas daripada sebarang hukuman. Dalam surah Yusuf, Zulaikha 'dihukum' dengan mendapat malu di depan raja Mesir, manakala abang-abang Nabi Yusuf 'dihukum' dengan terpaksa meminta kasihan kepada Nabi Yusuf semasa ditimpa kelaparan.

c. Watak jahat tidak boleh terus dibiarkan berada dalam kejahatan sehingga tamat cerita, yakni watak jahat itu terus hidup sihat dan kaya raya, sampai mati dia tidak sedar akan kejahatannya dan tidak insaf. Dalam kisah Nabi Yusuf, Zulaikha dan abang-abang Nabi Yusuf akhirnya insaf dan menjadi baik.

d. Pengarang tidak boleh membela perbuatan yang salah dengan mengatakan perbuatan itu boleh dimaafkan. Sebagai contoh, pengarang tidak boleh membela seorang penyamun (Robinhood) dengan mengatakan penyamun itu seorang yang baik sebab dengan wang yang disamunnya itu dia membantu orang-orang miskin.

e. Watak baik tidak boleh dihukum atas kebaikannya. Walaupun pada awal kisah Nabi Yusuf seolah-olah ditimpa nasib malang berkali-kali tetapi akhirnya NabiYusuf berjaya membuktikan dirinya tidak bersalah dan akhirnya menjadi orang kanan raja Mesir.

Dalam cerita-cerita tradisi terdapat unsur-unsur yang tidak selaras dengan prinsip kemenangan moral dalam surah Yusuf, sebagai contoh Lebai Malang adalah watak baik tetapi dia dirugikan. Malim Kundang pula dihukum menjadi batu tanpa diberi peluang minta ampun dan bertaubat.

Mat Jenin adalah seorang pemuda yang rajin dan bercita-cita tinggi tetapi dihukum mati.

Sebaliknya ada pula watak hitam seperti Pak Belalang yang pemalas dan nujumnya dusta tetapi dia dapat kahwin dengan puteri raja.

.


Tuesday, July 18, 2006

Social Modelling dalam Novel: Prinsip Surah Yusuf

Dalam ilmu psikologi, Albert Bandura mengemukakan teori yang mengatakan bahawa kanak-kanak belajar sesuatu tingkah laku itu dengan meniru tingkah laku orang-orang yang ada di sekelilingnya. Teori beliau itu dikenali sebagai “social modelling” ataupun “teladan sosial”.


Teori teladan sosial dapat diaplikasikan dalam penulisan novel. Apabila seseorang pengarang novel itu hendak menanamkan nilai “jangan mencuri” kepada remaja, kaedah yang manakah yang lebih berkesan ke atas jiwa remaja?


(a) Menggunakan teori teladan: Jadilah seperti budak ini!
Sebagai contoh, pengarang menulis cerita bagaimana seorang remaja bernama Ahmad, tidak mahu mencuri walaupun dia sangat memerlukan wang sedangkan dia dapat mencuri wang itu dari laci kedai ayahnya, tanpa diketahui oleh sesiapa. Dalam kaedah ini, pengarang menggunakan watak Ahmad si budak baik supaya remaja yang membaca akan meniru tingkah laku baik Ahmad itu sebagai teladan.


Ataupun,


(b) Menggunakan teori sempadan: Jangan jadi macam budak ini!
Sebagai contoh, pengarang menulis kisah seorang remaja bernama Budin, yang mencuri wang dari laci kedai ayahnya, tetapi akhirnya dia tertangkap lalu dihukum oleh ayahnya dengan mengikat dia pada pokok yang ada sarang kerengga, akibatnya Budin insaf lalu sejak itu dia berhenti mencuri. Dalam kaedah ini pengarang menggunakan watak Budin si budak jahat supaya remaja yang membaca cerita ini tidak mahu meniru tingkah laku Budin, yakni Budin menjadi sempadan.


Surah Yusuf memilih prinsip (a) yakni menggunakan prinsip teladan watak baik. Jadi, Nabi Yusuf adalah seorang yang sabar, jujur, bergantung pada Allah dan lain-lain lagi. Justeru mesej kisah Nabi Yusuf adalah “Jadilah seperti Nabi Yusuf”. Manakala mesej yang dibawa oleh watak-watak jahat itu adalah, “Jangan jadi seperti abang-abang Nabi Yusuf ataupun Zulaikha”.


Sebagai kesimpulan, surah Yusuf menggunakan kedua-dua kaedah (a) teladan dan kaedah (b) sempadan, di mana watak utama memainkan fungsi teladan. Fungsi sempadan dimainkan oleh watak-watak pembantu.


Sebagai kesimpulan, berdasarkan surah Yusuf, bagi tujuan pendidikan nilai dan akhlak, watak utama hendaklah watak baik supaya dijadikan teladan oleh pembaca.




Tuesday, July 11, 2006

Realiti dalam Karya Sastera: Prinsip Surah Yusuf

Dalam teori sastera aliran realisme konvensional, karya sastera berfungsi menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku dalam dunia realiti. Berdasarkan prinsip ini, karya sastera boleh mendedahkan semua bentuk perkara yang baik dan yang tidak baik seadanya.


Dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, segala maklmuat yang disampaikan dalam surah itu adalah kisah benar, yakni realiti. Jadi surah Yusuf menceritakan hanya yang benar sahaja, justeru peristiwa abang-abang yang sanggup membunuh adik sendiri disebabkan berebut kasih ayah semata-mata, dan perisitiwa perempuan-perempuan Mesir yang terpesona apabila memandang Nabi Yusuf sehingga mereka tidak sedar telah melukai jari mereka sendiri, adalah kejadian benar.


Surah Yusuf hanya menceritakan apa yang benar, maka di manakah perbezaan antara teori realisme konvensional dengan teori realisme dalam sastera Islami?


Dalam teori sastera konvensional, segala yang berlaku dalam realiti dibenarkan dipaparkan dalam karya, dan pengarang diberikan kebebasan mutlak memilih mana realiti yang mahu dipaparkan dan mana yang tidak. Pengarang juga diberikan kebebasan menuliskan realiti itu dengan apa jua teknik yang dipilihnya.


Dalam erti kata lain, dalam teori sastera konvensional pengarang diberikan kebebasan mutlak dalam 4 perkara:


a. Kebebasan Memilih Tema

Dalam teori sastera konvensional, pengarang mempunyai kebebasan mutlak memilih apa sahaja tema bagi karyanya. Pengarang Islami diberikan kebebasan memilih tema sama seperti pengarang konvensional dalam ertikata tema dalam sastera Islami adalah terbuka. Sebagai contoh, jika pengarang konvensional bebas memasukkan unsur-unsur maksiat dalam sastera, maka pengarang Islami juga bebas melakukannya. Ini berdasarkan dalam surah Yusuf terdapat banyak tema perbuatan mungkar seperti anak durhaka, godaan perempuan, isteri curang, suami dayus, dan pembunuhan.


b. Kebebasan Memilih Peristiwa

Pengarang konvensional diberi kebebasan memlilih apa sahaja peristiwa bagi dipaparkan dalam karyanya, tetapi pengarang sastera mempunyai kebebasan terbatas. Sebagai contoh, berdasarkan surah Yusuf, bagi tema pembunuhan, tidak ada paparan teknikal bagaimana perbuatan abang-abang Nabi Yusuf cuba membunuh beliau. Ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan melukiskan aksi pembunuhan secara terperinci.

Demikian pula, bagi tema jatuh cinta, dalam surah Yusuf tidak ada paparan teknikal tentang tingkah laku Zulaikha yang khayal-berahi dalam lamunan percintaan. Ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan melukiskan secara teknikal babak-babak percintaan yang dapat mencetuskan perasaan berahi pada pembaca.


c. Kebebasan Memilih Objek

Pengarang konvensional diberi kebebasan memilih sebarang objek yang mahu digambarkan dengan terperinci, tetapi pengarang sastera Islami mempunyai kebebasan terbatas. Sebagai contoh, pengarang konvensional dibenarkan menggambarkan dengan terperinci bentuk tubuh badan semua watak-wataknya, apa lagi bentuk tubuh badan perempuan yang cantik-cantik.

Dalam surah Yusuf tidak ada maklumat sama sekali tentang ciri-ciri fizikal ketampanan Nabi Yusuf dan kejelitaan isteri al-Aziz. Ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan menerangkan rupa bentuk tubuh badan dan pakaian yang dipakai oleh watak-watak yang terlibat dalam tema percintaan, sebagaimana dalam kes watak Nabi Yusuf dan isteri al-Aziz disebabkan mereka berdua terlibat dalam tema cinta.


d. Kebebasan Memilih Kosa Kata

Pengarang konvensional diberikan kebebasan mutlak memilih kosa kata tetapi tidak bagi pengarang Islami. Pengarang konvensional bebas menggunakan sebarang perkataan dan frasa sebagaimana yang digunakan dalam alam realiti. Kebebasan mutlak seperti itu tidak diberikan kepada pengarang Islami.

Dalam surah Yusuf, tidak terdapat perkataan-perkataan yang dianggap bahasa kotor, bahasa lucah, bahasa kasar dan bahasa nista. Ini menunjukkan pengarang Islami tidak dibenarkan menggunakan kosa kata jenis itu dalam berkarya.


Sebagai kesimpulan, manakala teori sastera konvensional memberikan kebebasan mutlak kepada pengarang menggambarkan dunia realiti, teori sastera Islami aliran surah Yusuf tidak memberikan kebebasan mutlak seperti itu. Ada realiti yang dibenarkan dipaparkan dengan terperinci dalam karya sastera manakala ada realiti yang hanya boleh 'diceritakan' tetapi tidak boleh 'digambarkan'.




.

Friday, July 07, 2006

Menuliskan Kisah Cinta: Prinsip Surah Yusuf

Di seluruh dunia, industri penerbitan novel-novel cinta menjadi bahagian besar industri perbukuan, dengan golongan perempuan muda menjadi konsumer utamanya. Di Malaysia sendiri, buku-buku Melayu yang paling besar jualannya adalah kategori novel cinta. Nilai jualan novel-novel cinta terbitan Alaf21 sahaja adalah antara RM15 – 17 juta setahun.


Teori sastera konvensional tidak mencadangkan bahan-bahan cinta yang bagaimana yang dapat menghasilkan sebuah kisah cinta yang indah, dan ini memberikan kebebasan mutlak kepada para pengarang novel cinta aliran konvensional memilih semua jenis tingkah laku bercinta sebagai bahan dalam karya mereka.


Dalam sejarah perkembangan sastera Inggeris, barangkali novel cinta yang paling terkenal adalah 'Lady Chatterly's Lover' (Kekasih Puan Sri Chatterly) oleh DH Lawrence. Novel ini mencetuskan polemik besar tentang apa yang dianggap karya sastera dan apa yang dianggap karya pornografi, sehingga polemik itu berakhir di mahkamah tetapi novel itu menang mempertahankan dirinya sebagai karya sastera.


Teori sastera Islami aliran Surah Yusuf tidak menolak 'cinta' itu sendiri sebagai bahan penghasilan novel cinta. Ini berdasarkan analisis yang menunjukkan sub-plot paling penting dan paling indah dalam kisah Nabi Yusuf adalah kisah bagaimana isteri al-Aziz jatuh cinta kepada Nabi Yusuf. Sub-plot ini diberi jumlah ayat yang paling banyak iaitu 21 ayat, dibandingkan dengan 4 subplot lain yang masing-masing kurang daripada itu.


Berdasarkan ayat-ayat dalam Surah Yusuf yang menerangkan kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf, maka kita dapat menyimpulkan bahawa teori sastera Islami aliran Surah Yusuf membezakan antara 'kisah cinta' dengan 'lukisan tingkah laku bercinta-cintaan'.


Teori sastera Islami aliran surah Yusuf tidak menolak cinta sebagai tema dalam karya, sebaliknya ia menolak perbuatan-perbuatan yang ada kait-mengaitnya dengan tingkah laku bercinta-cintaan yang dipaparkan secara eksplisit dalam karya, di mana penulis memasukkan babak-babak dua orang yang bukan muhrim melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak diizinkan oleh syariat.


Contoh tingkah laku bercinta-cintaan yang ditolak oleh teori sastera Islami aliran surah Yusuf adalah perbuatan lelaki dan perempuan bukan muhrim:

a. Dating di tempat awam.

b. Duduk dan berbual-bual di tangga kolej.

c. Bergurau senda dan memadu kasih menggunakan telefon ataupun SMS dan MMS.


Sebagai rujukan, berikut adalah ayat-ayat yang berkaitan dengan kisah cinta Yusuf-Zulaikha:


Dan (setelah Yusuf dijual di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya, “Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya, semoga dia berguna kepada kita, ataupun kita jadikan dia anak.” Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian daripada ilmu takbir mimpi. Dan Allah maha kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkannya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.


Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan, dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.


Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya, dan perempuan itu menutup pintu-pintu serta berkata, “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu.” Yusuf menjawab, “Aku berlindung kepada Allah (daripada perbuatan yang keji itu), sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya, sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.”


Dan sesungguhnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah dia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) bagi menjauhkan Yusuf daripada perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya dia daripada hamba-hamba kami yang dibersihkan daripada segala dosa.


Dan mereka berdua berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang, lalu terserempaklah kedua-duanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya), “Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia ataupun dikenakan azab yang menyiksanya.”


Yusuf pula berkata, “Dialah yang memujukku berkehendakkan diriku.” (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata, “Jika baju Yusuf koyak di depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.


Dan jika bajunya koyak di belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar.”


Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak di belakang, berkatalah dia, “Sesungguhnya ini adalah tipu daya kamu orang-orang perempuan, sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.”


Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah daripada orang-orang yang bersalah.”


Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal 11Zulaikha dengan) berkata, “Isteri al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya, sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.”


Maka apabila dia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun mengundang mereka dan menyediakan jamuan untuk mereka, serta memberikan kepada tiap-tiap orang antara mereka itu sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah dia (kepada Yusuf), “Keluarlah di hadapan mereka.” Maka tatkala mereka melihatnya, mereka tercengang melihat paras kecantikannya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata, “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah manusia, ini tidak lain, melainkan malaikat yang mulia!”


(Zulaikha) berkata, “inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh pada kesuciannya, dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.”


Yusuf (merayu ke hadrat Allah taala dengan) berkata, “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.”


Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka, sesungguhnya Allah jualah yang maha mendengar, lagi maha mengetahui.”


Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa.


Dan (apabila mendengar taabir itu) berkatalah Raja Mesir, “Bawalah dia kepadaku!” Maka tatkala utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya menghadap raja), Yusuf berkata kepadanya, “Kembalilah kepada tuanmu, kemudian bertanyalah kepadanya: Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka? Sesungguhnya Tuhanku maha mengetahui akan tipu daya mereka.”


(Setelah perempuan-perempuan itu dipanggil), raja bertanya kepada mereka, “Apa halnya kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya?” Mereka menjawab, “Jauhnya Allah daripada segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf.” Isteri al-Aziz pun berkata, “Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi dia telah menolak), dan sesungguhnya adalah dia daripada orang-orang yang benar.”


(Pengakuanku) yang demikian, supaya dia mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa dia tidak hadir (bersama di sini), dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat.”


Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku, sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku maha pengampun, lagi maha mengasihani.”


Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata, “Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa menghadap, dan raja) berkata-kata dengannya, (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya, “Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami.”


Islam menggalakkan penganutnya berkahwin, bukan bercinta. Fungsi novel cinta Islami adalah mengasuh remaja Islam mempersiapkan dirinya bagi alam perkahwinan di mana gadis-gadis diasuh menjadi isteri-istreri solehah manakala para prianya diasuh menjadi suami-suami soleh.



.

Thursday, July 06, 2006

Fakta dalam Sastera: Prinsip Surah Yusuf

Teori sastera konvensional tidak mencadangkan apakah bentuk dan jenis bahan-bahan cerita yang dapat menghasilkan kisah-kisah yang indah, dan ini mendorong para pengarang aliran sastera konvensional membezakan antara apa yang disebut novel bertaraf sastera fiksyen, novel popular, novel sejarah, biografi dan lain-lain kategori, dengan sastera fiksyen diberikan tempat paling atas.


Dari sudut pandang dan amalan teori sastera konvensional, salah satu ukuran kehebatan seseorang pengarang adalah daya imaginasinya. Semakin seseorang itu dapat menciptakan bahan-bahan cerita yang bersifat fiksyen murni, maka semakin tinggi penilaian yang diberikan kepada bakat seni dan karya seninya.


Maka dalam teori sastera konvensional, novel yang diktiraf sebagai novel sastera adalah karya yang bahan-bahan utama ceritanya adalah hasil ciptaan imaginasi pengarang, sebagai contoh dalam novel SALINA, watak Salina dan watak-watak lain seperti Helmi, Abdul Fakar dan Karupayah ataupun Kampung Kambing adalah ciptaan pengarang. Demikian juga dalam RANJAU SEPANJANG JALAN, watak-watak Lahuma dan Jeha adalah ciptaan imaginasi pengarang.


Dalam teori sastera konvensional, fakta bukan seni dan seni bukan fakta. Seni yang bernilai sastera adalah fiksyen ciptaan pengarang berdasarkan persepsi pengarang ke atas fakta, di mana persepsi-persepsi itu ditampilkan dalam karya dalam bentuk-bentuk simbolik. Jadi watak Salina dan Kampung Kambing bukan fakta tetapi adalah simbol-simbol fakta yang mewakili lanskap sosiologi masyarakat Melayu Singapura pada zaman Perang Dunia Kedua.


Justeru, dalam teori sastera konvensional, novel-novel karya John Grisham dan Tom Clancy tidak diterima sebagai sastera murni, melainkan sebagai sastera popular sahaja disebabkan kedua-dua pengarang itu mencipta fiksyen-fiksyen yang fakta-fakta teknikalnya adalah saintifik dan betul.


Di sini teori sastera Islami aliran surah Yusuf berbeda pandangan dengan teori sastera konvensional. Kisah Nabi Yusuf adalah kisah benar. Maka dari sudut teori sastera Islami, fakta adalah sumber dan ciri keindahan dan kedudukan fakta dalam karya sastera adalah lebih tinggi daripada daya imaginasi murni. Justeru, karya yang lebih tinggi nilai keindahannya adalah karya yang mengandungi lebih banyak fakta.



.

Monday, July 03, 2006

Tempoh Cerita: Prinsip Surah Yusuf

Teori sastera konvensional tidak mencadangkan tempoh waktu perjalanan cerita yang dianggap dapat menghasilkan kisah yang indah.


Dalam teori konvensional, seluruh karya mungkin menceritakan kisah yang berlaku dalam tempoh 1 hari, ataupun 1 minggu, ataupun 1 tahun ataupun selama 100 tahun.
Ini berbeza dengan teori sastera Islami aliran surah Yusuf.


Berdasarkan kisah Nabi Yusuf yang diceritakan semenjak beliau kecil sehingga beliau dewasa dan dilantik menjadi wazir kepada Raja Mesir, justeru menurut teori sastera Islami, sesuatu kisah itu akan menjadi indah apabila tempoh waktu perjalanan itu mengambil masa yang panjang.


Dalam surah Yusuf, plot utama adalah perjalanan hidup Nabi Yusuf. Tetapi ada disebutkan nama ayah, datuk dan moyang Nabi Yusuf, iaitu Nabi Yaakub, Nabi Ishak dan Nabi Ibrahim (ayat 6).


Ini memberi petunjuk kepada karyawan bahawa kisah yang indah dapat dicipta dengan memperpanjangkan tempoh cerita sehingga 4 generasi.



Friday, June 30, 2006

Dialog yang Indah: Prinsip Surah Yusuf

Dalam tradisi penulisan konvensional, lazimnya ayat-ayat naratif sahaja yang perlu bersifat ayat lengkap, yakni ayat yang terdiri daripada subjek dan predikat, manakala syarat yang sama tidak dikenakan ke atas ayat-ayat dialog. Inilah yang menyebabkan banyak ayat dialog dalam karya sastera konvensional tidak bersifat ayat lengkap.


Surah Yusuf terdiri daripada 111 ayat. Daripada jumlah itu 86 buah ayat mengandungi dialog di dalamnya. Dengan demikian kita perlu mengkaji ciri-ciri struktur dialog dalam surah Yusuf bagi mengetahui pola dialog yang menjadi model keindahan dalam teori sastera Islami.


Dalam surah Yusuf, tanpa satu pun kekecualian, setiap ayat dialog adalah ayat lengkap, yakni ayat yang mengandungi SUBJEK dan PREDIKAT. Dalam istilah lama, subjek adalah 'BENDA' manakala predikat adalah 'CERITA'.


Ini bermakna, dalam surah Yusuf, dialog dalam bentuk ayat lengkap adalah ciri keindahan, manakala dialog yang dituliskan tidak dalam bentuk ayat lengkap adalah ciri kecacatan. Justeru, dalam teori sastera Islami, semua ayat, baik naratif mahupun dialog, perlu ditulis menggunakan ayat-ayat lengkap.


Contoh ayat dialog yang lengkap subjek dan predikatnya dalam surah Yusuf adalah seperti di bawah:


Ayat 4: (Ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya, “Wahai ayahanda, sesungguhnya saya bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, dan saya melihat mereka tunduk memberi hormat kepada saya.”


Ayat 5: Bapanya berkata, “Wahai anakanda, janganlah kamu ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana ayahanda khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”


Ayat 8: (Kisah itu bermula) tatkala saudara-saudara Yusuf berkata sesama sendiri, “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.”


Bandingkan dengan ayat-ayat di bawah yang tidak lengkap disebabkan dalam ayat-ayat itu tidak ada subjeknya:


Pagi-pagi sudah naik angin,” kata Leha. (TIADA SUBJEK)

Pagi-pagi (dia) sudah naik angin,” kata Leha. (BETUL)


Dia,” jawab Atan. (TIADA PREDIKAT)

Dialah (orang yang dicari),” jawab Atan. (BETUL)


Sebuah masjid,” keluh Pak Tam. (TIADA PREDIKAT)

Sebuah masjid (tua),” keluh Pak Tam. (BETUL)


Pergi ke masjid!” katanya. (TIADA SUBJEK)

(dia) Pergi ke masjid!” katanya. (BETUL)


Menangis macam budak minta susu,” jawab Budin. (TIADA SUBJEK)

(dia) Menangis macam budak minta susu,” jawab Budin. (BETUL)


Sudah lama begitu,” keluhnya. (TIADA SUBJEK)

(dia) Sudah lama begitu,” keluhnya. (BETUL)


Baiklah. Tetapi jangan pergi terlalu lama,” pesan Ayong. (TIADA SUBJEK)

Baiklah. Tetapi (kamu) jangan pergi terlalu lama,” pesan Ayong. (BETUL)


Jangan berpura-pura,” pinta Karim. (TIADA SUBJEK)

Jangan (kamu) berpura-pura,” pinta Karim. (BETUL)


Tak mungkin hilang,” jawabnya. (TIADA SUBJEK)

(barang itu) Tak mungkin hilang,” jawabnya. (BETUL)


Belum diminum sampai sekarang,” Mamat berkata. (TIADA SUBJEK)

(Kopi itu) Belum diminum sampai sekarang,” Mamat berkata. (BETUL)


Bercakaplah dahulu sebelum pergi,” Sutini memberi nasihat. (TIADA SUBJEK)

(Kamu) Bercakaplah dahulu sebelum pergi,” Sutini memberi nasihat. (BETUL)


Baiklah. Tetapi jangan pergi terlalu lama,” pesan Ayong. (TIADA SUBJEK)

Baiklah. Tetapi (kamu) jangan pergi terlalu lama,” pesan Ayong. (BETUL)


Sesetengah frasa klise sememangnya berupa ayat tidak lengkap, seperti “Apa khabar?”, “Apa buat tu?”, “Dah lama tunggu?”, “Sila duduk.” ataupun “Sudah makan?”


Frasa-frasa klise seperti ini tidak terdapat dalam surah Yusuf. Ini bermakna karya yang memasukkan ayat-ayat dialog klise seperti ini akan mencacatkan unsur keindahan karya tersebut.


.

Wednesday, June 28, 2006

Memilih Hero: Prinsip Surah Yusuf

Teori sastera konvensional tidak menyatakan apakah watak utama dalam cerita itu sebaiknya lelaki ataupun perempuan bagi menciptakan sebuah kisah yang indah. Tanpa panduan ini kita melihat kecenderungan pengarang-pengarang lelaki memilih watak utama lelaki manakala pengarang-pengarang perempuan cenderung memilih watak utama perempuan.


Dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, watak utama sebaiknya adalah lelaki kerana watak utama dalam kisah Nabi Yusuf adalah seorang lelaki, iaitu Nabi Yusuf, manakala watak utama kedua barulah perempuan, iaitu Zulaikha.


Prinsip ini adalah menyeluruh, maksudnya bagi menghasilkan cerita-cerita untuk pembaca perempuan sekalipun, sebaiknya lelaki dipilih sebagai watak utama.


Kajian pasaran menunjukkan apabila watak utama sesuatu cerita itu perempuan, karya itu dibaca eksklusif oleh perempuan. Sebagai contoh cerita-cerita yang satu kategori dengan Cinderella dan Sleeping Beauty dibaca oleh kanak-kanak perempuan.


Ini berbeza dengan cerita-cerita di mana heronya adalah lelaki. Ia dibaca baik oleh lelaki mahupun perempuan, sebagaimana halnya dengan Harry Potter, dan dengan demikian pasaran bagi cerita-cerita ber-hero-kan lelaki adalah lebih besar daripada pasaran cerita-cerita yang ber-hero-kan perempuan.


(Nota: Bagi mentee-mentee perempuan yang mengikuti program mentoring SifuPTS yang sedang menulis karya jibunsyi mereka, adalah digalakkan mereka menukar nama watak utama dalam jibunsyi mereka menjadi nama lelaki.)



Sunday, June 18, 2006

“Twist and Turn” dalam Plot: Prinsip Surah Yusuf

Konsep 'twist and turn' adalah konsep yang diamalkan oleh para penulis cerita yang mahir. Semua cerita yang indah dan tahan lama mempunyai unsur 'twist and turn'.


Dalam bahasa biasa, unsur twist disebut dengan istilah 'kejutan', yakni sesuatu yang tidak disangka berlaku, tetapi terjadi.


Dalam jalan cerita Nabi Yusuf, berlaku 4 insiden yang dapat dikategorikan sebagai 'twist and turn'.


1. Dalam cerita Nabi Yusuf, sejak awal lagi kita sudah diberitahu bahawa Nabi Yaakub tahu anak-anaknya mempunyai rancangan jahat terhadap adik mereka, yakni Nabi Yusuf. Jadi apabila mereka meminta izin membawa Nabi Yusuf pergi bermain-main jauh dari rumah, pada fikiran kita Nabi Yaakub tidak akan mengizinkannya. Tetapi dia benarkan juga (twist) dan terbukti Nabi Yusuf betul-betul tidak selamat (turn).


2. Kali pertama abang-abang Nabi Yusuf pergi membeli makanan di Mesir, Nabi Yaakub tidak membenarkan mereka membawa bersama Bunyamin. Semasa di Mesir Nabi Yusuf memberi syarat kepada abang-abang, kalau mereka datang lagi hendak membeli makanan mereka mestilah membawa Bunyamin. Apabila pesanan itu mereka sampaikan kepada Nabi Yaakub, beliau berkata beliau sudah tidak percaya lagi anak-anaknya dapat menjaga keselamatan Bunyamin sebab dahulu mereka juga berjanji akan menjaga Nabi Yusuf, dan terbukti janji mereka palsu. Tetapi dia benarkan juga (twist) dan terbukti Bunyamin betul-betul tidak selamat (turn).


3. Pada hari Zulaikha menggoda Nabi Yusuf, pada saat Zulaikha menarik baju Nabi Yusuf, tiba-tiba pintu terbuka dan al-Aziz berdiri di depan pintu. Apabila terbukti al-Aziz nampak baju Nabi Yusuf koyak di belakang, akal logik kita menyangka al-Aziz akan menghukum isterinya yang berlaku serong sewaktu ketiadaannya, tetapi tidak, al-Aziz tidak melakukan apa-apa ke atas iserinya (twist). Kita menyangka perkara itu habis di situ, rupa-rupanya tidak, sebaliknya Nabi Yusuf yang dipenjarakan (turn).


5. Semasa dalam penjara, Nabi Yusuf bersahabat baik dengan dua orang banduan yang satu sel dengan beliau. Salah seorang banduan itu dihukum mati, tetapi yang seorang lagi dibebaskan dan dilantik menjadi penghidang minuman Raja Mesir. Sebelum dibebaskan Nabi Yusuf berpesan kepada banduan itu supaya menerangkan cerita sebenar akan diri Nabi Yusuf yang difitnah oleh Zulaikha sehingga beliau dipenjarakan. Tetapi banduan itu terlupa (twist) sehingga Nabi Yusuf terus merengkok di penjara. Apabila Raja Mesir mencari siapa yang pandai mentafsirkan mimpinya, barulah bekas banduan itu teringat semula kepada Nabi Yusuf dalam penjara (turn).


Ini menunjukkan unsur 'twist and turn' adalah unsur keindahan dalam teori sastera Islami. Jalan cerita yang tidak mengandungi unsur 'twist and turn' adalah kurang indah, apabila diukur dengan menggunakan teknik penceritaan surah Yusuf.


Bagi mencipta unsur 'twist and turn', mula-mula arahkan pemikiran logik pembaca ke satu arah. Kemudian baru cipta unsur 'twist' itu. Sebagai contoh akal logik kita mengatakan Nabi Yaakub tidak akan membenarkan Bunyamin dibawa ke Mesir, tetapi dibenarkan.




Monday, June 12, 2006

Percakapan Lelaki Perempuan Bukan Muhrim: Prinsip Surah Yusuf

Dalam surah Yusuf, dialog antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim terdapat dalam ayat-ayat berikut 23, 31 dan 51:


Ayat 23: Kemudian (Zulaikha) mengajak Yusuf berbuat serong, lalu ditutupnya semua pintu, serta katanya, “Mari ke mari!” Jawab Yusuf, “Aku berlindung kepada Allah, sesungguhnya suami puan adalah tuan saya, dia telah memberi saya kedudukan yang baik. Sungguhnya orang yang menganiaya tidak akan menang.”


Ayat 31: ......masing-masing diberi sebilah pisau, lalu (Zulaikha) berkata, “Keluarlah, dan tunjukkan diri kamu kepada perempuan-perempuan itu.”


Ayat 51: Raja bertanya kepada perempuan-perempuan itu, “Apa pandangan kamu (tentang Yusuf), semasa kamu cuba menggodanya?” Mereka menjawab, “Maha Suci Allah, kami tidak meliha suatu kejahatan pun padanya.” Isteri al-Aziz pun berkata, “Sekarang nyatalah kebenaran, sayalah yang menggoda Yusuf kerana mahukan dia, dan sesungghnya dia orang yang benar.”


Analisis 3 ayat nenunjukkan ciri-ciri berikut:


1. Dalam surah Yusuf, dialog antara lelaki dan perempuan bukan muhrim hanya berlaku 3 kali, dan dalam 3 peristiwa sahaja (ayat 23 & 31). Pertama, apabila Zulaikha mengajak Yusuf berbuat serong, dan kedua apabila Zulaikha menyruh Yusuf keluar menunjukkan dirinya kepada perempuan-perempuan Mesir yang diundangnya dan ketiga apabila Raja Mesir menyoal siasat Zulaikha.


2. Dalam ayat 23 & 31, dialog itu adalah antara seorang perempuan (Zulaikha) yang jatuh cinta kepada seorang lelaki (Yusuf) yang juga hambanya.


3. Dalam kedua-dua dialog ini, pihak yang memulakan dialog ini adalah perempuan (Zulaikha).


4. Dalam kedua-dua dialog yang diucapkannya, si perempuan (Zulaikha, yang juga majikan) memberi arahan kepada lelaki itu (Yusuf, yang juga hambanya).


5. Dalam dialog Zulaikha-Yusuf, Zulaikha bercakap 2 kali, tetapi Yusuf bercakap sekali sahaja.


6. Kedua-dua dialog Zulaikha adalah hanya sepotong ayat sahaja.


7. Dalam ayat 23 & 31, dialog yang diucapkan oleh Yusuf mengandungi (a) doa, (b) mengenang budi dan kebaikan suami Zulaikha dan (c) peringatan kepada Zulaikha.


8. Dalam ayat 51, dialog itu adalah antara Raja Mesir yang bertindak sebagai hakim yang menyiasat kebenaran tuduhan terhadap Nabi Yusuf dengan menyoal Zulaikha dan perempuan-perempuan Mesir itu.


Jelaslah dialog lelaki perempuan dalam surah Yusuf bukan dialog yang melibatkan motif berikut:


a. Berkenalan dengan tujuan mencari pasangan.


b. Mengurat (flirting), usik-mengusik.


c. Berbual-bual, berseronok-seronok, bergurau-senda, bergaul lelaki-perempuan.


d. Bercinta, memadu kasih, memadu asmara.


e. Bertengkar, berselisih faham dalam konteks percintaan.


Surah Yusuf menunjukkan kepada pengarang dan sasterawan Muslim teknik yang betul menyampaikan sebuah kisah percintaan yang indah tanpa menimbulkan kesan-kesan sampingan yang negatif ke atas pemikiran, psikologi dan emosi pembacanya.





.

Thursday, June 08, 2006

Plot Dalam Dialog: Prinsip Surah Yusuf

Daripada 111 ayat dalam surah Yusuf, 86 ayat mengandungi dialog, yakni sekitar 74 % daripada seluruh teks. Ini adalah peratusan yang amat tinggi.


Justeru, dalam teori sastera Islami, jumlah dialog yang banyak adalah ciri keindahan. Karya yang tidak menggunakan banyak dialog adalah tidak selaras dengan stail penceritaan surah Yusuf
.


Fungsi dialog yang dominan dalam surah Yusuf adalah di mana dialog mengandungi maklumat perkembangan plot cerita. Bagi saudara yang belum biasa dengan istilah 'plot', plot adalah jalan cerita.


Perhatikan bagaimana dialog-dialog di bawah ini menerangkan jalan cerita mengapa dan bagaimana Nabi Yusuf dicampakkan ke dalam telaga oleh abang-abangnya:


Ayat 4. Tatkala Nabi
Yusuf berkata kepada bapanya, “Wahai ayahanda, sesungguhnya anakanda bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, tunduk memberi hormat kepada anakanda.”


Ayat 5. Bapanya berkata, “Wahai anakanda, jangan engkau ceritakan mimpimu kepada abang-abangmu, kerana ayahanda khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”


Ayat 8 & 9. Tatkala abang-abang Nabi Yusuf berkata sesama sendiri, “Sesungguhnya Yusuf dan (Bunyamin) lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu keturunan. Sesungguhnya bapa kita sangat tidak adil. Bunuhlah Yusuf ataupun buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa tertumpu kepada kita semata-mata, dan supaya kita sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna kepadanya.”


Ayat 10. Salah seorang daripada abang-abangnya berkata, “Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam perigi, supaya dia dipungut oleh musafir, kalau kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu.”


Ayat 11 & 12. Mereka pun (pergi berjumpa bapa mereka lalu) berkata, “Wahai ayahanda! Mengapa ayahanda tidak percaya kepada kami tentang Yusuf,
padahal kami sentiasa ikhlas mengambil berat ke atasnya? Biarkanlah dia pergi bersama-sama kami esok, supaya dia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya, dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya.”


Ayat 13. Bapa mereka menjawab, “Pemergian kamu dengan membawanya sangatlah menyedihkanku, dan aku bimbang dia dimakan oleh serigala ketika kamu lalai menjaganya.”


Ayat 17. Mereka berkata, “Wahai ayahanda! Percayalah, kami pergi berlumba-lumba berburu dan kami tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala, sudah tentu ayah tidak percaya kepada kata-kata kami,
sekalipun kami berkata benar.”


Justeru, apabila saudara mengarang cerita ataupun novel Islami, perbanyakkan ayat-ayat yang di dalamnya terkandung dialog. Dan dalam dialog itulah saudara sampaikan maklumat tentang perkembangan cerita.


Tuesday, June 06, 2006

Kata Gantinama dalam Dialog: Prinsip Surah Yusuf

Apabila saudara mengarang dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, salah satu isu yang triki (tricky) adalah isu penggunaan kata gantinama atau 'pronoun'. Contoh kata gantinama adalah saya, aku, engkau, kamu, awak, dia, beliau dan lain-lain.


Salah satu ciri bahasa percakapan seharian adalah penggunaan kata gantinama (pronoun) yang berubah-ubah apabila seseorang itu bercakap dengan orang-orang yang berlainan kedudukan sosialnya.


Ada ahli bahasa Bahasa Melayu berpegang pada prinsip: “Orang yang hina layak dihina.” Justeru, mereka berpendapat orang-orang yang dipandang hina oleh masyarakat layak dibahasakan “kamu”, seperti penjenayah, penagih dadah dan lain-lain.


Mereka berpandangan, pada prinsipnya, “kamu” sesuai digunakan bagi bercakap dengan orang-orang yang statusnya lebih rendah. Ada juga ahli bahasa yang berpendapat “kamu” sesuai digunakan bagi bercakap dengan haiwan.


Status kanak-kanak dan remaja dianggap rendah, maka itulah guru-guru membahasakan pelajar mereka “kamu”, dan sikap ini terbawa-bawa sampai ke dewan kuliah maktab dan universiti. Dalam konteks dunia tentera pula, pelatih-pelatih dibahasakan “kamu” oleh pegawai yang melatih mereka kerana status pelatih dianggap rendah.


Apabila saudara menuliskan cerita ataupun novel, sudah semestinya terdapat banyak dialog di mana watak-watak bercakap.


Para pengarang yang menganuti fahaman realisme Barat cenderung menuliskan dialog dengan menyalin gaya percakapan seharian.


Jikalau dalam kem tentera si sarjan meng-kamu-kamu-kan pelatih-pelatihnya, maka itulah yang dituliskan dalam karangannya.


Jikalau dalam penjara si warden meng-kamu-kamu-kan si banduan, maka itulah yang ditulis oleh pengarang.


Jikalau dalam mahkamah si pendakwaraya meng-kamu-kamu-kan si plaintif dan si defenden, maka itulah juga yang dituliskan oleh si pengarang dalam bukunya.


Begitu pula, jikalau di padang bola si jurulatih meng-engkau-engkau-kan para pemainnya, maka itulah yang dituliskan oleh si pengarang dalam karangannya.


Di sini kita dapati teori dan teknik sastera Islami berpegang pada prinsip yang berbeza.


Ayat 39: (Nabi Yusuf berkata) “Wahai sahabat-sahabatku sepenjara, adakah menyembah Tuhan yang berbilang-bilang banyaknya itu lebih baik daripada menyembah Allah yang maha esa lagi berkuasa?”


Ayat 41: (Nabi Yusuf berkata) “Wahai sahabat-sahabatku sepenjara, salah seorang daripada saudara berdua akan dibebaskan.... manakala seorang lagi akan mati dengan dihukum salib....”


Kedua-dua ayat di atas menunjukkan bagaimana watak utama, seorang nabi, bercakap dengan dua orang banduan di dalam penjara dengan menggunakan panggilan yang memuliakan banduan-banduan itu.




Sunday, June 04, 2006

Fungsi Novel Islami

Sejarah sastera Melayu moden menyaksikan perpecahan pendapat dalam ASAS 50, di mana satu kem berpendapat sastera mestilah bertanggungjawab terhadap kepentingan masyarakat, manakala satu kem lagi mengatakan sastera adalah untuk sastera.


Polemik apakah sastera harus mengabdi kepada masyarakat ataupun mengabdi kepada sastera itu sendiri, hal ini tidak berlaku dalam teori sastera Islami.


Dalam Quran terkandung banyak cerita. Dalam sejarah hidup Nabi Muhammad, salam sejahtera ke atas beliau, beliau banyak menyampaikan cerita.


Menyampaikan mesej-mesej Islam dengan menggunakan cerita itu ada presedennya dalam Quran dan dalam hadith. Maka hukum menulis cerita itu adalah sunnah Quran dan sunah Nabi Muhammad dan ia adalah ibadah.


Teori sastera Islami aliran surah Yusuf mengenal pasti 3 fungsi sastera, sebagai berikut:


1. Mengajak pembaca berfikir.
Ayat 3 bermaksud, “Sesungguhnya kami turunkan Quran ini dalam bahasa Arab (sebab Nabi Muhammad adalah orang Arab – pen.), mudah-mudahan kamu memikirkannya. Ayat 4 bermaksud, “Kami sampaikan kepadamu sebuah kisah yang paling indah, melalui Quran yang kami wahyukan kepadamu, sedangkan sebelumnya kamu adalah antara orang-orang yang tidak mengetahuinya.”


2. Menyampaikan peringatan Tuhan kepada pembaca. Ayat 104 bermaksud, “....sedangkan Quran itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah peringatan kepada semua manusia.” Ayat 109 bermaksud, “....Sesungguhnya, kampung akhirat itu adalah lebih baik bagi sesiapa yang bertaqwa. Tidakkah kamu memikirkannya?” Ayat 110 bermaksud, “....Ingatlah, tiada kaum yang berdosa yang berdaya menolak balasan azab Kami.”


3. Menyampaikan pelajaran.
Ayat 111 bermaksud, “Sesungguhnya, dalam kisah nabi-nabi itu terkandung pelajaran bagi orang-orang yang berfikir....”


Justeru teori sastera Islami aliran surah Yusuf menolak karya yang tidak ditulis bagi memenuhi ketiga-tiga fungsi di atas. Kisah Nabi Yusuf memenuhi ketiga-tiga fungsi itu.



Thursday, June 01, 2006

Memilih Watak Utama: Prinsip Surah Yusuf

Dalam teori klasik novel, watak putih adalah watak utama, watak hero, watak baik, watak yang ideal. Watak hitam adalah watak yang memiliki sifat-sifat negatif, yang berfungsi sebagai watak anti-hero.


Dalam novel 'Siti Noerbaya' karya Marah Roesli, Siti Noerbaya adalah watak putih, manakala Datuk Maringgih adalah watak hitam. Dalam novel 'Salah Asoehan' karya Abdoel Moeis, Corrie dan Rapiah adalah watak putih manakala Hanafi adalah watak hitam.


Dalam arus perkembangan teori novel Barat, pandangan yang mengatakan watak utama seharusnya watak putih itu kemudian dianggap tidak sesuai lagi. Justeru watak-watak yang tidak ideal boleh dijadikan watak utama. Pandangan ini kemudian turut dianuti oleh karyawan tempatan.


Dalam novel 'Salina' karya A Samad Said, Salina adalah seorang peremuan 'P'. Para pengkritik sastera mengatakan Salina adalah watak putih, meskipun kerjayanya adalah sebagai seorang 'P', sejak mula sehingga akhir novel itu, Salina tidak pernah berhenti daripada kerjayanya sebagai perempuan 'P' itu.


Pengkritik mengatakan Salina adalah watak putih kerana dia terpaksa, disebabkan dia adalah mangsa Perang Dunia II, dan dia adalah mangsa kepada kejahatan Abdul Fakar, manakala pada waktu yang sama dia banyak membantu persekolahan Helmy.


Dalam surah Yusuf, Nabi Yusuf adalah seorang watak putih. Beliau adalah watak utama, watak hero, watak manusia ideal yang sempurna. Justeru, teori sastera Islami tidak menerima watak hitam dijadikan sebagai watak utama dalam novel.


Berdasarkan kedudukan Siti Zulaikha, abang-abang Nabi Yusuf dan al-Aziz, kedudukan watak hitam adalah amat jelas dalam teori sastera Islami, iaitu sebagai watak-watak pembantu.


Jadi, teori sastera Islami tidak menerima pezalim, penyamun, perasuah, pezina, pemurtad, pejudi, penipu, pemabuk, penghibur, periba', dan lain-lain watak yang hidupnya bergelumang dalam dosa-dosa besar, yang tidak balik ke pangkal jalan sehingga tamat cerita, yang diangkat menjadi watak utama.


Sastera Islami menolak karya-karya yang memberikan kemenangan moral kepada para pedosa besar.



Monday, May 29, 2006

Bahasa Realiti: Prinsip Surah Yusuf

Falsafah realisme sudah hampir 100 tahun bertapak, dan pengaruhnya semakin besar dalam dunia TV, dan ia disebarkan melalui produk-produk realiti show.


Ciri utama karya TV realiti kontemporari adalah produk-produk itu dihasilkan tanpa menggunakan skrip bertulis untuk dihafal dan ucapkan oleh watak-wataknya. Sebaliknya, skrip diserahkan bulat-bulat kepada apa-apa sahaja yang diucapkan oleh para pelakon. Maka terciptalah produk-produk realiti show itu.


Bagaimanakah posisi teori sastera Islami dalam isu bahasa aliran realisme?


Surah Yusuf diturunkan dalam bahasa Arab. Bahasa Arab yang digunakan dalam surah Yusuf itu mempunyai dua ciri utama:


1. Bahasa langgam tinggi
Langgam bahasa yang digunakan bagi menyampaikan kisah Nabi Yusuf itu adalah seluruhnya bahasa Arab Tinggi, baik bagi ayat-ayat naratif mahupun bagi ayat-ayat dialognya. Bahasa Arab langgam tinggi itulah yang menjadi bahasa penghuni syurga.


2. Bukan bahasa seharian
Meskipun langgam bahasa Arab dalam surah Yusuf itu difahami oleh orang-orang Arab waktu itu, tetapi langgam bahasa surah Yusuf itu bukan langgam bahasa Arab rendah yang dipertuturkan dalam kehidupan harian mereka. Dalam erti kata lain, sewaktu surah Yusuf diturunkan, orang-orang Arab pada zaman Nabi Muhammad tidak bercakap begitu dalam kehidupan seharian mereka. Bahasa Arab harian itu bukanlah bahasa yang digunakan di syurga nanti.


Teori sastera Islami memilih langgam bahasa tinggi, baik bagi menghasilkan ayat-ayat naratif mahupun ayat-ayat dialog. Inilah posisi yang menjadi pegangan teori sastera Islami pada saat kita berdepan dengan fahaman realisme dalam isu bahasa.


Jadi, langgam bahasa yang digunakan dalam dapur rumah, dalam kebun sayur, dalam kilang, dalam lagu-lagu rap, dalam TV realiti, di pasar-pasar malam, di supermarket, di coffeehouse, di kaki lima kedai, dalam teksi dan LRT, tidak diterima oleh teori sastera Islami.


Contoh bahasa rendah yang dihasilkan oleh pengarang yang menganut falsafah realisme:

Fadzly? Ya Allah mama! Lelaki tulah yang duduk sebelah Yana dalam kapal terbang! Kami berbual panjang. Masa kami berbual, dia tiba-tiba je cakap yang dia sakit kepala. Serangan migrain katanya. Yana pun terus ke belakang dan cari pramugari bertugas. Yana ambilkan ubat painkillers untuk dia. Mungkin waktu Yana ke belakang tu, dia masukkan pistol dan bom ke dalam beg Yana.” Yana benar-benar terkejut. Dia tidak menyangka lelaki yang raut wajahnya begitu baik, sebenarnya seorang penjenayah.


“Itulah Yana. Lain kali bagi tau mama ke mana Yana nak pergi. Selamatlah wakil dari Syarikat Impiana Sdn Bhd telefon mama. Mereka yang kendalikan semua urusan untuk bebaskan Yana dari kes ni. Mmmmh... Syarikat Impiana tu nama syarikat agensi pelancongan yang uruskan percutian Yana ke Bali ke?” mama memandang tepat ke arah Yana. Mahukan kepastian.


Salah satu sikap pengarang yang menganut fahaman realisme itu dapat disimpulkan melalui hujah yang bunyinya begini, "Tapi itulah realiti. Memang orang Melayu bercakap begitu!"


Maka inilah posisi teori satera Islami: Teori sastera Islami tidak menjadi pengikut kepada realiti. Orang-orang yang berada di kaki-kaki lima bukan ahli bahasa, maka pengarang tidak selayaknya menjadi pengikut kepada bahasa pekaki lima.


Langgam bahasa yang digunakan dalam surah Yusuf itu bukan diangkat daripada langgam bahasa kaki lima.






Sunday, May 28, 2006

Memilih Nama Watak: Prinsip Surah Yusuf

Nama-nama watak adalah sebahagian daripada ciri-ciri 'packaging' dan strategi pemasaran. Nama-nama yang saudara cipta bagi watak-watak dalam karya saudara mesti menjadi ciri plus-plus bagi keberkesanan packaging karya saudara dan keberkesanan strategi pemasarannya.


Sekarang ini banyak nama individu Melayu adalah nama-nama yang trendy bunyinya.


Apabila saudara menulis novel, salah satu faktor yang boleh memanjangkan ataupun memendekkan hayat novel saudara, dan meluaskan ataupun menyempitkan wilayah pasaran karya saudara itu, adalah nama-nama watak.


Berikut adalah panduan memilih nama watak:

  1. Judul. Nama watak utama itu sesuai dijadikan judul karya. Nama watak utama dalam surah Yusuf adalah Yusuf. Nama watak utama dalam Hikayat Hang Tuah adalah Hang Tuah.

  2. Sukukata. Dalam surah Yusuf, nama Yu+suf dan Ya'+kub adalah 2 terdiri daripada sukukata. Oleh itu memilih nama yang terdiri daripada 2 patah sukukata adalah terbaik, seperti Yu+suf ataupun A+dam manakala nama seperti Ra+i+ma+kas+tar+za adalah 6 sukukata. Paling panjang nama-nama nabi dalam Islam adalah 3 sukukata seperti Ibrahim ataupun Sulaiman.

  3. Memori. Pilih nama yang sudah ada dalam memori pembaca adalah lebih baik. Nama Yusuf ataupun nama Adam ada dalam memori ramai orang. Semakin ramai kelompok yang mengetahui nama itu, semakin baik.

  4. Sebut. Nama itu mudah sebut oleh pelbagai bangsa. Nama Yusuf dan Adam mudah disebut. Nama Fathlullah sukar disebut oleh banyak kelompok, umpamanya orang Cina sukar menyebutnya.

  5. Ingat. Nama Yusuf ataupun Adam adalah contoh yang mudah diingat. Nama Raimakastarza sukar diingat.

  6. Jawi. Nama itu mudah dieja dalam tulisan jawi-Arab. Surah Yusuf dituliskan dalam tulisan Arab. Karya saudara nanti perlu mudah dijawikan dan dipasarkan sebagai bahan pengkayaan mata pelajaran jawi di sekolah-sekolah.


Berikut adalah ciri-ciri nama yang perlu dielakkan:

  1. Trendi. Elakkan nama-nama yang trendi kerana sesuatu yang trendi mempunyai hayat yang tertakluk kepada tempoh sesuatu trend itu. Nama-nama seperti Sofea Natalea ataupun Ron Ismet Feroz adalah trendi. Nama-nama trendi memendekkan tempoh hayat karya saudara. Apabila trend itu berakhir, karya saudara terasa out-dated. Nama Adam adalah contoh nama yang tidak trendi.

  2. Usia. Elakkan nama-nama yang sedap hanya bagi sesuatu kelompok usia sahaja. Sesetengah nama sedap pada telinga orang tua sahaja, ataupun orang muda sahaja. Nama-nama jenis ini menyempitkan kelompok penggemar karya saudara. Nama Shaaban ataupun Solihin sedap di telinga orang-orang tua sahaja. Nama Adam adalah contoh nama yang diterima oleh semua kelompok usia.

  3. Daerah. Elakkan nama-nama yang sedap dalam sesuatu wilayah sahaja, sebagai contoh, nama itu sedap di telanga orang Malaysia, tetapi tidak sedap di telinga orang Indonesia. Nama-nama jenis ini mengecilkan wilayah pasaran karya saudara. Pilih nama yang popular dalam wilayah pasaran yang luas. Nama Yusuf dan Adam adalah contoh yang diterima di Indonesia dan di Malaysia. Ciri ini membolehkan karya saudara mudah diekspot ke Indonesia.

  4. Rasis. Elakkan nama-nama yang terlalu Cina, ataupun terlalu India dan seumpamanya. Nama Adam adalah contoh yang dapat diterima sebagai nama yang tidak terlalu ras. Ingat karya saudara bukan hendak dijual kepada pembaca Melayu sahaja. Ramai pelajar Cina dan India yang bersekolah di sekolah kebangsaan, mereka adalah pasaran kita.

  5. Konotasi. Elakkan nama-nama yang mempunyai konotasi negatif bagi sesuatu kelompok. Nama Norzeena menyebabkan golongan yang mempunyai nilai-nilai agama Islam mengaitkannya dengan perkataan 'zina'.

  6. Lelaki. Elakkan nama yang di Malaysia khas untuk perempuan tetapi di Indonesia khas untuk lelaki. Nama Ainon adalah nama perempuan di Malaysia tetapi nama lelaki di Indonesia.


Zaman “Apa Ada pada Nama” sudah berlalu. Ini adalah zaman “seni marketing” dan “seni branding”.



Monday, May 15, 2006

Teori Terjemahan: Prinsip dalam Surah Yusuf

Dalam surah Yusuf, terkandung prinsip tentang cara yang betul apabila menuliskan dialog yang diucapkan oleh watak-watak daripada pelbagai bangsa.


Di dalam surah Yusuf, tidak ada walau sepatah pun perkataan bukan Arab, sedangkan watak-watak dalam surah Yusuf semuanya bukan bangsa Arab. (Penduduk asli bumi Mesir pada zaman Nabi Yusuf bukannya bangsa Arab.)


Apabila saudara mengarang cerpen ataupun novel, akan ada ketikanya terdapat:


(a) Watak-watak Melayu bercakap sesama watak Melayu, contohnya En. Mamat bercakap dengan En. Budin.

Dalam surah Yusuf terdapat watak Yahudi bercakap sesama watak Yahudi, contohnya Nabi Yusuf bercakap dengan Nabi Yaakub, dengan abang-abangnya, dan dengan Zulaikha. Semua dialog dalam bahasa Ibrani (Hebrew) itu diterjemahkan sepenuhnya ke dalam bahasa Arab.

Justeru, watak Melayu bercakap dengan watak Melayu hendaklah 100% dituliskan dalam bahasa Melayu.


(b) Watak Melayu bercakap dengan watak bukan Melayu, contohnya En. Mamat bercakap dengan Puan Lim.

Dalam surah Yusuf terdapat watak Yahudi bercakap dengan watak bukan Yahudi, contohnya Nabi Yusuf bercakap dengan Raja Mesir, dan dengan banduan yang berkongsi bilik di penjara. Begitu juga dialog antara Siti Zulaikha dengan Raja Mesir. Kita tidak tahu apakah bahasa yang mereka gunakan, tetapi dalam surah Yusuf semua dialog itu diterjemahkan dalam bahasa Arab.

Justeru, watak Melayu bercakap dengan watak bukan Melayu hendaklah 100% dituliskan dalam bahasa Melayu.


(c) Watak bukan Melayu bercakap dengan watak bukan Melayu, contohnya Puan Lim bercakap dengan Puan Devi.

Dalam surah Yusuf terdapat watak bukan Yahudi bercakap dengan watak bukan Yahudi, contohnya Raja Mesir bercakap dengan pembesar-pembesar istana baginda. Semua dialog mereka diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.

Justeru, watak bukan Melayu bercakap dengan watak bukan Melayu hendaklah 100% dituliskan dalam bahasa Melayu.


Surah Yusuf ditulis dalam bahasa Arab Tinggi seluruhnya. Bahasa Arab itu adalah dialek ibunda Nabi Muhammad, yakni bahasa Arab yang dituturkan oleh suku kaum Quraish.


Jelas sekali, dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, penggunaan 100% bahasa Tinggi adalah unsur keindahan, manakala penggunaan unsur-unsur bahasa asing adalah unsur kecacatan. Tuhanlah yang lebih mengetahui.


Sunday, May 14, 2006

Surah Yusuf: Sedikit Catatan

Surah Yusuf diterima oleh Nabi Muhammad di bandar Mekah, tempat di mana beliau dilahirkan, yakni sebelum beliau berpindah ke kota Madinah, di mana beliau menetap di sana sehingga meninggal dunia.


Keluarga Nabi Yusuf adalah bangsa Yahudi dan tinggal di Palestin. Beliau adalah anak bongsu kepada Nabi Yaakub dan cicit Nabi Ibrahim. Apabila beliau dicampakkan ke dalam telaga oleh abang-abangnya, dan kemudian dikutip oleh pedagang, beliau dibawa ke Mesir dan di sana dijual sebagai hamba, di mana selanjutnya kisah hidup beliau berlaku di Mesir.


Menurut pakar sejarah yang bernama Ibnu Abbas, pada suatu hari beberapa orang sahabat Nabi Muhammad datang menemui beliau dan meminta supaya menceritakan sesuatu yang memberi pengajaran, lalu Tuhan menurunkan ayat-ayat yang mengandungi kisah hidup Nabi Yusuf.


Menurut pakar sejarah yang bernama Al-Baihaqi pula, pada suatu masa sekumpulan orang Yahudi masuk Islam selepas mereka mendengar surah Yusuf ini disebabkan kandungannya sesuai dengan cerita-cerita yang mereka ketahui daripada nenek moyang mereka. Nabi Muhammad pula tidak tahu menahu tentang kisah Nabi Yusuf sehinggalah surah ini diturunkan.


Ada pendapat pakar yang mengatakan surah Yusuf adalah antara surah yang diturunkan bagi menghiburkan Nabi Muhammad yang sedang berduka selepas Khadijah meninggal dunia. Justeru, ada ulamak yang berpendapat, surah ini, apabila dibaca dapat menghiburkan hati yang sedang bersedih.


Ada laporan yang mengatakan Cat Stevens timbul minatnya terhadap Islam selepas beliau membaca terjemahan surah Yusuf, maka sempena peristiwa itulah beliau mengambil nama Islamnya, Yusuf Islam.


Di kalangan orang Melayu pula, ada yang menggalakkan ibu-ibu yang hamil supaya membaca surah Yusuf bagi mendapatkan anak yang cantik! Tuhanlah yang maha tahu.


Kita di PTS menggunakan teknik-teknik penulisan yang digali daripada analisis struktural surah Yusuf sebagai panduan menulis karya kreatif.



Tuesday, May 09, 2006

Memotong Dialog Panjang: Teknik Surah Yusuf

Surah Yusuf terdiri daripada 111 ayat. Daripada jumlah itu 97 ayat adalah ayat cerita, manakala selebihnya adalah ayat-ayat pembukaan dan penutup surah. Daripada 97 ayat cerita itu 86 ayat mengandungi dialog.


Daripada 86 dialog itu, 50% adalah dialog yang terdiri daripada sepotong ayat sahaja. Ini menunjukkan menurut teori sastera Islami, penggunaan lebih banyak dialog yang singkat adalah ciri keindahan, manakala penggunaan lebih banyak dialog yang panjang-panjang adalah ciri kecacatan.


Dalam surah Yusuf, terdapat contoh bagaimana dialog yang panjang dipotong dan dijadikan 2 ataupun lebih dialog, sebagaimana dalam contoh-contoh di bawah.


(a) Dialog dalam ayat 5 dan ayat 6 adalah satu dialog yang dipotong menjadi 2 ayat:

Bapanya berkata, “Wahai anakku, janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada abang-abangmu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (Yusuf, ayat 5) “Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu taabir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatnya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub, sebagaimana Dia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu, Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu maha mengetahui, lagi maha bijaksana.” (Yusuf, ayat 6)


(b) Dialog dalam ayat 26 dan ayat 27 adalah satu dialog yang dipotong menjadi 2 ayat:

Yusuf pula berkata, “Dialah yang memujukku.” Seorang ahli keluarga perempuan itu tampil dan berkata, “Jika baju Yusuf koyak di depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan jadilah Yusuf orang yang berdusta. (Yusuf, ayat 26) “Dan jika bajunya koyak di belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah orang yang benar.” (Yusuf, ayat 27)


(c) Dialog dalam ayat 28 dan ayat 29 adalah satu dialog yang dipotong menjadi 2 ayat:

Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak di belakang, berkatalah dia, “Sesungguhnya ini adalah tipu daya kamu orang perempuan, sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.” (Yusuf, ayat 28) “Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau bersalah.” (Yusuf, ayat 29)


(d) Dialog dalam ayat 37, 38, 39, 40 dan ayat 41 adalah satu dialog yang dipotong menjadi 5 ayat:

Yusuf menjawab, “(Aku bukan sahaja dapat menerangkan taabir mimpimu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada apa yang diajarkan kepdaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan agama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percaya akan hari akhirat.” (Yusuf, ayat 37) “Dan aku menurut agama bapa dan datuk nenekku, Ibrahim, dan Ishaq serta Ya'qub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Allah. Mentaudih – mengesakan Allahadalah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Yusuf, ayat 38) “Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik ataupun menyembah Allah Tuhan yang maha esa, lagi maha kuasa?” (Yusuf, ayat 39) “Apa yang kamu sembah, yang lain daripada Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, – kamu dan datuk nenek kamu, – Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Dia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf, ayat 40) “Wahai sahabatku berdua yang sepenjara! (Taabir mimpi kamu itu adalah), adapun salah seorang daripada kami, maka dia akan memberi minum arak kepada tuannya. Adapun yang seorang lagi, maka dia akan dipalang, serta burung pula akan makan dari kepalanya. Telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara yang kamu tanyakan itu.” (Yusuf, ayat 41)


Jelaslah, bagi menghasilkan karya dan kisah yang indah, teori sastera Islami memilih gaya penceritaan yang menggunakan dialog yang pendek-pendek.


Sunday, May 07, 2006

Posisi Pengarang Omnipotent: Prinsip Surah Yusuf

Dalam tradisi teknik penulisan cerpen dan novel konvensional, pengarang mengambil posisi sebagai “Manusia MahaTahu dan MadaBerdaya”. Ertinya, pengarang tahu apa yang ada dalam hati dan fikiran watak-wataknya disebabkan pengarang berdaya masuk ke dalam hati dan otak watak-wataknya lalu dia dapat membaca segala perasaan dan fikiran watak-watak itu.


Ini adalah salah satu perbezaan antara teknik mengarang berdasarkan surah Yusuf dengan teknik mengarang cara konvensional. Manakala dalam teknik konvesional pengarang dibenarkan menjadi Manusia MahaTahu dan MahaBerdaya, hal yang sama tidak diberlaku dalam teknik surah Yusuf.


Di bawah adalah contoh ayat-ayat yang membuktikan pengarang bersikap sebagai orang yang MahaTahu dan MahaBerdaya:


Contoh 1:
Dalam petikan ini pengarang masuk ke dalam otak watak lalu membaca fikiran wataknya itu.

Dia kuatkan hati untuk belajar. Tetapi semasa belajar di Australia ini, bidang kedoktoran bukanlah pilihannya. Dia sebenarnya tidak berminat untuk menjadi seorang doktor. Tidak terfikir di benaknya bahawa suatu hari dia akan bekerja di hospital dan menjadi benteng harapan terakhir setiap pesakit yang mahu sembuh daripada penyakit yang dihidapinya. Tetapi disebabkan dia tidak mahu mengikuti kursus kejuruteraan dan kursus perakaunan, maka akhirnya dia memutuskan untuk memilih bidang perubatan. Timbul juga perasaan lain dalam hatinya untuk memecahkan tradisi keluarga yang selama ini belum pernah melahirkan seorang doktor. Justeru itu dia nekad. Nekad hendak menjadi seorang doktor.


Contoh 2: Dalam petikan ini pengarang masuk ke dalam hati dan sanubari watak lalu membaca perasaan wataknya itu.

Justeru dengan segala rasa cinta; dengan segala rasa sayang; dengan segala rasa keagungan bangsa, leluhur menitip pesan di halwa dengar - dilampiri sifat tertib dan sopan tidaklah dapat digambarkan, akan segala rasa yang dilukiskan suci durja leluhur. Begitu niat di hatinya sejauh langit di junjung, begitu nawaitu di jiwanya sesayup segara dilihat mendung, begitu jika diukur seberat dunia tidak mampu digendong, rasa kecintaan leluhur kepada bangsa yang dikandung.


Dalam surah Yusuf, tidak ada ayat-ayat di mana Allah sebagai pengarang, menceritakan secara langsung fikiran-fikiran dan perasaan-perasaan Nabi Yusuf, Zulaikha, al-Aziz ataupun watak-watak lain.


Justeru dalam teknik mengarang berdasarkan surah Yusuf, pengarang bukan manusia omnipotent, yang mempunyai ciri-ciri mahatahu dan mahaberdaya, disebabkan sesungguhnya manusia tidak mempunyai keupayaan membaca apa yang tersembunyi di dalam otak dan hati manusia lain. Tuhanlah yang lebih mengetahui.



Monday, April 10, 2006

Pekata dalam Menuliskan Dialog: Teknik Surah Yusuf

Surah Yusuf terdiri daripada 111 ayat. Daripada jumlah itu 86 buah ayat adalah ayat yang mengandungi dialog.


Salah satu ciri yang menarik pada surah Yusuf adalah teknik penulisan dialog yang meletakkan pekata di depan dialog sahaja.


Istilah 'pekata' merujuk kepada watak yang berkata. Sebagai contoh dalam ayat dialog “Apa khabar?” kata Mamat. Mamat adalah pekata. Dalam surah Yusuf, semua pekata disebutkan sebelum dialog seperti contoh-contoh berikut:


a. Lalu dia (Zulaikha) berkata kepada Yusuf, “Keluarlah! Temui perempuan-perempuan itu.” (Yusuf, ayat 31)

b. Mereka berkata, “Maha suci Allah, dia bukan manusia. Tidak lain, dia malaikat yang mulia.” (Yusuf, ayat 31)

c. (Zulaikha) berkata lagi, “Tidak ada lain, kecuali dia dipenjarakan ataupun disiksa dengan siksaan yang pedih.”

d. (Al-Aziz) berkata kepada (Zulaika), “Ini semua tipu daya kamu! Sesungguhnya tipu daya kamu itu amat berbahaya.”

e. Berkata Yusuf, “Dialah yang mengajak saya.” (Yusuf, ayat 26)


Dalam surah Yusuf, tidak terdapat teknik penulisan dialog yang meletakkan pekata selepas dialog seperti dalam contoh-contoh berikut:


a. “Berapa hari kamu akan pergi?” tanya Kamaruddin.

b. “Tiga bulan,” jawab Jamal.

c. “Sejak pelayaran Bahtera Sejahtera, sudah dua pekan, kami tidak bertegur sapa,” Pak Munsyi mereka-reka cerita.

d. “Mungkin mereka sibuk dengan urusan lain, kita tidak harus berburuk sangka,” ulas Imam Sufaat. “Tetapi, lain pula apa yang hamba dengar,” katanya lagi.


Mengapa Tuhan sentiasa meletakkan pekata di depan dialog, hanya Tuhanlah yang lebih mengetahui.


Nota:
Kita mencari penulis yang dapat menghasilkan karya menggunakan teknik ini sepenuhnya.




Bahasa Asing dalam Cerita: Prinsip Surah Yusuf

Isu bahasa asing dalam novel Melayu banyak terdapat dalam buku-buku yang diterbitkan, baik oleh DBP, apatah lagi oleh penerbit lain.

Sesetengah penerbit menerima unsur bahasa asing berdasarkan hujah bahawa itu adalah cermin keadaan sebenar. Pandangan ini adalah pandangan aliran realisme.

Menurut aliran realisme, jika dalam kehidupan sebenar sememangya watak yang digambarkan itu bercakap menggunakan bahasa Melayu bercampur Inggeris, maka dalam novel, dialog begitu boleh diterima.

Bagaimanakah sikap kita sebagai penulis dan editor terhadap unsur-unsur bahasa asing?

Di dalam surah Yusuf, seluruh kisah itu dituliskan dalam bahasa Arab Tinggi. Tidak terdapat ayat-ayat dialog yang bercampur aduk dengan unsur-unsur bahasa asing.

Dalam sudut pandang surah Yusuf, karya yang indah adalah karya yang ditulis menggunakan 100% bahasa tinggi. Justeru, kita tidak menerima ayat-ayat yang bercampur aduk dengan unsur-unsur bahasa basahan, bahasa pasar, ataupun bahasa slanga.

Jika saudara menulis novel, sekiranya ada watak bukan Melayu dalam cerita itu, bagaimanakah cara menyampaikan dialog watak-watak seperti itu?

  1. Jangan tulis sebagaimana yang mereka ucapkan. Sebagai contoh:

    a. “Lu sulah makan?” Ah Chong bertanya kepada Budin. (SALAH)

    b. “Darling, it's okey bukan, kalau kita tak jadi kahwin?” kata Rozie kepada Amran. (SALAH)

    c. “Ayah, happy birthday!” kata Mimi kepada ayahnya, melalui telefon. (SALAH)

  2. Tulis semula dialog itu menggunakan bahasa Melayu Tinggi. Sebagai contoh:

    En. Budin sudah makan?” Ah Chong bertanya kepada Budin. (BETUL)

    Kekasihku, engkau tidak terkejut bukan, jika kita tidak jadi berkahwin?” kata Rozie kepada Amran. (BETUL)

    Selamat menyambut hari jadi, ayah,” kata Mimi kepada ayahnya, melalui telefon. (BETUL)

  3. Adakah saudara lihat pada konteks ceritanya. Lihat contoh ini:

    a. “Awak mahu limau?” tanya Ah Chong kepada Budin. “Rimau? Awak gilakah?” kata Budin. (BETUL)

    b. “Tuan hendak ke mana?” gadis kaunter tiket itu bertanya kepada palancong Arab itu. “Betalin,” jawab si pelancong. Gadis itu terpinga-pinga. “Be-ta-lin!” lelaki Arab itu mula hilang sabar. Kemudian lelaki Arab itu mengeluarkan pen dan buku notanya lalu menuliskan “petaling” di atas kertas, barulah gadis itu sedar orang Arab tidak pandai mengucapkan sesetengah bunyi dalam bahasa Melayu. (BETUL)

Unsur bahasa asing yang menjadi isu pokok dalam cerita sahaja yang mesti dituliskan dalam cerita, dengan disertai penerangannya.


Thursday, April 06, 2006

Surah Yusuf: Teknik Menggambarkan Watak

Salah satu aspek yang menarik dalam surah Yusuf adalah teknik menggambarkan watak-watak dalam sebuah kisah yang indah.


Dalam surah Yusuf tidak terdapat ayat-ayat yang menerangkan rupa bentuk tubuh badan setiap wataknya. Jadi kita tidak diberitahu, sebagai contoh, apakah warna mata, rambut ataupun kulit Nabi Yusuf dan semua watak lain. Malah kita tidak diberitahu usia ataupun pakaian yang mereka pakai.


Ayat-ayat naratif yang secara langsung menerangkan perwatakan Nabi Yusuf adalah seperti dibawah:


a. Demikianlah Tuhanmu memilihmu dan mengajarkan takwil mimpi kepadamu serta menyempurnakan nikmatnya kepadamu. (Yusuf, ayat 6)


b. Apabila Yusuf dewasa, kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. (Yusuf, ayat 22)


c. Sesungguhnya perempuan itu telah suka kepada Yusuf, dan Yusuf suka pula kepadanya, seandainya Yusuf tidak ingat kepada Tuhannya. (Yusuf, ayat 24)


d. Demikianlah Kami bebaskan Yusuf daripada kejahatan dan perbuatan keji. Sesungguhnya dia hamba Kami yang tulus ikhlas. (Yusuf, ayat 24)

e. Demikianlah Kami tempatkan Yusuf di bumi Mesir. Dia tinggal di mana yang dikehendakinya. (Yusuf, ayat 56)

f. Tatkala mereka masuk berjumpa Yusuf, lalu Yusuf menempatkan ibu bapanya di tempat tinggalnya. (Yusuf, ayat 99)


g. Kemudian Yusuf mendudukkan ibu bapanya di natas singgahsananya, lalu mereka tunduk kepada Yusuf. (Yusuf, ayat 100)


Ayat-ayat naratif yang secara langsung menerangkan perwatakan Zulaikha adalah:


a. Kemudian yang empunya rumah di mana dia tinggal, mengajaknya berbuat serong, lalu ditutupnya semua pintu....(Yusuf, ayat 23)


b. Sesungguhnya perempuan itu suka kepada Yusuf, dan Yusuf suka pula kepadanya, seandainya Yusuf tidak ingat kepada Tuhannya.... (Yusuf, 24)


c. Kedua-duanya berlari ke pintu, lalu perempuan itu menarik baju Yusuf dari belakang sehingga koyak. Setibanya di pintu, kedua-duanya terserempak dengan suaminya.... (Yusuf, ayat 25)


d. Tatkala perempuan itu (Zulaikha) mendengar perihal umpatan mereka, lalu dia mengundang mereka, dan disediakannya tempat duduk bersandar.... (Yusuf, ayat 31)


Analisis ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa, berdasarkan surah Yusuf, dalam membina perwatakan, apa yang penting adalah action dan dialog. Dalam erti kata lain, terangkan apa yang dilakukan oleh watak, dan apa yang dikatakannya.




Monday, March 20, 2006

Konflik dalam Surah Yusuf

Berdasarkan analisis surah Yusuf, konflik adalah unsur keindahan dalam sastera Islami. Ertinya, kisah yang indah hendaklah mempunyai unsur konflik di dalamnya. Tanpa konflik, cerita itu tidak dapat mencapai darjah keindahan yang lebih tinggi.


Berapakah jumlah konflik yang meninggalkan kesan optimum dalam sesebuah kisah yang indah? Dalam surah Yusuf terdapat lima konflik iaitu:


1. Konflik antara abang-abang Nabi Yusuf dengan ayah mereka, Nabi Yaakub, disebabkan mereka tidak puas hati dengan layanan yang mereka terima. Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin adalah anak kepada isteri kedua Nabi Yaakub selepas isteri pertamanya meninggal dunia.


2. Konflik antara abang-abang Nabi Yusuf dengan Nabi Yusuf disebabkan mereka cemburu melihat Nabi Yusuf amat dikasihi oleh ayah mereka.


3. Konflik antara Nabi Yusuf dengan Zulaikha disebabkan beliau menolak cinta wanita itu.


4. Konflik antara Nabi Yusuf dengan al-Aziz, suami Zulaikha, yang mengambil langkah menutup rahsia skandal isterinya dengan memenjarakan Nabi Yusuf.